Syeikh Hamzah Fansuri
Latar Belakang
Syeikh Hamzah Fansuri merupakan seorang cendekiawan,
ulama tasawuf, sasterawan dan budayawan yang terkemuka. Beliau merupakan
seorang pujangga Melayu yang terkenal pada zaman kesultanan Acheh.Beliau
dilahirkan di Fansur, Sumatera dan hidup antara pertengahan abad ke-16
hingga awal abad ke-17. Beliau mendapat pendidikan di merata-rata tempat
seperti di Jawa, Tanah Melayu, India, Parsi dan negara-negara Arab.
Sekembalinya ke Acheh, beliau menjadi guru agama pada zaman pemerintahan Sultan
Alauddin Riayat Syah ( 1588-1604). Salah seorang pelajarnya ialah
Syamsuddin Al-Sumaterani. Beliau juga pernah menjadi penasihat kepada Sultan
Acheh dan banyak membantu beliau dalam hal pentadbiran negeri (2008:297).
Syeikh Hamzah Fansuri mengikut fahaman Qadiriah.
Fahaman ini turut dipegangi oleh Ibn Arabi, Syeikh Abdul Kadir Jailani,
Al-Bustami dan Shahrul Tabriz. Beliau mengikuti aliran Wahdatul-Wujud dan
mengembangkannya dengan bantuan anak muridnya, iaitu Shamsuddin Al-Sumaterani
(2008: 297). Wahdatul Wujud merupakan satu aliran yang menekankan logik akal.
Contohnya persoalan mengenai perkara-perkara ghaib seperti berkenaan dengan
kewujudan syurga, neraka, dosa dan pahala akan dijelaskan kepada sesiapa yang
bertanya dengan menggunakan logik akal untuk menerimanya. Beliau merupakan
cendekiawan pertama yang mencetuskan kegiatan penulisan pengetahuan keislaman
di Acheh. Aliran ini mendapat tempat dalam kalangan masyarakat sehingga
kedatangan Syeikh Nuruddin Al-Raniri dan Abdul Rauf Singkel. Hal ini berlaku
kerana Syeikh Nuruddin Al-Raniri menuduh bahawa Syeikh Hamzah Fansuri dan anak
muridnya telah sesat dan mengklasifikasikannya sebagai kafir zindiq. Satu
perdebatan telah berlaku dengan izin sultan Brunei yang pada ketika itu
ialah Sultan Iskandar Thanidan akhirnya Syeikh Nuruddin Al Raniri disahkan
menang. Kesemua karya Syeikh Hamzah Fansuri dan anak muridnya, Syamsuddin
Al-Sumaterani telah dibakar pada tahun 1637 di Masjid Raya Kutaraja (1996:26).
Sumbangan dan Peranan Syeikh Hamzah Fansuri
Syeikh Hamzah Fansuri telah banyak memberi sumbangan.
Antaranya dalam bidang ilmu sosial, sastera, bahasa dan penghasilan karya prosa
dan puisinya. Dalam bidang ilmu sosial, Hamzah Fansuri telah mempelajari
penulisan risalah tasawuf atau keagamaan yang bersifat ilmiah. Sebelum karya-karya
beliau muncul, masyarakat muslim Melayu mempelajari masalah-masalah agama,
tasawuf dan sastra melalui kitab-kitab yang ditulis di dalam bahasa Arab atau
Persia.Masalah dan kekeliruan dapat diatasi dengan penghasilan kitab-kitab yang
menggunakan bahasa Melayu.
Dalam bidang sastera, Syeikh Hamzah Fansuri
mempelopori penulisan puisi-puisi falsafah dan mistik bercorak Islam. Kedalaman
kandungan puisi-puisinya sukar ditandingi oleh penyair lain yang sezaman
ataupun sesudahnya. Penulis-penulis Melayu pada abad ke-17 dan 18 kebanyakannya
berada di bawah bayang-bayang kegeniusan Hamzah Fansuri.
Dalam bidang bahasa, Syeikh Hamzah Fansuri telah
berjaya memartabatkan bahasa Melayu daripada lingua franca kepada bahasa
intelektual dan bahasa ilmu. Kedudukan bahasa Melayu dalam bidang penyebaran
ilmu dan persuratan menjadi sangat penting dan mengungguli bahasa-bahasa
Nusantara yang lain, termasuk bahasa Jawa yang sebelumnya telah jauh lebih
berkembang. Syeikh Hamzah Fansuri telah berjaya dalam proses Islamisasi bahasa
Melayu. Islamisasi bahasa adalah sama dengan Islamisasi pemikiran dan
kebudayaan. Buktinya, dalam 32 bait-bait syairnya sahaja terdapat lebih kurang
700 kata pinjaman daripada bahasa Arab. Hal ini bukan sahaja memperkaya
perbendaharaan kata bahasa Melayu, tetapi dengan demikian juga mengintegrasikan
konsep-konsep Islam dalam kehidupan ke dalam sistem bahasa dan budaya Melayu.
Selain itu, beliau juga telah mendirikan banyak madrasah dan mempunyai ramai
pengikut.
Syeikh Hamzah Fansuri banyak menghasilkan karya
berbentuk prosa. Contohnya, Syarab al-Asyikin dan Asrar al-Arifin fi bayan ilmu
al-suluk wal Tauhid. Kitab Syarab al-Asyikin merupakan kitab tasawuf yang
pertama ditulis dalam bahasa Melayu yang membicarakan syariat, tarekat,
hakikat, makrifat dan zat tuhan. Kitab ini mengajak masyarakat mencapai
makam yang tertinggi dalam hubungan dengan Tuhan. Kitab Asrarul Ariffin pula
merupakan sebuah kitab tasawuf yang membicarakan tentang akidah menurut aliran
Wahdatul Wujud.
Di samping itu, Syeikh Hamzah Fansuri adalah seorang
penyair yang tajam penanya. Syair hasil garapannya mempunyai kias dan
perlambangan yang menjadi panduan manusia. Puisinya yang terkenal adalah
seperti Syair Burung Pungguk, Syair Dagang, Syair Sidang Fakir, Syair Burung
Pinggai dan Syair Perahu. Syair Perahu melambangkan tubuh manusia yang
dilambangkan sebagai perahu yang belayar di lautan. Pelbagai rintangan akan
dihadapi dan pelayaran tersebut mestilah berpaksikan kepada kalimah Allah.
Syair Burung Pinggai pula menceritakan mengenai pengembaraan jiwa atau roh
dalam mencari kesempurnaan diri. Kesempurnaan diri ini bergantung pada
jiwa yang kembali ke hakikat asalnya, iaitu cahaya.
Di samping itu, Syeikh Hamzah Fansuri juga dikagumi
oleh tokoh barat. Contohnya, Valentijn seorang sarjana Belanda yang mengunjungi
Barus pada tahun 1709 menulis dalam sebuah bukunya "...Seorang penyair
melayu, Hamzah Pansur..yakni orang yang sangat terkemuka di lingkungan
orang-orang melayu oleh kerana syair-syair dan puisi-puisinya yang menakjubkan,
membuat kita karib kembali dengan kota tempat lahir sang penyair bilamana di
dalam puisi-puisinya yang agung dia mengangkat naik dari timbunan debu
kebesaran dan kemegahan masa lampau kota itu dan mencipta kembali masa-masa
gemilang dari kebesarannya...".
Kesimpulannya, Syeikh Hamzah Fansuri merupakan tokoh
yang banyak menyumbang kepada perkembangan sastera Melayu dalam bidang prosa
dan puisi. Falsafah ketuhanan yang dipaparkan bukan sahaja mampu memantapkan
dan mengukuhkan masyarakat mengenai hal ehwal islam, tetapi turut memberi
penjelasan kepada mereka melalui kitab-kitab yang diterjemah ke dalam bahasa
Melayu.
Sheikh Syamsuddin al-Sumatrani.
Latar Belakang
Sheikh Syamsuddin al-Sumatrani merupakan seorang ahli
sufi. Beliau merupakan anak murid kepasa Syeikh Hamzah al-Fansuri . Di hujung
namanya tertulis al-Sumatrani yang membawa maksud beliau berasal dari Sumatera
Indonesia. Huruf ya yang diletakkan di belakang perkataan Sumatra itu menurut
kaedah bahasa Arab ialah ya nisbah ertinya dibangsakan. Syeikh Syamsuddin
al-Sumatrani hidup pada abd 16 Masihi sehingga 17 Masihi. Beliau ialah Sheikul
islam atau mufti besar Aceh semasa zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat
Shah Sayid al-Mukammil pada tahun 1589 sehingga tahun 1604.
Sheikh Syamsuddin al-Sumatrani juga terkenal dengan
salah seorang pendukung kuat fahaman Martabat Tujuh. Beliau tergolong dalam
kumpulan empat orang ulama agung Aceh. Beliau telah meninggal dunia dan di
makamkan di Melaka. Hal ini kerana beliau dipercayai telah terlibat sama ketika
serangan Aceh ke atas Portugis yang dilakukan pada tahun 1929, semasa Aceh
berada di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam Johan Berdaulat
(1607-1636). Tarikh wafatnya telah dicatatkan oleh musuhnya, Nuruddin ar-Raniri
iaitu pada malam isnin 12 Rejab 1039H/1630M. Makam Syeikh Syamsuddin al
Sumatrani berada di Kampung Ketek, kota Melaka, Malaysia.
Menurut para sejarawan, asal usul Syamsuddin
al-Sumatrani ini agak kabur kerana ia tidak dicatatkan secara terperinci. Hanya
sebutan Sumatrani di belakangnya sahaja yang dapat membuktikan bahawa beliau
berasal dari Sumatera atau Pasai. Terdapat sumber tertua yang dijumpai mengenai
kisah perjalanan hidup Sheikh Syamsuddin al-Sumatrani . Sumber yang dimaksudkan
itu ialah Hikayat Aceh, Adat Aceh dan kitab Bustanul al-Salatin. Walaupun
begitu, bukanlah keseluruhan perjalanan hidupnya dicatat dalam manuskrip
tersebut. Hanya serpihan-serpihan data sejarah yang terbatas sahaja berjaya
ditemui.
Peranan dan Sumbangan Syeikh Syamsuddin al-Sumaterani
Seperti Hamzah Fansuri, Syamsuddin banyak menulis
untuk menyampaikan ilmunya berkaitan wujudiah. Namun, kebanyakan kitab
tulisannya dan Hamzah Fansuri telah dibakar. Kitab-kitab yang diketahui hasil
tulisan Shamsuddin ialah seperti berikut:
i. Miratul Mukminin (Cermin Perbandingan Bagi
Orang-orang Mukmin)
ii. Jauhar Haqaaiq (Permata Kebenaran)
iii. Risalatul Baijin Mulahadhatil Muwahhiddin Alal
Mulhidi fi Zikrillah
iv. Kitabul Harakah (Mengenai Ilmu Bahasa)
v. Nurul Daqaaiq (Cahaya yang Murni)
vi. Miratul Iman (Cermin Keimanan)
vii. Syarah Miratul Qulub (Uraian Tentang Cermin
Segala Hati)
viii. Kitab Tazyim
ix. Syar’ul Ariffin ( Jalan Orang Arif Budiman)
x. Kitabul Ushulut Tahqiq ( Kitab Dasar-dasar Penguat)
xi. Miratul Haqiqah (Cermin Hakikat)
xii. Kitabul Martabah (Kitab Tentang Martabat Manusia)
xiii. Risalatul Wahhab ( Risalah Tentang Maha pemberi)
xiv. Miratul Muhaqqiqin (Cermin Para Ahli Pembukti)
xv. Tanbihul’lah (Peringatan Allah)
xvi. Syarah Ruba’i Hamzah Fansuri
Sumbangan Dalam Ajaran Tasawuf
Sebagai pendukung tarekat Wujudiyah, ajaran Syamsuddin
berkisar kepada keesaan makhluk dengan Tuhan. Hal ini terbukti apabila banyak
dalih yang diberinya bergantung kepada Hadith Kudsi yang diinterpretasikan
mengikut pandangan mistik. Syamsuddin Sumaterani adalah salah seorang daripada
empat ulama yang paling terkemuka di Acheh. 3 orang ulama yang lain ialah
Hamzah Fansuri, Nuruddin al- Raniri dan Abdul Rauf Singkel.
Perihal
keintiman hubungannya dengan Nuruddin ar-Raniri, tidak diketahui secara pasti.
Yang jelas adalah tujuh tahun setelah Syamsuddin Sumaterani wafat, Raniri
memperoleh kedudukan seperti sebelumnya yang diperoleh Syamsuddin Sumaterani.
Beliau diangkat menjadi mufti Kerajaan Aceh Darussalam pada tahun 1637 oleh
Sultan Iskandar Tsani. Disebabkan fatwanya yang mengkafirkan fahaman wahdatul
wujud Syamsuddin Sumaterani, maka para pengikut Hamzah Fansuri dan Syamsuddin
Sumatrani dihukum oleh pihak penguasa dengan hukuman bunuh. Namun demikian,
para pengikut fahaman Sumaterani itu ternyata tidak punah semuanya sebaliknya
menjadi semakin teguh dan tersebar dalam kalangan rakyat.
Pada sekitar tahun 1644 Raniri disingkirkan dari
kedudukannya selaku mufti kerajaan Aceh Darussalam. Beliau pun terpaksa pulang
ke Ranir, Gujarat. Sebagai penggantinya, Sultanah Tajul Alam Safiatuddin
(1641-1675) kemudian mengamanahkan jabatan mufti kerajaan kepada Saifur Rijal.
Saifur Rijal ialah seorang Minang yang juga penganut fahaman wahdatul wujud
telah kembali ke Aceh selepas mendalami bidang agama di India. Dengan demikian,
fahaman tasawuf Syamsuddin Sumaterani itu kembali mewarnai corak keislaman di
Kerajaan Aceh Darussalam.
RAJA ALI HAJI
Latar Belakang
Lahirnya sesuatu karya itu bukanlah daripada kekosongan. Tentu ada tangan yang
menciptanya. Bentuk dan isi sesuatu karya itu berkait rapat dengan latar
belakang pengarangnya. Oleh itu, dengan mengetahui latar belakang pengarang,
dan masyarakatnya dapat memudahkan sesuatu karya itu untuk difahami. Raja Ali
Haji dianggap sebagai pujangga Melayu. Pujangga Melayu ini mendapat tempat yang
tersendiri dalam sejarah kesusasteraan Melayu. Beliau seorang pujangga yang
berbakat dalam berbagai bidang. Kepelbagaian bakat ini jarang ditandingi oleh
pujangga-pujangga yang lain baik sebelum mahupun selepasnya (Abu Hassan Sham,
1994: 108).
Raja Ali Haji atau nama penuhnya, Raja Ali Haji bin
Raja Ahmad telah melakukan anjakan paradigma ke atas karya manuskrip Melayu
yang dikarang oleh beliau. Sebagai seorang pujangga yang dianggap terkemuka
dalam zamannya, beliau mempunyai wawasan tersendiri dalam memperbaiki
bangsanya. Beliau mahu bangsanya selamat di dunia dan di akhirat. Mereka
hendaklah bermuafakat dan jangan mengamalkan fitnah memfitnah, dan hidup di
dunia hendaklah berlandaskan hukum syariat. Hal ini demikian jelas dapat
dilihat dalam kebanyakan karyanya .
Beliau merupakan pujangga
daripada golongan bangsawan. Namun, beliau bukan hanya menulis karya sejarah
semata-mata seperti bangsawan sebelumnya iaitu Tun Seri Lanang dan Raja Culan,
tetapi beliau menulis karya ketatanegaraan dan syair yang bersifat agama. Jadi,
bakat beliau ialah gabungan karya-karya untuk golongan pemerintah dan juga
untuk semua golongan sebagaimana yang dicerminkan dalam syair-syairnya. Beliau
bukan sahaja berasal daripada keluarga bangsawan, tetapi juga daripada keluarga
penyair. Bapanya, Raja Ahmad ialah pengarang Syair Ungku Puteri dan
adiknya Raja Saleha dan Raja Daud juga dikatakan pengarang. Anak-anaknya iaitu
Raja Hassan merupakan pengarang Syair Burung, Raja Safiah ialah
pengarang Syair Kumbang Mengindera dan Raja Kalthum ialah
pengarang Syair Saudagar Bodoh. Cucunya pun terdiri daripada penyair
juga. Tarikh kelahiran beliau tidak dapat dipastikan oleh
para pengkaji dan menurut Siti Hawa Haji Salleh, tarikh kelahiran beliau hanya
dapat diteka daripada tarikh-tarikh yang disebutnya dalam kitab Tuhfat
al-Naffis, iaitu pada tahun 1809. Manakala kemangkatan beliau pula hanya
dapat dianggarkan pada tahun 1869 hingga 1875 juga didasarkan daripada kitab
beliau tersebut.
Raja Ali Haji bin Raja Ahmad merupakan cucu kepada
Raja Haji, marhum teluk Ketapang yang telah gugur sewaktu peperangan antara
Bugis dan Belanda di Melaka pada tahun 1784. Keturunannya dikesan kepada Daing
Celak, salah seorang pahlawan Bugis yang berkuasa di bahagian barat Alam Melayu
semenjak abad ke-18 lagi (Siti Hawa Haji Salleh, 1997: 173). Pada waktu itu,
keluarga Bugis ini telah berkuasa di Riau, Penyengat yang telah menjadi pusat
kebudayaan Melayu dan pusat ilmu pengetahuan Islam di Kepulauan Melayu.
Keluarganya juga turut memainkan peranan yang penting sewaktu berlaku
pergolakan politik pada kurun ke-18 dan kurun ke-19 di Kepulauan Melayu.
Tidak seperti remaja-remaja yang lain, Raja Ali Haji
telahpun memikul amanah dan tanggungjawab sebagai pemimpin sejak dari usia yang
muda. Hal ini demikian kerana ketika beliau masih kecil lagi beliau telah
dibawa oleh ayahandanya sebagai utusan Sultan Riau untuk berjumpa dengan Baron
van Der Capellen, Gabenor Jenderal Hindia Belanda. Malah seawal usia 19 tahun
lagi, beliau telah pergi untuk menunaikan rukun Islam yang kelima, iaitu
menunaikan fardu haji ke Makkah. Di kesempatan itulah, beliau telah menimba
ilmu pengetahuan daripada ulama-ulama yang terkenal di tanah suci Makkah.
Dalam pada itu, beliau tidak hanya dikenali sebagai
seorang tokoh pujangga Melayu malahan juga turut melibatkan diri sebagai
seorang guru agama. Hal ini demikian kerana kebijaksanaan beliau dalam hal ilmu
pengetahuan yang mencakupi pelbagai bidang sememangnya tidak dapat dinafikan.
Juga daripada karya-karyanya adalah mudah kita lihat bahawa beliau
bukan sahaja mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang agama, bahkan pintar
pula berbahasa Arab (Mohamad Daud Mohamad, 1987: 146). Antara karya yang telah
dihasilkan oleh beliau adalah Bustan al-Katibin (1857), Kitab
Pengetahuan Bahasa (1859),Salasilah Melayu dan Bugis, Tuhfat
al-Naffis dan sebagainya.
Berdasarkan Tuhfat al-Naffis, dapat
diketahui serba sedikit latar belakang keluarga dan kehidupan beliau. Ibunya
ialah Puan Hamidah iaitu anak Panglima Perang Malik dari Selangor. Raja Salihah
yang dikatakan pengarang Syair Abdul Muluk ialah saudara seibu
sebapa dengan beliau. Raja Ali Haji mempunyai beberapa orang isteri. Isteri
pertamanya ialah Sulung dan mereka mempunyai beberapa orang anak. Hasil
perkahwinan dengan isteri kedua iaitu Raja Halimah, melahirkan Kalthum
pengarang Syair Saudagar Bodoh dan Raja Hassan,
pengarang Syair Burung. Raja Ali Haji turut berkahwin dengan
Raja Safiah dan Daing Cahaya. Hasil perkahwinan ini juga menghasilkan beberapa
orang anak (Abu Hassan Sham, 1994: 110).
Sumbangan dan peranan
Sumbangan terbesar tokoh pujangga Melayu ini adalah
dengan melakukan evolusi terhadap karya-karya yang telah dikarang olehnya. Raja
Ali Haji telah mencetuskan fenomena baharu dalam dunia penulisan manuskrip pada
waktu itu. Antara pembaharuan yang dilakukan oleh tokoh ini adalah unsur
pentarikhan, pengakuan menggunakan sumber-sumber lain yang terdahulu sebagai
rujukan dan pengabsahan, dan pernyataan pengarang sendiri agar kesilapan yang
terdapat dalam tulisannya diperbetulkan oleh anak cucu terkemudian (Siti Hawa
Haji Salleh, 1997: 174). Pada era sebelum kemunculan Raja Ali Haji, unsur
tarikh dalam karya yang ditulis oleh pengarang atau penyalin tidak
dititikberatkan lantaran mereka masih lagi belum menyedari tentang kepentingan
unsur ini dalam penulisan manuskrip yang diadun oleh mereka.
Selain itu, pembaharuan yang dicipta oleh Raja Ali
Haji adalah ‘pembebasan’ terhadap pujangga Melayu yang lain bagi setiap adunan
karya manuskrip mereka. Hal ini demikian kerana menurut Siti Hawa Haji Salleh,
kira-kira pada tahun 1860 hingga 1872, tulisan itu telah diciptakan tidak
dengan arahan raja atau untuk memenuhi keinginan raja menegakkan keabsahan asal
usul mitos raja negeri yang berkenaan. Pembebasan yang dimaksudkan adalah para
pujangga tidak lagi terikat dengan sultan tentang karya yang telah dihasilkan
oleh mereka. Tidak seperti Sejarah Melayu, Hikayat Merong
Mahawangsa dan lain-lain, hasil penulisan sejarah karangan Raja
Ali Haji khususnya Tuhfat al-Naffis, telah diciptakan berdasarkan
desakan hasrat hatinya sendiri:
… Dan berbangkitlah hatiku bahawa memperbuat kitab ini
yang disimpan, dan di dalamnya menyatakan salasilah dan perjalanan dan tawarikh
dan segala khabar-khabar.
(Sumber: Siti Hawa Haji Salleh,
1997: 174)
Petikan yang diambil daripada Tuhfat
al-Naffis ini jelas mencerminkan kepada para pembaca tentang kebebasan
yang dicipta oleh tokoh ini untuk mencanai sesebuah karya tanpa perlu terikat
dengan keinginan pemerintah. Oleh yang demikian, keterbukaan minda oleh para
pengarang untuk menghasilkan sebuah karya adalah amat diperlukan bagi
menghasilkan sebuah karya yang lebih baik dan bermutu.
Jika ditelusuri dengan lebih
terperinci lagi, Raja Ali Haji juga turut memainkan peranan dari aspek keilmuan
dan keagamaan. Menurut Siti Hawa Haji Salleh, dari umur yang masih muda beliau
sudah terkenal sebagai seorang ulama yang disegani dan ini menerangkan sebab
beliau mengarang beberapa buah kitab agama. Hal ini demikian kerana sewaktu
zaman kegemilangannya, Raja Ali Haji telah menjadi penasihat dan guru agama
kepada Yang Dipertuan Muda Raja Abdul Rahman (1831-1844), Raja Ali (1844-1857),
Raja Abdullah (1857-1858) dan Raja Muhammad Yusuf.
Raja Ali Haji juga banyak
menghasilkan manuskrip yang membicarakan tentang aspek keagamaan dan peraturan
dalam Islam. Antara karya beliau yang menyentuh aspek tersebut
adalah Syair Siti Sianah yang membicarakan tentang
hukum-hukum Islam seperti wuduk, mandi, sembahyang, puasa dan sebagai. Karya
lainnya pula adalah seperti Syair Kitab al-Nikah, Syair
Hukum Faraid, Gurindam Dua Belas dan sebagainya. Raja Ali Haji banyak
menggunakan bahasa kiasan sewaktu mencerna karya-karya beliau. Misalnya
dalam Syair Kitab al- Nikah yang mana beliau menyindir
golongan ahli agama yang diwakili oleh lebai Guntur Haji Muda yang menggunakan
perkahwinan cina buta sebagai jalan keluar untuk menyelesaikan masalah seorang
suami yang gila talak. Namun, sindiran yang dibuat oleh tokoh terulung ini
tidak dapat dilihat secara konkrit dalam setiap bait syair tersebut. Hal ini
demikian kerana para pembaca perlu membuat pemerhatian yang lebih halus
terhadap karya bagi melihat maksud yang hendak disampaikannya.
Dalam aspek yang lainnya pula,
Raja Ali Haji juga turut berperanan terhadap perkembangan bahasa Melayu pada
era ketokohan beliau. Pada waktu itu, beliau telah cuba menghasilkan sebuah
manuskrip yang membincangkan tentang tatabahasa Melayu yang berjudul Kitab Pengetahuan
Bahasa. Kitab ini mulai disusun pada tahun 1858 dan bukan merupakan kamus
dalam erti yang sebenarnya, tetapi sejenis ensiklopedia yang mengandungi
pengetahuan umum dan pendapat serta pandangan pengarang tentang kata-kata yang
dimasukkan dalam buku ini (Mohamad Daud Mohamad, 1987: 135). Berdasarkan kitab
tersebut, Raja Ali Haji membicarakan tentang sikap orang Melayu yang gemar merosakkan
bahasa yang mana penggantian sesetengah perkataan yang sewajarnya dipertahankan
sebagai pengguna asli bahasa Melayu. Misalnya, perkataan ‘bilang’ yang
digunakan untuk menggantikan ‘kata’, ‘kasi’ untuk ‘beri’ dan sebagainya.
Jika dikupas dengan lebih
terperinci lagi, Raja Ali Haji juga turut menebarkan sumbangannya dalam bidang
pensejarahan. Hal ini dibuktikan dengan penemuan karya beliau yang
berjudul Tuhfat al-Naffis (Hadiah Yang Bernilai) yang telah
meriwayatkan tentang sejarah raja-raja Melayu dan Bugis. Dalam buku tersebut,
beliau telah dapat meriwayatkan tentang sejarah hidupnya sendiri dengan tepat
melalui penggunaan tarikh bagi mensahihkan lagi bukti yang diutarakan oleh
beliau. Jika dilihat dari mata kasar, masyarakat dahulu tidak begitu mementingkan
tarikh sewaktu mencanai idea dalam karya mereka namun idealis ini telah
mengemukakan pembaharuan dalam dunia manuskrip pada waktu itu.
Dalam aspek pensejarahan, tarikh
amat penting untuk membuktikan kebenaran tentang aspek yang yang hendak diceritakan
oleh seseorang pengarang itu. Dengan adanya tarikh, tarikh kitab ini dapat
diketahui oleh generasi kini, iaitu pada 1228H (1865M). Tujuan beliau menulis
karya ini adalah untuk tatapan anak cucunya yang akan datang. Antara petikan
yang dapat dipetik daripada manuskrip ini adalah :
Syahadan inilah kesudahan kitab
Tuhfat al-nafis ini. Maka tamatlah riwayat kisah cerita-cerita antara raja-raja
Melayu serta Bugis daripada anak cucu raja-raja Melayu yang keturunan daripada
Marhum Abdul Jalil yang mangkat di Kuala Pahang serta Marhum Raja Kecil negeri
Siak. Syahadan di belakang ini kelak siapa-siapa daripada anak cucuku hendak
menghubungkannya siarah ini maka patutlah, akan tetapi dengan jalan yang patut
dan dengan ibarat perkataan yang wadthu’a dan sah serta aturan yang
patut serta benar supaya terpakai…
(Petikan diambil daripada
buku Tokoh-Tokoh Sastera Melayu Klasik karya Mohamad Daud
Mohamad, 1987,: 136)
Dalam petikan yang diambil, jelas
menunjukkan bahawa beliau menghasilkan sesuatu karya untuk tatapan anak cucunya
yang kemudian agar keturunan dan salasilah mereka dapat dikekalkan. Mungkin
pada waktu itu, beliau telah menyedari tentang hari-hari yang akan datang
mengenai salasilah keturunannya. Sikap beliau yang begitu kreatif terhadap
dunia penulisan juga akhirnya menjadi contoh dan ikutan kepada
pengkarya-pengkarya yang lain.
Dari aspek kebudayaan Melayu
pula, Raja Ali Haji menggunakan hasil karyanya sebagai medium kawalan sosial
terhadap masyarakat pada waktu itu. Kawalan sosial yang dimaksudkan adalah dari
segi pergaulan, tatacara hidup masyarakat dan sebagainya. Raja Ali Haji telah
menggunakan manuskrip beliau untuk mengkritik cara kehidupan masyarakat pada
waktu itu yang telah terpengaruh dengan budaya Belanda yang telah datang
menjajah Tanah Melayu.Seperti yang diketahui, budaya Barat dan Timur sememangnya ibarat minyak
dan air yang tidak akan dapat digabungkan menjadi satu. Hal ini demikian kerana
kepercayaan yang berbeza menyebabkan kedua-dua budaya ini tidak dapat diguna
pakai oleh masyarakat Melayu. Oleh yang demikian, Raja Ali Haji telah
mengkritik perlakuan-perlakuan mereka yang dirasakan oleh beliau tidak sejajar
dengan budaya masyarakat Melayu.
Misalnya dalam Tuhfat
al-Nafis, beliau telah melakukan kritikan halus terhadap gaya hidup orang
istana sewaktu berjumpa dengan gabenor Jeneral Van Der Capellen. Antara petikan
kritikan beliau adalah:
Syahadan pada suatu malam yang
lain pula datang lagi panggilan Gabenor Jenaral pada suatu rumah tempat
orang-orang bermain dan makan-makan. Di situlah segala Holanda yang muda-mudi
menari bersama-sama perempuan nonanya berpeluk-peluk dengan muzik. Lepas
selesai itu baharulah makan-makan hingga pukul satu. Masing-masing pun baliklah
ke rumahnya…
(Petikan diambil daripada
buku Tokoh-Tokoh Sastera Melayu Klasik karya Mohamad Daud
Mohamad, 1987,: 136)
Dalam petikan tersebut,
mencerminkan bahawa perlakuan para tetamu yang hadir yang mana mereka
berpelukkan merupakan satu perlakuan yang jauh tersasar daripada kehendak
syariat. Oleh yang demikian, sebagai salah seorang daripada orang istana, tokoh
pengarang ini tidak dapat menyatakan kritikannya secara terangan lalu telah
mengkritik sikap tersebut melalui karyanya. Penggunaan bahasa yang tepat yang
telah digunakan oleh beliau dapat menyampaikan maksud tersirat yang ingin
diperkatakan olehnya.
Kesimpulannya, peranan dan
sumbangan Raja Ali Haji sangat banyak sepanjang penglibatannya dalam bidang
kepengarangan. Walaupun terdapat pembaharuan yang dibuat oleh tokoh ini namun
beliau masih tetap dianggap sebagai pengarang yang klasik. Beliau bijak
memanipulasikan pembaharuan yang dibuat untuk disesuaikan dengan arus zaman
pada ketika itu tanpa meninggalkan adab resam serta budaya orang Melayu yang
mementingkan kesantunan dalam kehidupan seharian.
Pemikiran
Raja Ali Haji
Tuhfat
al-Naffis
Tuhfat al-Naffis merupakan antara karya Raja
Ali yang terulung pada era kegemilangan beliau. Kitab ini tergolong dalam karya
sejarah kerana menceritakan tentang salasilah keturunan beliau. Namun demikian
merujuk kepada pendapat yang menyatakan bahawa beliau hanya mengolah semula
karya ini kerana pada asalnya karya ini telah ditulis oleh ayahandanya, iaitu
Raja Haji Ahmad. Untuk menyokong lagi teori bahawa Tuhfat ditulis
bersama adalah hakikat bahawa Raja Ali Haji diketahui telah mengerjakan semula
sekurang-kurangnya dua teks yang lain. Syair Sultan Abdul Muluktelah
diterbitkan di bawah namanya. Tetapi dikatakan sebagai karya saudara
perempuannya, dan Salasilah Melayu dan Bugis adalah
berdasarkan kepada kitab yang dipunyai oleh saudara Raja Ali, iaitu Sayyid
al-Syarif Abdul Rahman dari Pontianak (Virginia Matheson 1982: xx), (Harun
Jaafar: 109). Oleh yang demikian, bolehlah dikatakan bahawa Tuhfat
al-Naffismerupakan karya bersama antara Raja Haji Ahmad dengan Raja Ali
Haji. Namun begitu, tokoh terulung ini juga turut memaparkan cerminan ideanya
yang tersendiri tanpa meminggirkan idea asal ayahnya.
Dalam karya sejarah ini, beliau
telah membahagikannya kepada dua bahagian, iaitu bahagian pertama menceritakan
tentang Raja-Raja Melayu Pertama dan bahagian dua memaparkan tentang pelbagai
aspek, iaitu catatan sejarah mengenai orang-orang Bugis. Penceritaannya dalam
karya ulung ini masih lagi memasukkan unsur mitos dan lagenda. Namun demikian
beliau telah meminimumkan unsur-unsur ini. Namun hal yang demikian, karya ini
telah menemukan tentang unsur intertekstualiti, iaitu unsur-unsur lain yang
mempengaruhi teks tersebut. Menurut Mana Sikana (1996), intertekstualiti
mengatakan bahawa sesebuah teks tidak hanya berdiri di kaki sendiri melainkan dihuni
oleh teks atau teks-teks yang lain.
Fenomena yang mewujudkan unsur
intertekstualiti ini adalah rentetan daripada pengaruh karya-karya lain wujud
secara terdahulu sebelum karya Tuhfat al-Naffis. Misalnya dalam karya ini yang
menceritakan tentang proses pengislaman golongan bangsawan. Namun, proses
pengislaman dalam Tuhfat al-Naffis bagi golongan bangsawan
diceritakan dalam bentuk mitos (Harun Jaafar, 112). Beliau menyatakan bahawa
pengislaman Raja Kecil Besar adalah melalui mimpi yang mana Raja Kecil Besar
telah diIslamkan oleh nabi Muhammad sendiri. Hal ini telah diungkapkan oleh
Shellabear melalui karya Tuhfat al-naffis pada tahun 1961.
Dalam pada itu, beliau turut
memasukkan hal-hal peperangan yang terjadi pada zaman tersebut. Fenomena ini
menjurus kepada cerita tentang peperangan yang terjadi antara Belanda dengan
Bugis. Misalnya, isu percubaan untuk berdamai dengan pihak berikat tersebut
yang menemui jalan buntu. Beliau memilih untuk mencanai idea tersebut agar
dapat dijadikan tauladan oleh generasi yang akan datang. Pemikiran beliau yang
sangat optimis itu sangat membantu dalam aspek pensejarahan keturunan Bugis
amnya.
Di samping itu, unsur
intertekstualiti daripada pengaruh kekuasaan raja juga turut diselitkan dalam
karya tuhfat ini. Misalnya, Raja Ali Haji yang
menceritakan tentang adat dan larangan oleh kaum kerabat diraja pada waktu itu
yang diguna pakai sehingga hari ini walaupun ada antara adat tersebut telahpun
‘dibersihkan’ mengikut peredaran zaman. Beliau menyatakan bahawa Sultan Muhammad
Syah merupakan individu pertama yang meletakkan adat-adat Melayu seperti warna
kuning yang tidak boleh dipakai oleh rakyat jelata dan sebagainya untuk
diaplikasikan oleh keturunan diraja yang lainnya (Raja Ali Haji dalam Virginia
Matheson,1982:5). Beliau mencanai idea tersebut melalui adat-adat orang besar
yang berlaku pada waktu itu untuk digarap sendiri dalam karya tuhfat tersebut.
Seterusnya unsur lagenda juga
turut diselitkan dalam Tuhfat al-Naffis sebagai bahan
olahannya dalam karya ini. Seperti yang diketahui, pada zaman tersebut
cerita-cerita lagenda amat popular sehinggakan menarik hati Raja Ali untuk
menggarap isu tersebut. Hal ini demikian kerana beliau yang terpengaruh
dengan Sulalatus Salatin yang juga turut menceritakan tentang
hal tersebut. Misalnya cerita lagenda yang dimasukkan oleh beliau adalah
tentang Badang yang menjadi kuat setelah memakan muntah hantu.
Kesimpulannya, tokoh ini
merupakan antara tokoh yang bijak dalam memanipulasikan idea dalam setiap karya
yang ditulis oleh beliau. Unsur intertekstualiti yang dimasukkan oleh beliau
dalam karya tersebut bukanlah bertujuan untuk ‘memplagiat’ namun lebih kepada
tujuan memperkuatkan hujah yang dinyatakan oleh beliau agar lebih mantap dan
berkesan terhadap pembaca.
Bustan
al- Katibin
Karya ini merupakan hasil
penulisan Raja Ali haji yang jauh berbeza dengan karya-karyanya yang lain. Hal
ini demikian kerana karya ini lebih melihat kepada aspek bahasa atau nahu dan
bukannya cerita-cerita sejarah seperti Tuhfat al-Naffis. Terpadat
pendapat mengatakan, sebenarnya karya ini bukanlah sebuah hasil karya tentang
nahu Melayu, namun sebenarnya penggunaan bahasa Arab ke atas bahasa Melayu.
Sukar untuk mengatakan bahawa beliau telah cuba mengenakan nahu Arab ke dalam
Bahasa Melayu ataupun sebaliknya. Bahagian yang paling besar tentang karya ini
terdiri daripada Mukadimah diikuti oleh 31 Fasal atau perkara mauduk dan
disimpulkan oleh tiga pesan atau nasihat yang ingin disampaikan oleh beliau.
Dalam bahagian besar kitab ini, beliau bukan sahaja memperkatakan analisis ilmu
bahasa tentang bahasa tersebut, tetapi menekankan juga perkara-perkara seperti
nilai ilmu pengetahuan. Bahagian pengenalannya, sepertimana juga dengan
kebanyakkan corak karya-karya klasik lain, diselangi dengan ungkapan-ungkapan
Arab yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Hal ini demikian jelas
merupakan bentuk yang dianjurkan dan digunakan oleh beliau terutama sekali
dalam menulis warkah kiriman. Kemudian, dengan menggunakan bahasa Arab,
disebutkan nama pengarang dan tujuan beliau menulis sebuah buku tentang bahasa
dengan terjemahan bahasa Melayu seperti berikut :
“ini lah suatu kitab yang simpan
bagi orang yang berkehendak atas mengenal segala huruf Melayu dan suratannya
dan aku aturkan dia atas suatu mukadimah dan beberapa fasal dan satu khatamah.
Aku namai akan dia Bustanul Katibin yakni perkebunan jurutulis bagi kanak-kanak
yang hendak belajar.”
(Sumber: Mohamad Daud Mohamad,
1987: 159)
Mukadimah yang agak panjang
diberikan oleh beliau antaranya mengandungi suatu perbincangan tentang
pentingnya ilmu pengetahuan, cara bagaimana ilmu pengetahuan diperoleh,
hubungan dengan guru dan lain-lain.
Kitab
atau karya ini mewakili suatu percubaan bagi menganalisis bahasa Melayu dengan
pelbagai peraturan ilmu bahasa dan nahu bahasa Arab yang telah digunakan bagi
mencapai matlamat ini. Hal ini demikian bukan sahaja disebabkan, beliau seorang
yang fasih berbahasa Arab, tetapi juga kerana bahasa Melayu itu sendiri
terutama dalam bentuk tulisannya telah banyak dipengaruhi oleh penggunaan
bahasa Arab. Orang-orang terpelajar dan intelektual pada masa itu merupakan
individu yang mahir dan mempunyai pengetahuan dalam bahasa Arab. Hal
ini demikian kerana, kegiatan intelektual yang paling unggul dalam zaman klasik
adalah pengajian agama.
Dari
segi sejarah dan kebudayaan, hal ini adalah penting kerana karya ini muncul
dalam masa pertengahan kedua abad yang ke-19, iaitu apabila tatanegara yang
bercorak klasik telah memberikan lorong buat suatu peraturan sosial bentuk baru
yang digariskan dalam pengembangan bangsa-bangsa Eropah ke alam Melayu. Pada
mulanya, seperti juga penggunaan istilah-istilah peribumi seperti nama digunakan
disamping istilah Arab ismuatau perbuatan bahasa
Arabnya fiil disamping bahasa istilah Arab memang dapat dilihat
walaupun separuh daripada percubaan-percubaan itu agak janggal dan sukar
difahami. Namun demikian, masalah-masalah seperti ini bukan digunakan khusus
oleh Raja Ali Haji sahaja, bahkan Zaaba pun dalam Pelita Bahasa Melayu terpaksa
menggunakan istilah-istilah yang sama dan jarang digunakan.
Raja
Ali Haji dianggap sebagai pujangga bercorak klasik yang terakhir dan fakta ini
digambarkan dalam Bustan al-Khatibin. Beliau memperkenalkan
suatu unsur baru dalam dunia persuratan Melayu dengan mencuba menggunakan
sistem penggunaan nahu untuk bahasa ini serta mempertahankan gaya bahasa
klasik. Dalam Fasal yang terakhir melalui kitab ini, Raja Ali Haji menerangkan
dengan jelas model bagi menulis surat kiriman. Menurutnya :
Bermula perkataan pada surat
kiriman itu, maka hendaklah dimulai dengan Bismillahir-Rahmanir-Rahim; kemudian
dengan Alhamdulillah, yakni memuji-muji akan Allah Taala, mana-mana yang
munasabah, dan yang layak pada pekerjaan dan maksud di surat kiriman itu. Kemudian, maka selawat akan nabi
kita serta keluarganya dan sahabatnya. Kemudian barulah dirinya dengan salam
takzim dan mana-mana yang layaknya dan yang munasabahnya. Kemudian barulah
datangkan perkaraan yang menceraikan perkataan puji-pujian dengan perkataan
yang dimaksud, iaitu waba’dah atau amma ba’du. Dan terlebih baik dan terlebih
simpan daripada menyebutkan daripada kalam almazkut dan terlebih fasihat lagi
pula daripada diberi akan makna..”
(Sumber: Mohamad Daud Mohamad,
1987: 161)
Kesimpulannya, Kitab Bustan
al-Katibin masih lagi mewakili pandangan dunia yang bercorak klasik
berhubung penggunaan bahasa walaupun percubaan menyelesaikan suatu nahu untuk
bahasa Melayu itu sendiri merupakan suatu perubahan baharu.
Kitab
Pengetahuan Bahasa
Karya Raja Ali Haji yang berkait
rapat dengan bahasa selain Bustan al-Katibin dikenali
sebagai Kitab Pengetahuan Bahasa. Kitab ini ditulis dalam tahun
1958 tetapi diterbitkan buat kali pertama pada tahun 1928 oleh Percetakan
Al-Ahmadiah di Singapura. Melalui judul halaman, dapat dikenalpasti ianya di
Pulau Penyengat Riau dalam tahun 1275 Hijrah. Namun, kitab ini tidak dihabiskan
sebab kamusnya ditulis hingga ke huruf ca( Ú†). Dapat dilihat juga bahawa judul halaman menunjukkan
yang karya ini sebagai penggal pertama dengan anggapan bahawa terdapat bahagian
yang lain tentang karya ini. Sebagai yang telah diterangkan dalam warkah yang
dihantar kepada Zaaba oleh penerbit pada 9 Januari 1930, karya yang diterbitkan
itu merupakan keseluruhan teks yang telah diperoleh.
Zaaba
berpendapat bahawa Kitab Pengetahuan Bahasa ini lebih bersifat
kamus dan merupakan satu petanda yang penting dalam sejarah kebudayaan
orang-orang Melayu. Walaupun ianya tidak diterbitkan zaman hidupnya penulis,
ianya mewakili suatu unsur baru dalam kegiatan persuratan yang bercorak klasik.
Perkembangan kerja-kerja perkamusan dalam kalangan peribumi Melayu dalam erti
kata moden menampakkan permulaanya dalam abad ke-19 dan percubaan Raja Ali Haji
menyusun sebuah kamus merupakan suatu yang perlu diberikan perhatian. Namun
begitu, karya ini bukanlah merupakan sebuah kamus dalam erti sepenuhnya. Dari
aspek judulnya, ianya merupakan sebuah buku tentang pengetahuan ilmu bahasa
dimana ianya dimulakan dengan suatu bab tentang nahu dengan menggunakan model
bahasa Arab. Mukadimah selepas ungkapan Arab yang biasa digunakan dalam pujian
atas Nabi menerangkan:
Yakni ini satu pendahuluan:
ketahui olehmu orang yang menuntut bahasa Melayu bahawa sesungguhnya
sekali-kali tiada boleh dapat kenyataan segala maksud bahasa Melayu dengan
sempurnanya melainkan hendaklah dengan ilmu yang tersebut yang akan lagi datang
di dalam kitab ini.
(Sumber: Mohamad Daud Mohamad,
1987: 164)
Raja
Ali Haji turut memperlihatkan pandangannya sendiri tentang perkara nahu
seperti:
Ketahui olehmu, hai sekalian
orang yang menuntut, banyaklah aku tinggalkan bicaranya pada ilmu nahu ini,
tiada aku sebutkan di sini, sebab tiada maksudku hendak memanjangkan akan dia.
Barangkali terlebih amat sukar bagi orang yang baharu belajar mamahamkan akan
dia pada ilmu Arab, akan tetapi apatah dayaku daripada sangat loba aku hendak
memperbuatkan kaedah ini yang dipegang oleh orang yang berkehendak akan
membetulkan perkataannya dan suratannya, jika aku bukanlah ahlinya itu
sekalipun pada yang demikian itu.
(Sumber: Mohd. Taib Osman, 1987:
164)
Terdapat sesuatu yang menarik
dimana pengetahuan tentang ilmu bahasa atau nahu dipanggil sebagai ‘ilmu Arab’,
dan pernyataan tentang nahu dalam kitab tersebut tidak dapat diragukan lagi
ialah bahasa Arab yang dipadankan kepada bahasa Melayu. Sebagaimana dalam Bustan
al- Katibin, contoh-contohnya terdiri daripada bunyi Arab daripada bunyi
Melayu. Dalam beberapa ilustrasi tertentu, seperti dalam hal gelaran,
sebahagian yang dibincangkan ditemui dalam hidup orang-orang Melayu di zamannya
seperti sultan, raja, menteri, baginda, yang dipertuan besar, yang dipertuan
muda dan sebagainya.
Bahagian
tentang huruf menunjukkan terdapat pengkategorian bahasa Arab yang sememangnya
tidak selari dengan bahasa Melayu. Contohnya, kategori tentang istilah jar termasuk
dalam kata petunjuk dan juga sebagai dengan, daripada, kepada, hingga dan
sebagainya. Dalam kategori selain daripada jar ia termasuk
kata-kata seruan dan kata penyambung ayat seperti hoi, weh dan sebagainya.
Dalam istilah tiada, beliau menerangkan bahawa terdapat pengertian yang sangat
terhad dalam menggunkan kata negatif dalam bahasa Melayu jika dibandingkan
dengan bahasa Arab yang terdapat beberapa peraturan berhubung penggunaannya.
Kata
interogetif termasuklah adakah, betapakah, beberapa, kerana dan apa. Namun
mengkategorikan siapa, manakala, mana-mana dan di mana sebagai ismu bertanya.
Penerangan beliau tentang perkataan-perkataan seperti ini hampir sama seperti
yang dilakukan dalam bahasa Melayu. Adalah merujuk kepada pertanyaan pada,
betapakah merujuk kepada hal, berapa merujuk kepada bilangan, kerana apa
merujuk kepada sebab, apa merujuk kepada zat, siapa merujuk kepada batang
tubuh, di mana merujuk kepada tempat dan sebagainya.
Beliau
turut mengkategorikan perkataan-perkataan seperti bahkan, supaya, dan maka
sebagai huruf jawab iaitu perkataan-perkataan ini menerangkan apa yang telah
diucapkan sebelumnya. Dan, maka, kemudian, atau dan tetapi dikategorikan
sebagai ‘huruf mengikut’ mengikut istilah Arab. Beliau juga menjelaskan
perbezaan antara ayat yang lengkap, ayat yang tidak lengkap, dan perlengkapan
dalam suatu ayat dengan menggunakan istilah perkataan, kata-kata dan kata yang
berurutan. Ketiga-tiganya dikatakan berbentuk ismu, fiil dan huruf.
Kemudiannya beliau menjelaskan lagi tentang pembentukan atau pembinaan ayat
yang dimulakan dengan perkara-perkara, kemudian diikuti oleh perbuatan.
Bab
pertama kamus ini merupakan bahagian yang paling utama iaitu banyak
membincangkan perkataan-perkataan yang dimulakan dengan huruf alif آ) dan ianya dimulai dengan eksposisi yang
panjang lebar tentang Allah. Hal ini demikian diikuti oleh Ahmad iaitu nama
Nabi Muhammad yang ada dinyatakan dalam Injil, suatu penerangan tentang
sahabat-sahabat nabi, asal usul dan tabiat manusia termasuklah kehidupan
selepas mati. Hal ini demikian termasuklah juga penekanan kepada
perangai-perangai yang terdapat pada manusia seperti tamak haloba dan angkuh
serta sifat-sifat lain yang bertentangan dengan Islam. Terdapat juga eksposisi
yang panjang lebar tentang hari kiamat.
Bab
kedua dan seterusnya telah mengambil bentuk sebuah kamus namun susunannya tidak
mengikut huruf tetapi lebih cenderung kepada melihat aspek bunyi sesuatu kata
itu. Dalam kamus ini banyak perkataan biasa ditemui dalam kamus pada hari ini.
Namun, ianya penting dalam menerangkan perkataan-perkatan tersebut yang tidak
lagi digunakan pada waktu ini. Terdapat istilah-istilah ganjil dari gugusan
Riau-Lingga terutama sekali perkataan yang berasal dari Bugis. Dalam penerangan
terhadap beberapa perkatataan, Raja Ali Haji menggunakan pengetahuan sejarahnya
bagi menerangkan secara lebih lanjut tentang ertinya. Perkataan seperti uputidak
sahaja menerangkan maknanya iaitu nama anak-anak raja Bugis di negeri Luwok
tetapi beliau terus menghubungkan sejarah nenek moyangnya iaitu anak raja Bugis
lima beradik yang memerintah empayar Johor-Riau pada abad ke-18.
Perkataan
tengku diberikan penerangan yang panjang dengan menggalurkan penggunaanya dari
waktu Seri Teri Buana dari Palembang sehingga ke waktu beliau hidup terutama
dalam menjelaskan perbezaan tengku, ungku atau raja. Hal ini demikian digunakan
oleh keturunan pahlawan-pahlawan Bugis dan mereka berketurunan dari nasab
raja-raja Johor. Hal ini turut memperlihatkan pemikiran Raja Ali Haji yang
menggambarkan perkara mauduknya dengan jelas. Raja Ali Haji sememangnya
istimewa kerana mampu memberikan contoh-contoh yang memang sinonim dengan
bentuk-bentuk yang muncul dari sesuatu itu. Contoh-contoh yang diberikan
selalunya daripada cakap ajuk supaya mudah difahami. Banyak perkataan yang
diberikan nafas baru melalui kamus ciptaan beliau ini.
Secara kesimpulannya, merujuk
kepada karya beliau ini dalam konteks masa dan zaman ketika itu, karya Raja Ali
Haji sememangnya tersohor dan beliau boleh dikatakan sebagai pelopor kerana
beliau tidak mempunyai sebarang model untuk dijadikan contoh dalam karyanya
itu. Bahkan karya beliaulah yang dirujuk untuk melihat konteks bahasa atau nahu
secara lebih jelas oleh masyarakat pada zaman tersebut dan berkembang hingga
hari ini.
ABDULLAH MUNSYI
Latar belakang
Nama sebenar Munsyi Abdullah ialah Abdullah bin Abdul
Kadir. Beliau dilahirkan pada 1796 di Kampung Masjid atau Kampung Masjid Keling
yang juga dikenali sebagai Kampung Pali pada waktu itu. Abdullah mempunyai
empat orang adik-beradik tetapi ketiga-tiga abangnya telah meninggal dunia
ketika kecil berusia antara satu hingga tiga tahun. Ibu Abdullah selalu
menangis dan berasa susah hati sehinggakan sampai ke pengetahuan seorang guru
agama yang bernama Habib Abdullah. Beliau menasihati ibu Abdullah supaya
berhenti menangis dan jika dikurniakan anak lelaki lagi, maka diberikan nama
Abdullah bagi mengambil berkat daripada nama beliau.
Abdullah menyatakan asal usul keturunannya bermula
daripada seorang pemuda Arab Yaman, suku Uthmani yang bernama Syeikh Abdul
Kadir. Syeikh Abdul Kadir telah mengembara dari Tanah Arab ke Bandar Nagor di
India. Beliau bekerja sebagai guru agama dan bahasa. Beliau telah berkahwin dengan
gadis tempatan dan menetap di tanah asing itu. Mereka telah dikurniakan empat
orang anak dan salah seorang merupakan datuk Abdullah yang bernama Muhammad
Ibrahim. Muhammad Ibrahim telah mengembara sehingga ke
Melaka apabila Syeikh Abdul Kadir meninggal dunia. Beliau juga telah
berkahwin di Melaka dengan gadis bernama Peri Achi mungkin
berketurunan India-Islam dan mendapat anak yang salah seorangnya ialah ayah
Abdullah, iaitu Abdul Kadir sempena nama ayah beliau.
Abdul Kadir sangat tegas dengan anaknya terutama dalam
pelajaran. Setiap malam bapa Abdullah akan mendera beliau supaya menyambung
pelajaran atau membuat kerja rumah. Hasil didikan itu menyebabkan Abdullah
menjadi pintar dan kreatif berbanding kanak-kanak lain. Abdullah dikatakan
cepat matang dan memiliki sikap berdikari kerana pada usia yang masih
kanak-kanak lagi, beliau sudah menjual layang-layang, melukis, menulis surat,
dan menyalin al-Quran untuk mendapatkan wang. Abdullah juga sangat rajin
menuntut ilmu. Dia tidak kisah belajar dengan sesiapa asalkan dapat mempelajari
ilmu baru. Bidang yang paling digemarinya ialah bidang bahasa dengan meluaskan
pengetahuan mengenai kata dari aspek simpulan, ikatan, rangkai kata, kuasa,
tujuan, dan ilmu bahasa. Beliau juga turut mempelajari bahasa Tamil, Arab, dan
Inggeris selain bahasa Melayu untuk memudahkan proses berkomunikasi dengan
bangsa lain.
Abdullah menerima gelaran “munsyi” yang bermaksud guru
ketika berumur 11 tahun kerana kepintarannya dan mempunyai banyak ilmu. Beliau
juga menjadi guru dan mengajar pelajaran agama kepada askar Islam Melaka.
Golongan askar tersebut atau dikenali sebagai Supai atau ‘sepoy’ dalam bahasa
Inggeris yang telah memberikan gelaran “munsyi”. Mereka merupakan anggota
tentera berbangsa India yang diambil berkhidmat dengan tentera Inggeris di
India. Panggilan “munsyi” digunakan oleh Abdullah di hujung nama beliau dan
gelaran tersebut menjadi sebahagiaan daripada nama penuh beliau sehingga kini.
Abdullah meninggal dunia pada tahun 1854 berusia 58 tahun ketika
dalam perjalanan ke Mekkah. Ketika itu, beliau ingin menunaikan fardhu haji
pada 19 Januari 1854. Sepanjang perjalanan itu, Abdullah mencatat pengalamannya
tetapi terhenti apabila beliau meninggal dunia semasa berada di Mekkah. Hasil
tulisan Abdullah itu tetap dicetak walaupun tidak dapat disiapkan dengan diberi
tajuk “Kisah pelayaran Abdullah ke Jeddah” yang diterbitkan oleh Balai Pustaka,
Jakarta pada 1920.
Sumbangan dan Peranan
Abdullah seorang yang sangat berkebolehan dan bijak.
Abdullah banyak memainkan peranan dan memikul tanggungjawab seperti telah
dilantik sebagai jurutulis dan penterjemah ketika Stamford Raffles membuat
lawatan ke Melaka kali ketiga. Beliau bekerja di kediaman Raffles Bandar Hilir,
Melaka. Tugas yang lakukan sebagai jurutulis Raffles antaranya menyalin
hikayat, menulis surat kiriman, menulis tentang bahasa Melayu, syair, dan
sebagainya. Sikap rajin dan dedikasi yang ditunjukkan oleh Abdullah membuatkan
Raffles menyenanginya dan berasa hormat dalam kalangan Inggeris terhadap anak
watan itu. Bagaimanapun, persahabatan itu terputus apabila Raffles berpindah ke
Betawi.
Ketika usianya 27 tahun, Abdullah telah mengajar
Bahasa Melayu kepada Paderi Milne tetapi pada masa yang sama Paderi Milne
bersetuju menerima Abdullah belajar bahasa Inggeris. Selain menjadi seorang
guru kepada orang Inggeris, Abdullah turut mencetak buku dan risalah. Abdullah
juga telah mengajar seorang lagi Inggeris yang bernama C.H.Thomson ketika dia
datang ke Melaka pada bulan September 1815 selepas Abdullah mula belajar dan mengajar
di rumah Paderi Milne. Walaupun Paderi Thomson pernah belajar bahasa Melayu di
Jawa, dia tetap mahu menguasai lagi bidang nahu dan penulisan bahasa Melayu.
Abdullah bersetuju untuk mengajar Paderi Thomson bahasa Melayu setelah
berbincang dengan Paderi Milne dan memperuntukkan masa yang lebih berbanding
Paderi Milne. Hal ini demikian dapat dilihat bahawa orang Inggeris berminat
untuk mempelajari bahasa Melayu dan menunjukkan penyebaran penggunaan bahasa
Melayu di seluruh dunia. Kehebatan anak Melayu juga terserlah apabila mampu
bekerjasama dengan orang Inggeris.
Selain itu, pada tahun 1815, peralatan percetakan
telah digunakan di kediaman Paderi Milne. Percetakan lebih giat dilakukan
selepas peralatan percetakan seperti pengecap buku dan surat, dan pembentuk
huruf-huruf jawi di bawa masuk. Abdullah telah menggunakan peralatan baru itu
untuk membuat huruf-huruf, mengaturnya, dan mencetak buku serta surat. Dengan
bantuan Abdullah, Aglo-Chinese College(ACC) telah mengeluarkan terjemahan buku
matematik untuk anak-anak Melayu. Buku-buku perbualan dalam bahasa Melayu untuk
tujuan berkomunikasi dan majalah turut diterbitkan. Berdasarkan rekod sejarah,
majalah “Bustan Ariffin” telah diterbitkan di dalam dwi-bahasa, Inggeris-Melayu
tiga bulan sekali. Bagaimanapun, penerbitan majalah tersebut hanya mampu
bertahan selama dua tahun sahaja .
Apabila Singapura dibuka, Abdullah telah berpindah di
sana dan menjadi jurutulis serta jurubahasa Raffles. Di Singapura, beliau tetap
meneruskan kerja-kerja utamanya seperti di Anglo-Chinese College di Melaka,
iaitu sebagai jurucetak, jurubahasa dan mengajar bahasa Melayu kepada
pedagang-pedagang yang berada di Singapura. Beliau juga bertanggungjawab
menulis undang-undang Singapura atas arahan Raffles. Abdullah juga diberi tugas
untuk mengumpul bahan sastera Melayu lama seperti kitab, hikayat dan syair
untuk Raffles membawa pulang bahan itu ke England. Seorang Inggeris yang
bernama Newbold telah mengarahkan Abdullah mengkaji dan menulis adat Cina dan
masyarakat Jakun dalam bahasa Inggeris apabila Abdullah kembali ke Melaka.
Tugas itu telah membawa Abdullah mengembara ke Gunung Pancur bagi melihat dan
mengkaji budaya hidup masyarakat Jakun di sana.
Pemikiran Abdullah
Munsyi
Kebanyakkan hasil penulisan yang ditulis oleh Abdullah
ini ialah berdasarkan pengalaman hidup yang pernah dilaluinya dan hal-hal
realiti. Antara hasil karya yang telah ditulis ialah Kisah Pelayaran
Abdullah (1838 ketika beliau sedang mengembara ke Pahang, Terengganu,
dan Kelantan., karya Hikayat Abdullah (1849) tentang
perjalanan hidupnya, karya Kisah Pelayaran Abdullah ke Jeddah (1920),
karya Syair Singapura Terbakar(1830), Dewa-ul-kulub (1883),
dan sebagainya. Sarjana bahasa bersepakat bahawa dari segi penggunaan bahasa
Melayu, Abdullah Munsyi tidak boleh dikategorikan sebagai tokoh bahasa yang
terbaik. Abdullah menggunakan bahasa Melayu yang tidak setaraf dengan bahasa
Melayu yang terdapat dalam karya-karya Melayu lama. Hal ini demkian kerana,
Abdullah dilahirkan dalam keluarga yang bertutur dalam bahasa Tamil dan pada
peringkat awal, bahasa Melayu diajar oleh bapanya sendiri. Walau bagaimanapun,
dengan semangat yang tinggi, Abdullah mempelajari bahasa Melayu secara formal,
teratur, dan betul.
Abdullah boleh dianggap sebagai wartawan yang
merakamkan pengalaman hidup dan kisah-kisah yang berlaku dalam masyarakatnya.
Karya yang ditulis berdasarkan hal-hal yang menarik dan mampu memberikan
manfaat kepada para pembaca kerana cerita yang dihasilkan bukanlah cerita
dongeng atau khayalan. Bahan-bahan yang ditulis Abdullah menjadikan suatu titik
persimpangan besar yang membezakan antara karya-karya Melayu lama dengan
penulisan Melayu moden. Begitu juga dengan hasil penulisan Abdullah yang
tergolong ke dalam bentuk kesusasteraan Melayu moden. Oleh itu, Abdullah Munsyi
telah diberikan penghormatan oleh golongan sasterawan Melayu sebagai “Bapa
Kesusasteraan Melayu Moden”.
TUN SRI LANANG
Latar belakang
Seorang lagi tokoh pengarang karya agung dunia Melayu
yang diiktiraf karyanya adalah Tun Sri Lanang. Beliau merupakan salah seorang
tokoh pengarang karya agung dahulu yang amat berjasa kepada dunia Melayu
sehingga kini atas sumbangannya yang telah mencatatkan segala hal yang berlaku
pada zamannya dan segala hal yang didengar daripada orang tua-tua dahulu. Sebagai
permulaan sebelum diperturunkan segala sumbangan dan ulasan karya beliau, baik
kiranya dilihat dahulu serba sedikit latar belakang atau biodata tokoh
pengarang ini yang pada awalnya tercatat juga di dalam kitab terkenal
karangannya. Nama sebenar Tun Sri Lanang ialah Tun Muhammad bin Tun Ahmad.
Beliau merupakan anak kepada Tun Ahmad Paduka Raja. Tun sri Lanang telah
dilahirkan pada tahun 1565 di Bukit Seluyut, Batu Sawar, Johor.
Antara tugas yang pernah ditugaskan kepada Tun
Muhammad ini adalah Bendahara Mahkamah Diraja Kesultanan Johor sekitar abad
ke-16 dan ke-17 serta pernah berkhidmat di bawah pemerintahan dua orang Sultan
Johor, iaitu Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II pada tahun 1570 hingga 1597
dan Sultan Alauddin Riayat Shah III pada tahun 1597 sehingga 1615. Selain itu,
dalam khidmatnya, Tun Sri Lanang pernah menjadi penasihat kepada tiga orang
Sultan Acheh iaitu Sultan Iskandar Muda (1615-1636), Sultan Iskandar Thani
(1636-1641) dan Sultan Tajul Alam Safiatuddin Shah (1641-1675). Tun Sri Lanang
dalam hayatnya juga telah digelarkan sebagai Bendahara Johor, Bendahara Paduka
Raja Tun Mohamad dan setelah menetap di Acheh, beliau digelar sebagai Orang
Kaya Dato’ Bendahara Seri Paduka Tun
Seberang.
Sumbangan dan Peranan
Antara sumbangan terbesar Tun Sri Lanang adalah, Tun
Sri Lanang telah menulis dan menghasilkan sebuah karya yang menjadi rujukan dan
peringatan buat bangsa Melayu, iaitu Kitab Sejarah Melayu. Dari
sudut sejarah penulisannya, pada tahun 1612, Raja Abdullah telah menitahkan Tun
Sri Lanang untuk menulis Sejarah Melayu’untuk memastikan masyarakat
pada zaman tersebut mengambil manfaat daripada penulisan tersebut. Buktinya
adalah melalui petikan yang terdapat di dalam karya tersebut yang juga disebut
sebagai Sulalatus Salatin atau Pertuturan Segala
Raja-raja yang bertulis seperti berikut;
“Bahawa hamba minta diperbuatkan hikayat […]
pertuturan segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya, supaya didengar oleh
anak cucu kita yang kemudian dari kita dan diketahuinyalah segala perkataan, syahadan
beroleh fa’edahlah mereka itu daripadanya.”
(Sulalat al-Salatin, edisi Karya Agung, 1997: 3)
Maka dituliskan Kitab ini sebagai tanda taat beliau
terhadap sultan, dengan jawapannya dicatatkan seperti di bawah;
“Maka fakir karanglah hikayat ini […] dan fakir
himpunkan daripada segala riwayat orang tuha-tuha dahulu kala supaya akan
menyukakan duli hadrat baginda.”
(Sulalat al-Salatin, edisi Karya Agung, 1997: 4)
Kitab Sejarah Melayu ini dikatakan
ditulis oleh Tun Sri Lanang bermula Februari 1614 dan telah disiapkan pada
Januari 1615. Ini bermaksud bahawaSejarah Melayu telah ditulis 103
tahun setelah Portugis menakluk Melaka. Pada masa tersebut juga Tun Sri Lanang
masih berada dalam tawanan Acheh dan meninggal di Acheh. Inilah kitab yang
dikatakan sebagai Sejarah Melayuyang menjadi sumber pensejarahan
Melayu dan dokumen kebudayaan Melayu yang sangat penting.
Antara lainnya,
Tun Sri Lanang dalam sumbangannya terhadap dunia Melayu pernah terlibat secara
langsung dalam perancangan menawan semula Melaka sekitar tahun 1586, 1587 dan
1606. Beliau juga pernah ditugaskan untuk menyusun pertahanan Johor bagi
menghadapi serangaan Portugis dan Acheh, menjdi utusan kerajaan Johor ke Goa
untuk berunding dengan Portugis pada tahun 1612 dan pernah juga mengatur perjanjian
bersama Admiral Matelief pada tarikh 23 September 1606 untuk
mempertahankan Johor daripada serangan Acheh.
Pemikiran Tun Sri Lanang
Pada asalnya, Sejarah Melayu ini
dikarang di Melaka dan dibawa bersama semasa Sultan Mahmud Shah berundur dari
Melaka pada tahun 1511. Seterusnya, pada tahun 1528, naskhah asal Sejarah
Melayu ini telah dibawa dari Kampar ke Johor. Pada tahun 1536,
Portugis dikatakan telah merampas naskhah ini semasa menyerang Johor. Kemudian,
ia telah dibawa kembali ke Johor oleh Orang Kaya Suguh. Pada tahun 1612, Tun
Sri Lanang kembali menyalin semula dan memperbaiki naskhah Sejarah
Melayu yang sedia ada. Kebenaran sama ada Tun Sri Lanang merupakan
penulis sebenar atau sekadar penyunting karya Sejarah Melayu ini
tidak dapat dipastikan dengan tepat. Namun, menurut Syeikh Nuruddin Al-Raniri
seorang ulama’ dan penasihat agama Sultan Acheh, beliau telah memperakui bahawa
Tun Sri Lanang adalah pengarang dan penyusun Sulalatus Salatin yang
sebenar berdasarkan bukti tertentu dan atas dasar beliau juga adalah kenalan
rapat kepada Tun Sri Lanang.
Karya Sulalatus Salatin (Sejarah
Melayu) ini terisi di dalamnya pelbagai sejarah masyarakat Melayu, Jawa,
Brunei, Patani dan Campa. Ia adalah suatu karya yang banyak menceritakan
tentang sejarah bangsa-bangsa di Nusantara dan diperakui kekayaan isi cerita di
dalamnya. Pelbagai peristiwa yang kini dilabelkan sebagai sejarah bangsa Melayu
termuat di dalam hasil pengarangan ini termasuklah yang berunsurkan salasilah
raja-raja, kisah kepahlawanan, sejarah, humor atau jenaka, kisah-kisah cinta
dan kasih sayang, kisah yang berunsur magis dan sebagainya. Kisah-kisah ini
dirakamkan dan disampaikan mesejnya kepada pembaca melalui gambaran dan
imaginasi yang tinggi, daya fikiran yang tajam serta melalui pelukisan yang
tepat. Dapat juga dilihat melalui karya ini, Tun Sri Lanang menggunakan
pelbagai bahasa, misalnya bahasa Arab dan Jawa yang menggambarkan kelebihan
beliau sebagai individu yang menguasai lebih daripada satu bahasa.
Penulisan Tun Sri Lanang tentang Sejarah
Melayu ini antara lainnya menggambarkan kehidupan masyarakat Melayu
pada zaman dahulu kala yang boleh menjadi contoh dan tauladan buat masyarakat
Melayu pada masa ini. Melalui pengkaryaan ini juga dapat dilihat bukti keagungan
masyarakat Melayu sedari dulu yang kini menjadi warisan dan tinggalan buat
masyarakat kini serta menjadi bukti kukuh keagungan Melayu sejak dahulu. Hal
ini terbukti apabila terciptanya ratusan puisi, drama, filem, lukisan, dan
karya sejarah yang tercetus hasil daripada karya Sulalatus Salatin serta
dapat juga dilihat banyak yang diterjemahkan ke dalam bahasa lain seperti
bahasa Inggeris, Russia dan Jerman. Antara petikan yang boleh dijadikn bukti
kepelbagaian kisah yang terdapat dalam Kitab Sejarah Melayu dapat
dilihat seperti berikut;
Kisah Perkahwinan Puteri Syahrul Bariah
“Bahawa sudahlah hamba kahwinkan anak Raja Kida Hindi
yang bernama Puteri Syahrul-Bariah dengan Raja Iskandar. Adapun isi kahwinnya
tiga ratus ribu dinar emas, redakah tuan hamba? Maka disahutnyalah Raja
Iskandar, ‘Redalah hamba’.’
(Sulalatus Salatin, 2003: 6)
Melalui petikan di atas, dapat dilihat cara
perkahwinan Islam pada masa dahulu dengan aturannya. Nabi Khidir menjalankan
tugasnya menikahkan anak Raja Kida Hindi dengan Raja Iskandar menurut syariat
Nabi Ibrahim. Melalui petikan tersebut juga dapat dilihat cara masyarakat
dahulu disatukan antara lelaki dan perempuan. Melalui perkahwinan inilah mereka
dapat menimbulkan rasa kasih sayang antara suami dan isteri serta kekal bahagia
dalam hidup berpasangan.
Kisah Badang Beroleh Gagah
“Maka oleh Badang diambilnya prangg dn kapaknya, serta
diberani-branikan dirinya, lalu diteerpanya menangkap janggut hantu itu,…”
(Sulalatus Salatin, 2003: 48)
Ini pula kisah yang memperlihatkan keperkasaan dan
magis yang dimiliki oleh masyarakat dahulu kala yang kekuatannya sukar
dijangkau oleh pemikiran orang pada zaman ini. Ada lagi kisah-kisah yang
menggambarkan kekuatan, keperkasaan dan magik, misalnya Kisah Ketiganya Sama
Gagah, Mia Ruzul dengan Kambing Randuk, Nyaris Lembing diterbangkan ke Dada dan
sebagainya. Terdapat juga kisah-kisah yang menggambarkan perihal raja-raja,
adat istiadat dan sebagainya. Kesemuanya terdapat di dalam Kitab Sejarah
Melayu yang ulung dituliskan oleh Tun Sri Lanang Bendahara raja ini.
Rujukan
Rujukan
Ding
Choo Ming (2003). Kajian Manuskrip Melayu: Masalah, Kritikan dan
Cadangan. Kuala Lumpur: Utusan
Publications & Dsitributors Sdn. Bhd
Harun
Jaafar (2002). Wacana Kesusasteraan Melayu Klasik. Tanjong
Malim: Penerbit Universiti Sultan Idris.
Ismail
Yusoff (2008). Kesusasteraan Melayu Lama Dan Baru. Kedah:
Universiti Utara Malaysia
Mohamad
Daud Mohamad (1987). Tokoh-Tokoh Sastera Melayu Klasik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka
Raja
Haji Ahmad dan Raja Ali Haji (editor: Virginia Matheson: 1982). Tuhfat
al-Naffis. KualaLumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd
Sahlan
Mohd. Saman (1994). Pengarang
Dan Keperangan Melayu. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan
Pustaka
Siti
Hawa Haji Salleh (1997). Kesusasteraan Melayu Abad Kesembilan Belas.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
No comments:
Post a Comment