Sunday, December 7, 2014

KONSEP KARYA AGUNG


  “Karya” menurut Kamus Dewan Edisi Keempat membawa maksud buatan atau ciptaan sesuatu. Manakala “Agung” pula membawa maksud paling besar, terutama, tertinggi, teristimewa dan terkemuka. Maka dengan ini Karya Agung boleh diertikan sebagai ciptaan atau buatan yang terutama, tertinggi dan teristimewa daripada seseorang pengarang.                                                                                                                              
Karya Agung Melayu merupakan karya yang melambangkan keunggulan daya cipta atau hasil kreativiti seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu pada zaman dahulu dalam menggambarkan idealisme, nilai pandangan hidup, adat, budi, kesedaran dari segi agama dan moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui bentuk-bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga mampu untuk meninggalkan kesan dari aspek seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam kehidupan bangsa Melayu. Secara amnya, ketamadunan Melayu amat sekali dipengaruhi dan dibentuk oleh tradisi sastera ini sendiri.                                                                                                                           
 1 Konsep Berdagang
Berdagang merupakan aktiviti biasa yang dilakukan oleh masyarakat Melayu dahulu. Malahan, masyarakat hari ini juga turut melakukan aktiviti berdagang bagi meluaskan lagi empayar perniagaan. Aktiviti berdagang pada zaman dahulu dilakukan bagi mendapatkan barangan untuk tujuan jual beli. Pedagang akan merantau keluar dari tempatnya untuk mendapatkan bekalan barangan jualan. Dalam buku Sulalatus Salatin, konsep berdagang turut diselitkan apabila Sultan Mahmud mengkehendaki kain serasah empat puluh jenis.
“Hatta maka Sultan Mahmud pun hendak menyuruh ke benua Keling, membeli kain serasah empat puluh bagai; pada sebagai empat puluh helai; pada sehelai empat puluh bunganya. Maka Hang Nadim dititahkan baginda ke benua Keling membeli kain itu; kerana Hang Nadim terlalu pandai barang pekerjaan.”
                                                                                                            (Sejarah Melayu, 2010:218)

Contoh ini jelas menunjukkan terdapat pedagang yang mahir berdagang iaitu Hang Nadim. Hal ini membuktikan, masyarakat Melayu ketika itu sudah mula menjalankan aktiviti perdagangan. Malah, aktiviti berdagang ini terus dijalankan sehingga kini sehingga terjalinnya hubungan perdagangan dengan negara-negara luar.   

 2 Konsep Melayu
Masyarakat Melayu terkenal dengan identitinya yang penuh adab sopan serta adatnya. Selain adab sopan dan adat yang diamalkan, masyarakat Melayu sangat berpegang pada konsep waad atau perjanjian. Masyarakat Melayu dahulu akan mementerai perjanjian terhadap sesuatu perkara. Masyarakat Melayu dahulu sangat berpegang pada peribahasa iaitu ‘kerbau diikat pada tali, manusia diikat pada janji’. Dalam Sulalatus Salatin, konsep waad ini jelas dilihat antara Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana.  
“ Maka sembah Demang Lebar Daun, “ Sungguh tuanku seperti khabar orang itu; jikalau tuanku berkehendak patik itu, patik sembahkan, lamun mahu duli tuanku berjanji dahulu dengan patik.”
“Maka titah Seri Teri Buana, “Kabullah hamba akan janji paman itu; tetapi hamba pun hendak minta janji juga pada paman.” Maka sembah Demang Lebar Daun , “Janji yang mana itu, patik pohonkan titah Duli Yang Maha Mulia.”
                                                                                                            (Sejarah Melayu, 2010:25) 

Petikan diatas adalah perjanjian antara Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana tatkala Seri Teri Buana berhasrat mahu berkahwin dengan puteri Demang Lebar Daun. Kemudian, Seri Teri Buana juga membuat satu perjanjian dengan Demang Lebar Daun setelah beliau menerima perjanjian daripada Demang Lebar Daun. Jelas lah disini bahawa konsep perjanjian itu sering dipraktiskan dalam masyarakat dahulu. Malah konsep ini turut dipartikkan dalam masyarakat hari ini. Namun, kepatuhan masyarakat hari ini terhadap janji yang dimenterai kemungkinan tidak lagi sama seperti masyarakat zaman dahulu.
            Selain itu, masyarakat Melayu dahulu juga terkenal denga ketinggian budi bicaranya. Masyarakat dahulu mengatur patah bicaranya dengan panjang lebar dan ayatnya bersimpang siur. Mereka banyak menggunakan bahasa kiasan kerana mereka tidak mahu tutur bicara mereka mengguris perasaan orang yang mereka berbicara. Manis bicara yang diungkapkan bukan sahaja dalam kalangan rakyat jelata sesama rakyat, malah kelembutan bicara tersebut juga dituturkan ketika seseorang menyembah raja.
… “Daulat Tuanku Syah Alam, patik ini hamba yang hina mohonkan ampun dan kurnia di bawah Duli Yang Dipertuan akan patik ini, kerana hamba Syah Alam tiada berdosa ke bawah cerpu Duli Syah Alam. Maka hamba Syah Alam pun harap akan ampun Syah Alam kerana si Tuah tiada mahu bertuan lain daripada anak cucu Syah Alam.”
                            (Hikayat Hang Tuah, 1997 : 231)
            Petikan diatas diujarkan oleh Hang Tuah terhadap rajanya. Hang Tuah memohon sembah kepada raja supaya mengampuninya. Hang Tuah menggunakan perkataan yang menjunjung rajanya itu dan beliau menggunakan ayat menghina bagi mewakili dirinya sebagai tanda beliau menjunjung tinggi rajanya itu.

3 Konsep Merantau atau Mengembara 
Merantau dan mengembara merupakan perkara lazim yang dilakukan oleh masyarakat pada zaman dahulu. Merantau bermaksud berpindah ke sesuatu tempat dan menetap sementara atau selamanya di perantauan. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan masyarakat dahulu merantau. Antaranya ialah untuk membuka petempatan baru, membina kehidupan baru atau disebabkan perkahwinan. Dalam Hikayat Hang Tuah, diceritakan dalam watak Hang Tuah lima bersaudara tatkala mereka masih kecil. Hang Tuah menyuarakan pendapat kepada empat lagi saudaranya untuk meranatu ke temapat lain untuk mencari makan.
… “ Hai saudaraku keempat, kita ini lima bersaudara dapatlah melayarkan sebuah perahu lading supaya kita pergi merantau barang kemana mencari makan.” Maka kata Hang Jebat dan Hang Kasturi, “ Mengapatah tiada dapat kita lima bersaudara ini melayarkan sebuah perahu?” maka sahut Hang Tuah, “ Baiklah jika demikian. Perahu bapa hamba ada, sebuah lading lengkap dengan perahunya; kita turun dengan beras juga, sepuluh gantang pada seorang.” Maka sahut Hang Jebat dan Hang Kasturi, “Marilah kita pulang, kita berlengkap.”     
                                  (Hikayat Hang Tuah, 2008:25)
            Petikan tersebut jelas menunjukkan bahawa masyarakat Melayu dahulu gemar merantau untuk mencari rezeki. Mereka keluar merantau dari tempat asal mereka kerana mahu memperbaiki kehidupan mereka. Hal ini kerana, mereka cuba untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik tanpa mengharapkan rezeki di tempat sendiri.   
Dalam Sulalatus Salatin juga turut diselit konsep merantau oleh pengarangnya. Perkara ini dapat dilihat dalam bab pembukaan negeri Melaka.
“Sebermula Raja Iskandar Syah berjalan itu datang hampir hulu Muar, bertemu suatu tempat yang baik. Maka baginda berhenti berbuat tempat dengan pagarnya, akan berbuat negeri. Apabila malam hari, datanglah biawak terlalu banyak beribu-ribu. Setelah hari siang, dibawa orang ke air, apabila malam datang pula berlaksa-laksa, serta siang hari di padang orang banyak pula, maka dibunuh orang dibuang ke air, dan apabila malam datang pula berganda, dibunuhi orang menjadi busuklah tempat itu tiadalah terhidu bau busuknya; maka itulah tempat itu dipanggil “Biawak busuk”, datanglah sekarang.”
“Maka Raja Iskandar Syah pun berjalan balik membaruh, lalu terus kepada sebuah sungai, Bertam namanya; dan kualanya berbuki. Maka baginda pun datanglah ke sana, berhenti di bawah sepohon kayu, terlalu rampak, maka baginda menyuruh berburu; sekonyong-konyong terjun anjing dihambat pelanduk. Titah baginda “Baik ini diperbuat negeri, anjing alah oleh pelanduk; jikalau orangnya betapa lagi?” Maka Sembah Segala Orang Besar-besar, “Benarlah seperti titah duli tuanku itu. Maka disuruh baginda tebas, diperbuat negeri. Maka titah baginda, “Apa nama kayu itu?” Maka sembah orang, “Kayu Melaka namanya, tuanku,” Maka titah Raja Iskandar Syah, “Jika demikian Melakalah nama negeri ini.”  
(Sejarah Melayu, 2010:70-71)
Petikan diatas menunjukkan masyarakat pada zaman dahulu merantau untuk membuka petempatan atau negeri. Hasil daripada aktiviti merantau tersebut, banyak tempat telah ditemui dan banyak negeri telah berjaya dibuka. Malah negeri-negeri tersebut kekal sehingga ke hari ini. Misalnya, negeri Melaka. Konsep merantau tersebut masih kekal sehingga ke hari ini. Namun, kebanyakan masyarakat Melayu hari ini merantau disebabkan oleh factor perkerjaan dan perkahwinan. 
 
4 Konsep Keagamaan
Setelah kedatangan Islam ke alam Melayu, masyarakat Melayu sangat menitikberatkan amalan keagamaan dalam diri mereka. Setelah sultan Melaka diislamkan oleh seorang makhdum dari Jeddah, maka semua rakyat jelata dititahkan untuk memeluk agama Islam. Setelah itu, masyarakat Melayu mula mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian mereka. Bukan rakyat jelata sahaja, malah kerabat diraja turut tidak ketinggalan mengamalkan ajaran Islam.
“Maka Sultan Alau’d-Din pun terlalu sukacita mendengar sembah segala mereka itu. Maka baginda memandang kepada muka anakanda baginda, Raja Mamad, maka titah Baginda, “Hei anakku, adapun engkau hendaklah banyak-banyak sabar, dan ampunmu akan hamba sahayamu , dan baik-baik memelihara akan dia; kerana firman Allah Taala Inna’llahu ma’as sabirin, yakin bahawa Allah Taala serta pada segala yang sabar. Dan jikalau datang kepadamu dua perkerjaan, satu perkerjaan Allah, dan suatu pekerjaan dunia. Hendaklah engkau sangat-sangat menyerahkan dirimu kepada hadrat Allah Taala yang akan memelihara akan kamu kerana wa man yatawakkal ‘ala’llah. Dan segala anak Melayu bagaimanapun besar dosanya, jangan olehmu diaifi dia, dan sampai kepada hukum syarak dosanya derhaka, bunuhlah; kerana segala Melayu itu ketanahanmu, seperti kata Arab Al-‘abdi tinu’l maulahu, yang hamba itu tanah tuhannya.”
(Sejarah Melayu, 2010:186-187)    
Petikan tersebut merupakan pesanan daripada Sultan Alau’d-Din kepada anaknya Raja Mamad. Pesanan baginda sarat dengan pesana berbentuk keagamaan. Selain itu, baginda juga berpesan kepada anknya supaya sekiranya anaknya itu bakal menjadi raja setelah kemangkatannya, anaknya itu haruslah memerintah dengan adil. Sekiranya terpaksa menjatuhkan hukuman, hukuman tersebut hendaklah berpandukan syarak. Bertitik tolak daripada kerajaan Melaka inilah, agama Islam kekal di Alam Melayu dan diamalkan sehingga sekarang.

5 Konsep Feudal atau Pemerintahan Beraja
Konsep feudal atau pemerintahan beraja juga turut diterapkan dalam karya agung Sulalatus Salatin. Sememangnya masyarakat Melayu dahulu diperintah oleh Raja atau Sultan. Rakyat bawahan wajib mentaati rajanya dan mereka disogok dengan kenyataan bahawa sekiranya rakyat menderhaka kepada sultan, mereka akan terkena tulah. Oleh sebab konsep ketaatan itulah terdapat segelintir raja-raja pada zaman dahulu mengambil kesempatan memerintah dengan zalim. Biarpun titah yang diberikan sangat kejam atau tidak berperikemanusiaan, namun orang bawahan terpaksa menurut perintah kerana takut dihukum kerana menderhaka. Rakyat pula terpaksa akur dengan pemerintahan yang zalim kerana sekiranya mereka menderhaka, mereka akan terkena tulah atau hukum karma. Dalam Sulalatus Salatin, pengarang ada menyelitkan pemerintahan seorang raja yang zalim sebagai pengajaran dalam bab Singapura dilanggar todak.
“Maka suatu hari, Tuan Jana Khatib berjalan di pekan Singapura bertudung; maka ia lalu hampir pagar istana raja. Maka dipandangnya di pintu peranginan raja itu, ada seorang perempuan dilindung oleh pohon pinang gading; oleh Tuan Jana Khatib ditiliknya pohon pinang itu belah dua.”
“Setelah dilihat oleh Paduka Seri Maharaja perihal itu, maka bagindapun terlalu murka; titah baginda, “ Lihatlah kelakuan Tuan Jana Khatib, diketahuinya isteri kita ada di pintu maka ia menunjukkan ilmunya.” Maka disuruh baginda bunuh; Tuan Jana Khatib pun dibawa orang akan dibunuh, hampir ujung negeri tempat orang membuat bikang, disanalah ia ditikam orang.”
(Sejarah Melayu, 2010:67)  
Petikan tersebut menunjukkan perilaku seorang pemerintah bertindak zalim terhadap rakyatnya yang tidak bersalah. Raja tersebut menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa sehingga menyebabkan nyawa seorang rakyat yang tidak berdosa melayang. Namun, secara keseluruhan cerita dalam Sulalatus Salatin ini, pengarang banyak menceritakan tentang pemerintahan raja atau sultan yang baik. Pengarang juga menceritakan ketaatan rakyat terhadap raja sehinggakan rakyat biasa yang bernama Hang Tuah diangkat menjadi legenda kerana kepatuhannya kepada Sultan.    

6 Ketaatan Kepada Raja atau Sultan
Masyarakat dahulu telah diterapkan dengan nilai ketaatan dan kepatuhan kepada raja. Dengan itu, semua rakyat jelata wajib patuh kepada semua arahan raja atau sultan meskipun perintah yang diberikan dianggap zalim dan tidak wajar. Dalam Hikayat Hang Tuah, konsep ketaatan kepada raja sangat jelas dalam watak Hang Tuah itu sendiri. Ketaatan Hang Tuah kepada rajanya tidak berbelah bahagi. Hal ini dapat dilihat dengan jelas apabila raja menitahkan agar Hang Tuah membunuh rakan baik yang dianggap seperti saudara sendiri iaitu Hang Jebat.
“Maka Seri Nara Diraja punmenyuruhkan orang mengambil Hang Tuah; maka Hang Tuah datanglah dibawa orang ke hadapan Sultan Mansur Syah. Pucat, kurus, jalan teranggar-anggar. Miskinan Hang Tuah belas segala yang memandang kerana lama dalam pasungan. Setelah Sulatn Mansur Syah melihat Hang Tuah datang, maka dianugerahi baginda ayapan. Setelah sudah Hang Tuah makan, maka oleh Sultan Mansur Syah diambil keris daripada pinggang baginda, dianugerahi pada Hang Tuah; maka titah baginda, “Basuhkan arang dimuka aku.” Maka sembah Hang Tuah, “Insya-Allah Taala, baiklah tuanku.” Maka Hang Tuah pun menjunjung duli, lalu pergi mendapatkan Hang Jebat.”     
                                                 (Sejarah Melayu, 2010:140)
            Petikan diatas merupakan perintah daripada Sultan Mansur Syah kepada Hang Tuah supaya membunuh Hang Jebat yang dikatakan menderhaka kepada baginda. Biarpun Hang Jebat merupakan sahabatnya sejak kecil, namun demi ketaatannya kepada sultan, Hang Tuah sanggup membunuh sahabatnya itu. Hal ini berkemungkinan kerana Hang Tuah memegang konsep “kerja raja dijunjung, kerja sendiri dikelek”. Ketaatan beliau sangat jelas ketara sehinggakan beliau tidak mempersoalkan kewajaran tindakannya untuk membunuh Hang jebat. Dalam Hikayat Hang Tuah tiada tanda yang menunjukkan bahawa Hang Tuah menghadapi dilema untuk membunuh sahabat sejak kecilnya itu. Padanya, tugas yang diarahkan oleh raja harus dilaksanakan. Manakala, soalan tentang kewajaran perintah tersebut  diletak ketepi.
            Contoh diatas merupakan sebahagian daripada bukti ketaatan Hang Tuah terhadap sultan. Ketaatan Hang Tuah kepada rajanya tidak berbelah bahagi. Dalam Hikayat Hang Tuah, Tuah digambarkan sebagai rakyat dan tokoh yang setia menjalankan segala perintah rajanya walaupun kadangkala tugas yang diberikan itu tidak sejajar dengan kedudukannya sebagai pahlawan negara. Hal ini dapat dilihat sewaktu raja memerintahkan beliau mengambil kuda tezi kesayangan anakanda baginda raja yang jatuh ke dalam telaga tahi.

7  Keberanian
Konsep keberanian boleh dikatakan sebagai cerminan masyarakat Melayu dahulu. Hal ini kerana, sifat keebarnian juga turut tersemat dalam diri masyarakat Melayu dahulu. Mereka berani melakukan pelbagai perkara termasuk mempertahankan tanah air mereka daripada penjajah. Dalam Hikayat Hang Tuah, pengarangnya turut memaparkan keberanian beberapa watak yang digarab dalam karyanya. Dalam hikayat ini, konsep keberanian dapat dilihat dengan jelas pada watak utamanya iaitu Hang Tuan. Sifat keberanian ini juga turut ditonjolkan pada watak Hang Jebat. Keberanian Hang Tuah dapat dilihat sejak beliau kecil lagi. Hal ini kerana, walaupun masih kecil Hang Tuah dan empat sahabatnya yang lain sudah berani meneroka laut dalam dengan menaiki perahu gading milik bapanya. 
… ““ Hai saudaraku keempat, kita ini lima bersaudara dapatlah melayarkan sebuah perahu lading supaya kita pergi merantau barang kemana mencari makan.” Maka kata Hang Jebat dan Hang Kasturi, “ Mengapatah tiada dapat kita lima bersaudara ini melayarkan sebuah perahu?” maka sahut Hang Tuah, “ Baiklah jika demikian. Perahu bapa hamba ada, sebuah lading lengkap dengan perahunya; kita turun dengan beras juga, sepuluh gantang pada seorang.” Maka sahut Hang Jebat dan Hang Kasturi, “Marilah kita pulang, kita berlengkap.”    
            Petikan diatas menunjukkan Hang Tuah dengan berani mengajak keempat-empat saudaranya merantau dengan menggunakan jalan laut. Setelah mendapat keebnaran daripada ayahanda dan bonda masing-masing, mereka berlima pun merantau. Semasa mereka merantau ke tengah laut, mereka diserang oleh tiga buah perahu lanun.
“ Berapa antaranya maka dilihat oleh Hang Tuah dari jauh, maka kelihatan perahu berlayar tiga buah menuju perahu mereka. Maka kata Hang Tuah, “ Hai handiaku keempat, ingat-ingat kita; perahu musuh rupanya yang datang kelihatan tiga buah itu.” Maka dilihatnya benarlah seperti kata Hang Tuah itu. Maka kata Hang Jebat, “Perahu musuhlah lakunya. Apa bicara kita kalian?” Maka sahut Hang Kasturi, “ Apatah yang kita endahkan? Yang kita hendak pun bertemu dengan perahu musuh.” Maka sahut Hang Lekir dan Hang Lekiu, “ Mengapa pula begitu? Masa beta tumangkan; sehingga mati sudahlah.” Maka kata Hang Tuah seraya tersenyum, “ Hai saudaraku, pada bicara hamba, baik juga perang diatas pulau kerana perahu kita kecil; tewas juga kita kera ia tiga buah dengan besarnya dan senjatapun banyak dan orangpun banyak; sukar melawani dia.” Maka kata Hang Kasturi, “ Yang mana benar segeralah kita kerjakan, kerana makin hampir.” Oleh Hang Tuah membelokkan perahunya itu menuju pulau itu.”  
        (Hikayat Hang Tuah, 2008:25)
            Petikan diatas menceritakan keadaan mereka berlima ketika didatangi musuh. Mereka sedikit pun tidak gentar hendak melawan musuh yang sebegitu ramai dan lengkap dengan senjata. Malah, mereka sempat berfikir kaedah yang berkesan untuk mengalahkan musuh mereka. Contoh ini jelas mejunjukkan konsep keberanian orang Melayu pada zaman dahulu apabila kanak-kanak yang masih kecil ini berlayar sendirian tanpa ditemani oleh orang yang lebih dewasa. Malah, mereka juga berani berhadapan dengan begitu ramai musuh yang lengkap dengan senjata sedangkan mereka hanya berlima dan mereka tidak mempunyai senjata yang canggih. Dalam hikayat yang sama, pengarang menceritakan keberanian seorang rakyat jelata menderhaka kepada raja kerana raja bertindak zalim. Keberanian ini ditonjolkan pada watak Hang Jebat. Hang Jebat sangat berani menegakkan keadilan sehinggakan beliau sanggup menderhaka kepada raja. Biarpun keberaniannya dalam menuntut keadilan telah menyebabkan beliau dibunuh oleh sahabatnya sendiri iaitu Hang Tuah, namun keberaniannya itu telah menjadi contoh dan tauladan sehingga kini. Hal ini kerana, kita sewajarnya berani menentang kezaliman demi menjaga kesejahteraan negara.  

8 Diplomasi   
Konsep diplomasi atau menjalinkan hubungan serantau dengan negara-negara lain di dunia juga merupakan konsep penting yang menjadi cerminan masyarakat Melayu dahulu. Dalam Sulalatus Salatin, pengarang turut menceritakan Melaka melakukan hubungan diplomasi dengan Negara-negara lain seperti Siam, Majapahit, China dan India. Hubungan diplomasi dengan Siam bermula apabila  Melaka menghantar utusan ke Siam iaitu rombongan yang diketuai oleh Tun Telanai dan Tun Jana Putera. Melaka telah menghantar utusan mereka kerana mahu bersahabat dengan Siam dengan cara menghantar surat melalui rombongan yang diterajui oleh Tun Telanai dan Tuj Jana Kahtib. Di Siam, rombongan daripada Melaka diterima baik oleh Raja Siam. Rombongan tersebut disambut dan diraikan dengan dipersembahkan dengan pertunjukan lembing. Hasil rombongan tersebut, Melaka telah Berjaya meyakinkan kerajaan Siam untuk menjalinkan hubungan diplomatik. Dengan termenterainya perjanjian persahabatan tersebut, maka Melaka telah bersahabat dengan Siam. Langkah ini telah benyak memberi keuntungan kepada Melaka. Langkah ini telah menjamin keutuhan Melaka sekali gus meningkatkan keduudkan Melaka standing dengan Siam. Selain itu, keselamatan Melaka juga terjamin. Hal ini kerana, sekiranya kerajaan Melaka diancam, sultan Melaka akan mendapatkan bantuan ketenteraan daripada Siam.
            Selain melakukan hubungan diplomatik dengan Siam, Melaka juga menjalinkan hubungan diplomatik dengan kerajaan Majapahit. Melaka menghantar rombongan ke Majapahit kerana Sultan Mansur Syah telah jatuh cinta kepada Puteri Majapahit iaitu Raden Galuh Cendera Kirana.
“ Sebermula, ke Melaka pun kedengaranlah pula peri baik parasnya tuan puteri itu. Maka Sultan Mansur Syah pun berkiri-kira akan pergi ke Majapahit, berani rasanya baginda akan galuh Majapahit itu. Baginda memberi titah kepada Bendahara Paduka Raja menyuruh berlengkap; maka baginda pun mengerahkan segala orang supaya berlengkap perahu, masing-masing dengan kuasanya.”
(Sejarah Melayu, 2010:118)
            Petikan diatas menunjukkan bagaimana bermulanya hubungan diplomasi antara Melaka dengan kerajaan Majapahit.
            Selain daripada Siam dan Majapahit, Melaka turut menjalinkan hubungan diplomatik dengan China. Hubungan diplomatik dengan China bermula apabila China menghantar utusan ke Melaka setelah mendengar khabar tentang kebesaran raja Melaka. Setelah Sultan Mansur Syah mendengar bunyi surat yang diutus oleh China, baginda mengutuskan Tun Perpatih Putih untuk membawa utusan ke China sebagai balasan.
“ Setelah Sultan Mansur Syah mendengar bunyi surat itu, baginda pun tersenyum. Maka disuruh baginda ambil segala jarum yang dipilau itu, dan pilau itu disuruh baginda isi dengan sagu rendang sehingga sarat. Maka Tun Perpatih Putih, adik Bendahara Paduka Raja, dititah Sultan Mansur Syah membawa utusan ke benua China. Maka Tun Perpatih Putuh pun pergilah. Bebrapa lamanya di jalan, sampailah ke benua China.”  
(Sejarah Melayu, 2010:131) 
Petikan diatas menunjukkan bagaimana bermulanya hubungan diplomatik antara kerajaan Melaka dengan China. Melaka juga melakukan hubungan diplomatik dengan India iaitu ke Benua Keling. Utusan dihantar untuk mendapatkan kain serasah yang dimahukan oleh sultan. Rombongan diketuai oleh Hang Nadim. Hal ini kerana, Hang Nadim sangat pandai dalam hal tulis menulis dan melukis. Selain India, Melaka juga menjalinkan persahabatan dengan Sulawesi.

9. Ketinggian ilmu
Biarpun masyarakat pada zaman dahulu dikatakan kurang mengambil berat soal pendidikan, namun terdapat segelintir masyarakatnya yang sangat mementingkan ilmu. Mereka akan belajar apa jua ilmu selagi mereka memilki peluang untuk mempelajarinya. Dalam Hikayat Hang Tuah, pengarang menggambarkan kepentingan nilai ilmu pada watak Hang Mahmud iaitu bapa kepada Hang tuah dan dalam watak Hang Tauh itu sendiri.
“ Bermula Hang Tuah pun besarlah; tahulah ia akan hal ibu bapanya itu. Maka Hang Mahmud pun diserahkan anaknya mengaji kepada seorang lebai. Telah berapa lamanya, Hang Tuah mengaji Qu’ran, maka pengajian itu pun tamatlah. Maka Hang Tuah mengaji nahu pula. Telah sudah tamat pengajiannya, maka ia berkata kepada bapanya, “Ayo bapaku, pada bicara hamba, hendak mengaji pada lebai Keling pula, supaya hamba tahu pula bahasanya.” Maka kata Hang Mahmud, “ Benarlah seperti bicara anakku itu.” Maka Hang Tuah pun mengajilah pula pada seorang lebai Keling. Hatta berapa lamanya, maka tamatlah dengan bahasa Keling itu, habislah diketahuinya. Maka Hang Tuah berkata pada bapanya hendak mengaji pada lebai Siam pula supaya akan diketahuilah akan bahasanya.”    
(Sejarah Melayu, 2010:24)
            Petikan tersebut menunjukkan betapa Hang Tuah cintakan ilmu sehingga beliau menawarkan diri untuk belajar beberapa bahasa seperti bahasa Keling, Siam, Cina dan Jawa.

 10 Persahabatan
Jika disebut tentang persahabatan, pastinya ia merupakan perkaitan antara rakan yang telah terjalin sekian lama. Masyarakat pada zaman dahulu sangat menjaga hubungan persahabatan yang telah terjalin. Dalam Hikayat Hang Tuah, pengarang turut memuatkan keakraban persahabatan yang terjalin antara Hang Tuah dan empat lagi sahabatnya iaitu Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Lekiu dan Hang Kasturi.
… “ Dengan demikian maka Hang Tuah tahulah bahasa; umurnya pun datanglah sepuluh tahun. Maka ia pun bersahabat sama-sama budak-budak sama besar, seorang nama Hang Jebat dan seorang namanya Hang Kasturi dan seorang namanya Hang Lekir dan seorang namanya Hang Lekiu. Maka Hang Tuah pun berkasih-kasihan lima bersahabat itu. Jika pergi barang ke mana main-main pun tiadalah ia bercerai. Jika makan pun sama-sama dan main pun sama-sama, seperti orang bersaudara sungguh lakunya.”          
                                                                                                (Hikayat Hang Tuah, 2008:24-25)
Petikan tersebut menunjukkan keakraban Hang Tuah dengan empat lagi sahabatnya sejak kecil. Merekan akan melakukan semua perkara bersama-sama. Mereka bermain bersama-sama, malah apabila hendaka makan juga mereka akan bersama-sama. Keakraban mereka tetap untuh sehinggalah mereka dewasa. Bukan itu sahaja, kpersahabatan yang terjalin antara mereka sangat ketara yang dapat kita lihat adalah apabila Hang Jebat sanggup menderhaka demi menuntut bela atas kematian Hang Tuah. Biarpun akhirnya Hang Jebat dibunuh oleh Hang Tuah sendiri, malah kematiannya tetap mendapat pembelaan daripada Hang Jebat. Peristiwa ini dapat dilihat apabila Hang Jebat hanpit mati kerana ditikam oleh Hang Tuah.
… “Jikalau ada kasih akan diprhamba, ada satu pesan diperhamba.” Maka kata Lakasmana, “ Pesan yang mana itu?” Maka kata Hang Jebat, “Adapun diperhamba bermukah dengan Dang Baru, dayang-dayang Datuk Bendahara; maka sekarang ia bunting tujuh bulan. Jika ia berabak laki-laki, ambil oleh orang kaya peliharakan jadikan hamba; mana perintah orang kaya. Ituleh pesan diperhamba .” Maka Laksmana pun berkata, “ Biaklah insya-Allah Taala, anak saudaraku itu anaklah kepada hamba.”       
(Hikayat Hang Tuah, 2008:367)
Petikan tersebut merupakan amanat terakhir Hang Jebat kepada Hang Tuah supaya Hang Tuah memelihara anaknya setelah beliau tiada kelak. Setelah putera Hang Jebat lahir, maka Hang Tuah sedaya upaya memenuhi permintaan terakhir Hang Jebat supaya memberikan anaknya kepada orang kaya untuk dipelihara. 
“ Maka Laksmana pun masuk menghadap Tun Teja, pohonkan kurnia dengan nama Tun Teja, hantarkan budak itu kepada Bendahara Seri Buana Inderapura. Maka Tun Teja pun berkenanlah akan bicara Laksmana itu. Maka Hang Kadim pun suruh di hangtar ke Inderapura. Maka Tun Teja pun berpesan pada bendahara Seri Buana. Maka dipeliharakanlah oleh Bnedahara Seri Buana itu dengan sepertinya.”
(Hikayat Hang Tuah, 2008:370)
            Petikan diatas menunjukkan bahawa amanat yang ditinggalkan oleh Hang Jebat telah ditunaikan oleh Hang Tuah. Hal ini menunjukkan, persahabatan yang terjalin antara mereka tidak pernah putus walaupun mereka sudah terpisah.









No comments:

Post a Comment