Tuesday, December 9, 2014

NILAI ILMU DAN MAKLUMAT

Nilai Ilmu dan Maklumat

1. Ilmu Firasat
Ilmu firasat merupakan salah satu bentuk ilmu yang berkait rapat dengan kebolehan “membaca” perwatakan manusia melalui tanda yang ada pada tubuh. Tanda pada tubuh tersebut bukan sesuatu yang dibuat secara sewenang-wenangnya tetapi berdasarkan kepercayaan dan pengalaman yang hidup subur dalam nilai budaya dan amalan hidup masyarakat. Antara karya yang memuatkan penceritaan tentang firasat ialah Taj al –Salatin dan Bustan al-Salatin.
Medan makna firasat dalam The Encyclopedia of Islam didefinisikan sebagai: “ a technique of inductive divination which permits the foretelling of moral conditions and psychological behaviour from external indications and physical states. These indications are provided by colours, forms and limbs; they reveal the secrets of characters and minds”
                                                                                                      (The Encyclopedia of Islam, 1991: 916)
Antara unsur ilmu yang termasuk dalam medan makna ilmu firasat adalah seperti dalam senarai berikut: Birth- marks and beuty spot, palmistry, character as revealed from shoulder-blades, examination of foot-prints, examination of morphoscopic or genealogical lines, finding one’s bearing in deserts, dowsing, detection of precious metals, signs foretelling rain, the unravelling pf secret analogies between present and future events, divination by means of palm-trees (palmomancy).

                                                                                                     (The Encyclopedia of Islam, 1991: 915)
Kewujudan ilmu firasat dalam tradisi keilmuan Islam paling ketara dapat ditemui khazanah kesusasteraan Arab dan Parsi khususnya yang berkaitan dengan cerIta tentang nabi, khalifah, aulia, ahli tasawuf, orang alim, raja yang bijaksana dan sebagainya. Antara tokoh ilmuwan Islam yang sering muncul dalam cerita tentang ilmu firasat termasuklah Khalifah Umar al- Khattab dan Imam Syafii. Dalam konteks ini, cerita tentang ilu firasat tersebut bukan sahaja berperanan untuk memperlihatkan kelebihanttokoh, tetapi juga mengandungi pelbagai nasihat, pengajaran dan panduan tentang akal budi, tatasusila kesopanan dan adab tingkah laku manusia. Dengan kata lain, cerita tentang ilmu firasat juga merupakan sebahagian penting dalam tradisi kesusasteraan yang hidup subur dalam kesusasteraan Islam.

Antara karya khusus tentang ilmu firasat ialah Al- Siyasa fi’ilm al –firasa oleh Shams al –Din Abu Abd Allah Muhammad ibn Ibrahim ibn Abi Talib al- Ansari Al- Sufi al- Dimashki (m. 1327), Risala fi’ilm al-firasa oleh Fakhr al-Din al- Razi (m1209), Risala fi’l- firasa oleh Ya;kub ibn Ishak al-Kindi dan Al-Firaasat oleh Ibn Kayyim al- Djawziyya. Maksud firasat seperti yang dinyatakan jelas menunjukkan kekayaan ilmu firasat Melayu zaman silam yang boleh “membaca” fikiran dan jiwa manusia berdasarkan tanda yang tertentu. Dalam kehidupan masyarakat Melayu, maksud firasat sering kali menjelma dalam pelbagai istilah yang berbeza-beza tetapi mempunyai maksud yang sama, antara lain, melalui kata-kata, “ gerak rasa”, “gerak hati” dan sebagainya. Mungkin orang yang mempunyai ilmu firasat yang tinggi dapat membaca fikiran dan keperibadian manusia hanya dengan melihat rupa atau “air muka” seseorang.

Penulisan tentang ilmu firasat dalam Bustan al-Salatin terdapat dalam bab VII karya yang berkenaan dan terbahagi kepada empat bahagian yang utama. Dalam bahagian yang pertama, Nuruddin al- Raniri menumpukan perhatian kepada definisi dan pembahagian umum tentang ilmu firasat. Menurut Nuruddin al-Raniri, ilmu firasat ialah ilmu tentang kaedah atau cara (rencana) untuk mengetahui kelakukan zahir dan batin manusia berdasarkan bukti tertentu (dalil dan kias). Kaedah untuk mengetahui kelakuan manusia itu terbahagi kepada dua bahagian, iaitu firasat “hakimi” dan firasat “ shar’i”. Hal ini dinyatakan oleh Nuruddin al-Raniri dalam bahagian tajuk fasal tentang firasat: Fasal yang kedua pada menyatakan ilmu firasat iaitu rencana daripada dalil dan kias dengan dia daripada kelakuan zahir kepada kelakuan batin. Mereka itu terbahagi atas dua bahagi: pertama –tama hakimi, kedua shar’i.
                                                                                                   (Bustan al-Salatin, SOAS MS 35600: 32)

Dalam huraian yang seterusnya, Nuruddin al-Raniri memperincikan makna firasat ‘hakimi dan ‘shar’i’. Menurutnya, firasat ‘hakimi’ merupakan peringkat ilmu firasat yang boleh dimiliki oleh manusia biasa dan terbahagi kepada dua bahagian iaitu ‘qiafat’ dan ‘firasat’. ‘Qiafat’ berkaitan dengan ilmu untuk mengetahui sifat manusia berdasarkan ciri fizikalnya, sementara ‘firasat’ berkaitan dengan ilmu untuk mengetahui sifat manusia berdasarkan perbuatan dan kepercayaannya. Hal ini dinyatakan yang berikut: Maka yang hakimi itu terbahagi atas dua bahagi pula. Pertama-tama qiafat, iaitu mengetahui akan tanda kebajikan dan kejahatan daripada segala rupa manusia. Kedua, firasat, iaitu mengentahui tanda kebajikan dan kejahatan daripada kelakuan segala manusia, dan kepercayaan, dan perbuatan, dan perkataannya.
                                                                                                  (Bustan al-Salatin, SOAS MS 35600: 32)

Berbanding dengan firasat ‘hakimi’ yang boleh dimiliki oleh manusia biasa, firasat shar’i pula lebih khusus kepada golongan tertentu, iaitu orang arif, anbia dan aulia Allah. Golongan anbia( nabi), aulia (wali), dan ahli Sufi khususnya merupakan golongan manusia yang sangat istimewa, yang sangat dikasihi Allah dan sentiasa menerima cahaya petunjuk daripada Allah. Makna ilmu firasat yang sedemikian menepati definisi firasat yang terdapat dalam A Dictionary Of Islam seperti yang berikut: A Sufi term for the enlighttenment of the heart. A penetration into the secrets of the unknown”. (Hughes, 1982: 128). Hal ini menunjukkan ilmu firasat ‘shar’i’ sangat istimewa, yang merupakan ‘suatu gerak hati anugerah Allah taala’ kepada hamba-Nya yang pilihan sahaja” Adapun firasat shar’i itu, kata segala arif, iaitu suatu gerak hati daripada anugerah Allah taala dengan tilik kepada suatu tanda seperti tilik kepada firasat hakimi jua. Itulah firasat segala anbia dan segala arif dan aulia Allah.
                                                                                                   (Bustan al-Salatin, SOAS MS 25600: 32)

FIRASAT HAKIMI dapat dimiliki oleh manusia biasa Qiafat: ilmu firasat berdasarkan tanda pada tubuh manusia. Bersifat Alam biasa firasat berdasarkan perbuatan, tingkah laku dan percakapan
FIRASAT SHAR’I hanya dimiliki manusia pilihan (sufi/ anbia/ aulia/) Bersifat firasat berdasarkan alam tinggi ‘gerak hati anugerah daripada Allah taala’.

Dalam bahagian kedua huraian tentang ilmu firasat terdapat pelbagai petikan yang berkaitan dengan ilmu firasat yang diambil daripada al-Quran, hadis dan kata orang bijak pandai. Petikan tersebut memainkan peranan yang sangat penting sebagai bukti nyata tentang kewujudan firasat sebagai contoh petikan al-Quran, hadis dan kata orang bijak pandai yang berkaitan dengan ilmu firasat tersebut adalah seperti yang berikut:
Petikan al-Quran (surah al-Fath: 29) ‘Tanda bahagia mereka itu kelihatan pada muka mereka itu daripada bekas sujudnya’
                                                                                                    (Bustan al-Salatin, SOAS MS35600: 33)

Bahagian ketiga merupakan huraian lanjut tentang firasat hakimi, khususnya tentang firasat ‘qiafat’, yakni tentang tanda pada tubuh badan manusia. Bahagian ini terdiri daripada 9 halaman
(Bustan al-Salatin, SOAS MS 35600: 38-46)
Jika dibandingkan dengan Taj al-Salatin, huraian dalam Bustan al-Salatin tentang tanda tubuh badan manusia lebih banyak dan panjang. Secara keseluruhannya, terlihat kecenderungan Nuruddin al- Raniri untuk memilih sifat manusia yang sederhana sebagai sifat terbaik dan terpuji:
            Maka adalah tanda kebajikan pada segala pekerjaan dan perbuatan dan kelakuan dan rupa sekalian itu pada manusia ugahari dan sederhana.
                                                                                                  (Bustan al-Salatin, SOAS MS 35600: 33)

Bahagian keempat merupakan bahagian penghayatan ilmu firasat dalam tradisi kesuasteraan Islam. Dalam bahagian ini, Nuruddin al- Raniri memperhalus perbicaraannya tentang ilmu firasat melalui beberapa contoh cerita yang berkaitan dengan ilmu tersebut, termasuklah cerita tentang nabi, khalifah, ulama dan raja. Dalam cerita berkenaan memperlihatkan bagaimana pengetahuan dalam ilmu firasat membantu seseorang mengenali perwatakan orang yang berhubungan dengannya dan seterusnya dapat menyelesaikan masalah yang timbul. Pengetahuan dalam ilmu firasat juga dapat membantu seseorang memilih manusia yang benar dan dapat menghindarkan diri daripada manusia yang tidak berbudi pekerti.

2. Ilmu Pendukunan
Banyak sekali istilah jika kita membahas tentang pendukunan. Ada yang memanggilnya sebagai dukun atau bomoh bagi orang kampung, tabib menurut istilah sufinya, orang-orang pintar, ahli metafizik istilah ilmiahnya, arraf (orang yang mengaku mengetahui hal-hal yang ghaib) dan kahin (sebutan bagi orang yang mengaku mengetahui ilmu ghaib yang mengkhabarkan tentang kejadian yang akan datang atau yang tersirat dihati), sedang dalam istilah syari’at dikenal dengan thaghut (setiap yang diagungkan selain Allah dengan disembah, ditaati, dipatuhi baik berupa benda mati, manusia yang dianggap suci, syaitan) atau jibt (sebutan untuk sihir, tukang sihir, tukang ramal, dukun, berhala dan sejenisnya) atau auliya syaitan (wali-wali syaitan).

3. Ilmu Jampi
Ilmu perkataan ilmu membawa maksud pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain dan perkataan jampi pula bermakna kata-kata tertentu yang diucapkan untuk mendatangkan kesaktian seperti boleh menyembuhkan penyakit (Kamus Dewan Edisi Keempat). Mana Sikana dalam bukunya sastera Melayu klasik menghuraikan jampi serapah bukan sekadar penglahiran perasaan seperti puisi tetapi mempunyai hubungan dengan kejiwaan dan sistemkepercayaan.

Pembaca jampi atau dikenali sebagai pawang  merupakan manusia luar biasa dan disifatkan sebagai manusia perantara mahkluk dengan khaliq atau supernatural. Oleh itu, mereka tidak begitu mudah memberikan jampi serapahnya kepada orang lain. Hal ini demikian kerana kebimbangan jampi serapah yang diketahui itu tidak mujarab lagi. W.W Skeat dalam Mana Sikana menjelaskan bahawa masayarakat tradisional Melayu amat akrab dengan unsur mistik dan jampi lahir interaksi antara alam luaran dengan dalaman. Di dalam sesebuah jampi terdapat unsur-unsur pemujaan, perubatan, kasih-sayang, pendinding dan berhubung dengan psikologi manusia. Jampi biasanya disampaikan dalam bahasa Banjar.

Mana Sikana berpendapat bahawa jampi mempunyai hubungan dengan estetika, iaitu unsur-unsur keindahan. Jadi tidak hairanlah terdapat pendapat yang beranggapan jampi serapah sebagai puisi kerana ikatan-ikatan yang pelbagai ragam dalam pemakaian bahasa puisi. Secara kesimpulannya, jampi menunjukkan kepercayaan yang masih sebati terhadap kuasa ghaib. Justeru, hanya orang tertentu sahaja yang boleh mewarisi jampi-jampi tersebut.

Jampi mempunyai dua bentuk yang dominan, seperti bentuk pantun dan bentuk pantun bebas. Bentuk pantun kebiasaannya mempunyai pembayang dan maksud. Oleh itu, untuk menunjukkan bahawa jampi ini mempunyai keghaiban, jampi tersebut digubah berkerat-kerat bagi menimbulkan keharmonian dan kuasa bahasa. Hal ini dapat dilihat dalam jampi tawar bisa.

Jampi dalam Islam

Terdapat riwayat yang menjelaskan bahawa penggunaan jampi ini sudah wujud sejak zaman nabi Muhammad s.a.w lagi;
Dari jabir dia berkata: “rasulullah saw telah melarang kami berjampi-jampi, lalu datanglah keluarga Amru bin Hazm kepada rasulullah saw, mereka berkata, kami mempunyai jampi yang digunakan untuk penyembuhan sengatan kala jengking, sementara engkau telah melarang untuk berjampi-jampi. Jabir berkata, merekapun memperlihatkannya kepada baginda  ”. lalu rasulullah saw bersabda : tidak apa-apa. Barangsiapa diantara kamu boleh memberikan suatu kemanfaatan kepada saudaranya, maka lakukanlah.
                                                            (http://kamusutama.wordpress.com/tag/pengertian-ruqyah/)

Berdasarkan hadis tersebut, pengamalan atau pembacaan jampi mantera ini boleh dilakukan selagi tidak bercanggah dengan syarak dan tidak pula syirik kepada Allah. Jenis jampi yang dikatakan dalam petikan riwayat di atas adalah berkaitan jampi dalam bidang perubatan, iaitu untuk merawat sengatan binatang berbisa seperti kala-jengking. Maka, apa yang dikatakan oleh Rasulullah dalam menjawab persoalan berkaitan hukum mengamalkan ilmu jampi dalam Islam ialah dibolehkan selagi cara tersebut boleh mendatangkan kebaikan. 

Selain itu, terdapat pendapat yang mengatakan tidak salah mengamalkan sesuatu jampi itu selagi jampi itu tidak mengandungi perkatan atau perkara-perkara yang syirik walaupun jampi atau mentera itu dalam tulisan Arab, Inggeris, Latin dan sebagainya. Jika isi atau kandungan jampi itu difahami dan makna yang  digunakan masih berlandaskan agama Islam, maka jampi tersebut boleh digunakan. Rasulullah saw sendiri tidak melarang sebarang aktiviti ilmu jampi atau serapah asalkan perkara ini tidak menjadi kemurkaan kepada Allah s.w.t.

Hal ini juga dapat dilihat dalam Hikayat  Malim Deman di mana kebanyakkan jampi atau mantera yang dibaca terkandung nama Allah dan Rasulullah. Jampi dan mantera dalam karya tersebut juga dimulakan dengan kalimah bismillah. Pelbagai jenis jampi dan mantera yang terdapat dalam karya agung ini. Di samping itu, karya ini juga memperlihatkan betapa masyarakat melayu klasik bergantung kepada amalan pemujaan dan ilmu jampi serapah.


4. Maklumat Tentang Strata Sosial Dan Masyarakat

Stratifikasi sosial masyarakat Melayu yang berperingkat jelas telah diperincikan dalam Sejarah Melayu. Dalam karya tersebut, masyarakat Melayu tradisional dibahagikan kepada dua golongan atau kumpulan iaitu golongan pemerintah dan golongan diperintah. Golongan pemerintah dan diperintah masing - masing terbahagi pula kepada beberapa kelompok yang lebih kecil bercirikan taraf, kedudukan, dan peranan yang dapat dimainkan dalam masyarakat. Namun begitu, kecenderungan terhadap pemerintah boleh dilihat dalam segi poltik, undang – undang, ketenteraan, ekonomi, dan adat – istiadat. Stratifikasi sosial bererti perbezaan individu dalam masyarakat yang menyebabkan kemunculan satu hierarki yang terdiri daripada lapisan orang yang berlainan kedudukan. Pada kebiasaannya, kelas masyarakat di Negara ini dibahagikan mengikut kriteria tahap pendidikan dan umur.

Herarki merupakan susunan sesebuah masyarakat yang bakal membentuk pentadbiran. Herarki ini menggambarkan kedudukan sesuatu golongan atau kelompok dalam masyarakat. Bagi masyarakat Melayu tradisional, sistem sosial atau herarkinya bersifat feudal. Raja atau Sultan berkuasa dan menduduki tempat tertinggi dalam sistem sosial masyarakat Melayu tradisional. Herarki masyarakat Melayu tradisional dipengaruhi oleh beberapa faktor iaitu keturunan, hubungan kekeluargaan, pangkat dan kedudukan yang disandang, tugas dan sebagainya. Dari aspek demografi pula, kedudukan masyarakat dapat dikategorikan mengikut jumlah pemilikan harta, reka bentuk rumah, gaya pakaian dan penggunaan istilah dalam pertuturan.



GOLONGAN PEMERINTAH

Raja/Sultan

Pada zaman Melayu tradisional, raja dianggap sebagai pemerintah yang berdaulat dan amat mulia. Daulat ini dikaitkan dengan spiritual dan kepercayaan tradisi. Melalui pengagungan Raja ini maka timbullah konsep Daulat dan Derhaka. Sesiapa yang ingkar kepada perintah Raja akan dihukum bunuh akibat tulah yang mereka hadapi. Contohnya, Tun Hussien yang merupakan seorang pembesar Sultan telah dibunuh kerana didapati ingin menderhakai sultan, walhal, beliau bertindak atas dasar kemanusiaan yang cuba untuk menegakkan keadilan untuk menuntut bela ke atas kematian ayahnya. Secara umumnya, Sultan berperanan penting dalam tiga aspek utama iaitu politik, sosial dan ekonomi. Dari segi politik, Sultan berperanan sebagai ketua kerajaan yang memerintah secara mutlak dan dibantu oleh pembesar yang bertindak sebagai penasihat. Selain itu, baginda juga berperanan sebagai pemimpin utama angkatan tentera di mana baginda akan mengepalai angkatan tentera bagi mempertahankan negeri dan meluaskan jajahan taklukan. Di samping itu, baginda juga merupakan ketua Agama Islam dan penggubal undang-undang.

Daripada aspek sosial pula, baginda bertindak sebagai penyelesai masalah rakyat dengan menjalankan pemerintahan dan hukuman yang adil kepada rakyat. Oleh sebab itu, Sultan menjadi tempat mengadu masalah dan dijadikan simbol perpaduan. Seterusnya, bagi aspek ekonomi pula. Sultan berperanan penting dalam mengawal kewangan kerajaan. Maka dengan itu, Sultan telah meminta rakyat agar memberikan hasil kegiatan ekonomi kepada kerajaan. Hasil ini dikutip melalui sistem cukai yang telah diperkenalkan.

Kerabat Diraja
Kedudukan dan status kedua tertinggi selepas Sultan ialah golongan anak raja dan kerabat diraja. Mereka merupakan golongan yang mempunyai jurai keturunan Sultan yang memerintah sesebuah kerajaan. Mereka ini diberi gelaran sebagai Raja atau Tengku. Anak raja sebenarnya tidak semestinya seorang putera kepada Sultan yang sedang memerintah. Anak raja atau putera puteri raja Sultan juga mempunyai keistimewaan yang sama dengan Sultan. Namun demikian, keistimewaan yang diberikan kepada anak raja tidak melebihi keistimewaan Sultan sebagai ketua kerajaan. Antara keistimewaan anak raja ialah mempunyai payung putih dan menggunakan ‘bahasa dalam’. Dalam kalangan golongan keluarga dan kerabat diraja ini, terdapat beberapa orang yang mempunyai kedudukan yang lebih istimewa hasil daripada hubungan yang rapat dengan Sultan. Antaranya ialah hak keistimewaan dalam politik negeri.

Pembesar

Anggota masyarakat yang paling hampir dengan pihak bangsawan ialah golongan pembesar. Secara umumnya, masyarakat melayu tradisional menggunakan sistem pembesar empat lipatan yang tediri daripada Bendahara, Penghulu Bandahari, Temenggung dan Laksamana.

Bendahara

Bendahara merupakan ketua eksekutif seluruh mekanisme pentadbiran melayu tradisional. Jika Sultan mempunyai kuasa spiritual dan divine. Bendahara pula mempunyai pemerintahan secara fizikal. Taraf Bendahara lebih tinggi berbanding pembesar yang lain apabila beliau merupakan golongan ketiga selepas kedudukan Sultan. Semasa ketiadaan Sultan, Bendahara mempunyai hak untuk memangku tugas dan peranan Sultan, dengan dibantu oleh Seri Nara Diraja(Penghulu Bendahari) dan Seri Bija Diraja. Beliau akan menjadi ketua turus tentera, ketua hakim dam ketua ‘di balai sendiri’ kedudukan Bendahara dibuktikan melalui kedudukan beliau semasa di balairung istana di mana beliau duduk di sebelah kanan Sultan. Selain itu, Bendahara juga turut dianugerahkan usungan untuk berjalan-jalan. Keistimewaan Bendahara telah disentuh dalam Sejarah Melayu yang menerangkan seperti berikut;
“…jikalau Tun Perpatih Permuka Berjajar (Bendahara) duduk di balai, jikalau anak-anak raja datang, tiada dituruninya, melainkan anak raja yang akan ganti kerajaan maka turuninya; dan jikalau Bendahara masuk mengadap, tempatnya duduk itu akan dibentangi permaidani; jikalau raja masuk maka Bendahara pulang, dan segala orang besar-besar dan orang kaya-kaya pergi menghantar Bendahara kembali ke rumahnya…”.
Dalam jawatan Bendahara, tiada sistem yang tetap dalam perlantikan jawatan ini. Oleh sebab itu, Bendahara selalunya akan dilantik daripada pembesar kanan yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Sultan. Kebiasaannya, Bendahara adalah merupakan bapa saudara Sultan sendiri.

Penghulu

Penghulu Bendahari menduduki tempat kedua selepas Bendahara dalam golongan pembesar dalam sistem sosial masyarakat Melayu tradisional. Penghulu Bendahari mempunyai peranan utama dalam memegang harta benda dan hasil mahsul kerajaan. Para pembesar yang berada di bawah bidang kuasanya ialah bendahari-bendahari, pemegang hasil negeri, syahbandar-syahbandar dan hamba-hamba raja. Penghulu sebenarnya merupakan ‘Menteri Kewangan’ dan beliau menjalankan tugas dengan menjadi wakil yang menerima ufti daripada kawasan taklukan kerajaan. Selain itu, penghulu Bendahari juga boleh dititahkan untuk menjadi ketua angkatan tentera perang untuk menyerang negeri asing seperti Melaka menentang Kampar.

Temenggung

Pembesar yang ketiga ialah Temenggung. Temenggung berperanan sebagai Ketua Keamanan Negeri. Temenggung juga menjadi ‘pengatur’ orang makan di balai istana. Menghakimkan perbicaraan yang besar sebagai Timbalan Ketua Hakim, menangkap orang yang melakukan kesalahan, membaiki keadaan pasar dan pekan, dan ketua perancang bandar dan jalan raya. Kecuaian yang dilakukan oleh Temenggung akan menjadikan sesebuah negeri huru-hara. Sebenarnya, tugas temenggung ada dibicarakan dalam Undang-undang Melaka seperti berikut;
“Adapun hukum yang diserahkan kepada Temenggung itu barang yang dihukumkan di dalam negeri seperti tahafus-mentafahus dan seperti tengkap-menangkap orang yang jahat di dalam negeri.”

Selalunya, Temenggung dilantik daripada kalangan keluarga pembesar-pembesar itu sendiri. Umpamanya, Tun Mutahir yang menjadi Temenggung Melaka adalah anak kepada Seri Nara Diraja Tun Ali dan anak saudara kepada Tun Perak.

Laksamana

Jawatan terakhir dalam sistem empat lipatan dalam herarki zaman tradisional Melayu ialah Laksamana. Sebelum jawatan ini wujud, jawatan sebagai ketua angkaatan tentera laut dipegang oleh Hulubalang Besar. Jawatan ini merupakan monopoli orang melayu dari Bentan yang bergelar Seri Bija Diraja. Tokoh yang terkenal ialah Tun Hamzah (Datuk Bongkok) dan Tun Ketuyup (yang dibunuh oleh Sultan Mahmud Syah).
Apabila jawatan Laksamana diperkenalkan oleh Sultan Mansor Syah, jawatan ini mula dipegang oleh Laksaman Hang Tuah yang merupakan golongan kebanyakan. Pada awalnya, taraf Hulubalang dan Laksamana adalah sama tetapi lama-kelamaan ianya berbeza. Dalam acara pencercaan, Laksamana dan Temenggung ditugaskan untuk mengawal keselamatan Bendahara. Dalam hal ini dapat menunjukkan kedudukan kedua-dua pembesar ini hampir sama. Rakyat yang biadap menentang Bendahara akan dibunuh oleh Temenggung atau Laksamana.
Tugas-tugas utama Laksamana ialah ketua organisasi angkatan laut, pembawa utusan diraja dan pengawal peribadi Bendahara.
Bagi jawatan Laksamana, ia diganti mengikut lunas kekeluargaan. Contohnya, pengganti-pengganti kepada Laksaman Hang Tuah ialah Laksamana Khawaja Hassan, iaitu menantunya, dan kemudian Hang Nadim yang juga menantu beliau. Seperti Bendahara, Laksamana juga dikurniakan usungan.

Syahbandar

Syahbandar juga merupakan pembesar yang terpenting pada zaman Melayu tradisional walaupun tidak tergolong dalam pembesar empat lipatan. Syahbandar bererti ‘pemerintah pelabuhan’ yang diambil daripada perkataan Parsi. Syahbandar menjadi ketua organisasi pelabuhan dan wakil saudagar-saudagar asing. Syahbandar diletakkan di bawah bidang kuasa Penghulu Bendahari. Menurut Tome Pires, kehadiran empat orang Syahbandar di Melaka menandakan kehadiran ramai pedagang daripada berbagai-bagai kumpulan etnik.

Sebenarnya, jawatan Laksamana dan Syahbandar adalah kerana keperluan semasa. Hal ini kerana sumber ekonomi zaman tradisional Melayu pada ketika itu bergantung kepada kegiatan laut, terutama perdagangan dan perniagaan. Oleh itu, Laksamana diperlukan untuk mengawal keselamatan laut. Manakala, kelancaran dan kepimpinan diperlukan di kawasan pelabuhan untuk memudahkan urusniaga sehingga terciptanya jawatan Syahbandar. Keadaan ini sehinggakan menyifatkan Laksamana sebagai ‘raja di laut’ dan syahbandar sebagai ‘raja di pelabuhan’.

Ulama

Golongan yang dikatakan penting dalam masyarakat tradisional Melayu ialah golongan ulama. Golongan ini merupakan golongan intelek dan alim ulam yang pakar dalam hal ehwal agama Islam. Ekoran daripada kepentingannya dalam sistem sosial masyarakat Melayu, maka golongan ini telah diangkat darjatnya dalam susun lapis masyarakat Melayu tradisional. Biasanya, golongan ini terdiri daripada masyarakat yang mempunyai keturunan Arab-Melayu. Golongan ini digelar sebagai maulana, makhdum, kadi dan pendeta tasawuf. Lazimnya, mereka juga turut menggunakan gelaran kebesaran seperti Maharaja Kadi, Dato’ Mufti Seri Utama dan Imam Maharaja. Golongan ini sebenarnya hanya mula memainkan peranan yang penting dalam masyarakat Melayu selepas tersebarnya Islam ke Nusantara. Pada mulanya, mereka mengajar asas agama Islam. Namun, apabila Islam berkembang dengan pesat, mereka mula mengajar ilmu dalam bidang tasawwuf, tafsir, dan hadis.
Selain itu, golongan ini juga telah dilantik oleh Sultan untuk menjadi guru, ketua agama, kadi dan bertugas menasihati Sultan dalam bidang hukum syarak. Oleh itu, golongan ulama ini dikatakan mempunyai hubungan yang rapat dengan Sultan.

Seterusnya, pendeta pula merupakan golongan yang pakar dalam bidang kesenian, kebudayaan, kesusasteraan, adat istiadat dan salasilah raja. Golongan ini mempunyai bilangan yang sedikit dalam masyarakat Melayu. Namun begitu, mereka menjadi rujukan Sultan dan golongan istana selain menjadi perawi Sultan.

GOLONGAN DIPERINTAH

Rakyat

Rakyat merupakan lapisan pertama dalam golongan yang diperintah dalam sistem sosial masyarakat Melayu. Rakyat merupakan golongan yang terbesar dalam masyarakat Melayu. Fungsi utama rakyat adalah dari aspek mental, fizikal, dan tradisi ialah menyokong dan patuh kepada institusi raja dan pembesar. Sebahagian besar daripada golongan rakyat adalah orang Melayu dan selebihnya adalah orang asing dan Orang Laut yang terlibat dalam kegiatan ekonomi sebagai pedagang, peniaga, pedagang-mubaligh dan senteri yang menyebarkan agama Islam.

Rakyat kebiasaannya menjadi pengikut atau pengiring pembesar-pembesar dan raja sebagai hulubalang. Mereka juga terlibat secara langsung dalam apa jua jenis perang yang melibatkan kerajaan. Sejarah Melayu ada menyebut bahawa orang asing juga terlibat dalam kumpulan in
seperti Khawaja Baba, Naina Isahak dan Sayyid Ahmad.

Selain itu, rakyat biasa juga terdiri daripada golongan peniaga dan saudagar. Mereka ini mempunyai taraf ekonomi yang lebih rendah daripada golongan buruh kasar dan tukang mahir.

Orang Asing

Selain daripada empat golongan yang terdapat dalam herarki masyarakat tradisional Melayu, terdapat lagi sebuah golongan yang turut terlibat dalam masyarakat sosial pada zaman tradisional Melayu iaitu golongan ‘orang asing’. ‘orang asing’ turut dikenali sebagai ‘orang dagang’ dan ‘orang perantau’ yang terdiri daripada dua jenis utama. Pertama, golongan yang terlibat dalam pelbagai jenis kegiatan sosial seperti tentera upahan yang kebanyakannya daripada Jawa dan Pasai selain sebagai mubaligh. Kedua, mereka yang terlibat dalam aspek ekonomi seperti peniaga kecil-kecilan sehingga menjadi pemborong dan peniaga besar. Golongan yang terlibat dalam kerja mahir juga dipelopori oleh golongan asing seperti dalam perlombongan bijih yang didominasi oleh golongan Cina.

Secara umumnya, ‘orang asing’ ini dikategorikan kepada dua kumpulan. Pertama mereka yang menetap terus di Tanah Melayu. Manakala, golongan kedua adalah mereka yang menjadi pengunjung sekali-sekala untuk tujuan perdagangan dan perniagaan. Antara golongan ‘orang asing’ pada zaman tradisional Melayu ialah orang Cina, Keling (Tamil), Gujerat, suku-suku dari Arab,Ghori.

Hamba
Institusi perhambaan di dalam masyarakat tradisional Melayu dikaitkan dengan tradisi perhambaan di Tanah Arab atau Islam dan wujudnya sistem kasta dalam kepercayaan Hindu. Sebenarnya, institusi perhambaan ini wujud akibat daripada dorongan keperluan dan kepentingan sosial serta ekonomi masyarakat melayu. Hamba berfungsi menyediakan tenaga manusia bagi menyokong dan menjalankan pelbagai jenis kerja yang wujud dalam masyarakat. Hamba dikatakan mampu meningkatkan taraf hidup pemiliknya kerana semakin ramai hamba yang dimiliki oleh seseorang, semakin tinggi taraf hidup dan kukuh ekonominya. Contoh yang paling ketara ialah Tun Mutahir yang mempunyai ratusan hamba dan dianggap sebagai orang terkaya pada ketika itu. Hamba terbahagi kepada tiga golongan utama iaitu hamba biasa hamba berhutang dan hamba raja.

Hamba Raja

Pertama sekali adalah golongan hamba raja. Mereka terdiri daripada orang yang merdeka yang telah melakukan kesalahan jenayah, kemudian tertangkap lalu mendapat keampunan daripada sultan, dan berjanji akan menjadi hamba turun temurun.dengan cara ini mereka kan terlepas daripada menerima hukuman atas kesalahan yang mereka lakukan. Selain itu, golongan ini juga terdiri daripada tawanan perang atau banduan. Haamba raja juga dikenali sebagai ‘biduanda’ yang melakukan hampir kesemua jenis pekerjaan. Hamba raja ini mendapat perlindungan daripada pihak pemerintah. Golongan hamba raja ini mempunyai kedudukan yang lebih tinggi berbanding dua kelompok hamba yang lain sehingga sesiapa yang membunuh hamba raja akan mendapat hukuman yang berat seperti yang dinyatakan dalam Hukum Kanun Melaka sebagai:

“Adapun jikalau hamba rajin dan segala hartanya (si pencuri) itu dirampas. Jikalau nakhoda sekalipun demikian juga hukumannya”.

Hamba Biasa

Hamba biasa terdiri daripada tiga kelompok kecil iaitu abdi, dengan dan hamba. Hamba daripada golongan ini biasa diperoleh melalui pembelian dan pertukaran tuan. Golongan ini menjadi
hamba seumur hidup secara turun-temurun.

Hamba abdi terbahagi pula kepada beberapa jenis. Hamba abdi yang pertama ialah hamba tawanan yang menjadi hamba apabila tertawan dalam sesebuah peperangan. Kedua ialah hamba diranggah iaitu hamba yang bukan daripada orang Islam yang ditawan seperti Batak dan orang asli atau penduduk Islam lain di rantau ini yang diculik dan dijual oleh peniaga hamba abdi termasuk mereka yang ditawan oleh lanun dan menjadi hamba. Hamba abdi yang ketiga ialah kamba habsyi iaitu hamba yang diimport dari Afrika. Kebanyakan mereka merupakan orang kulit hitam yang dibeli oleh orang Melayu semasa menunaikan haji di Makkah. Terdapat juga hamba afrika yang dibawa oleh penjajah Eropah.

Selain itu, dalam hamba abdi juga terdapat hamba hulur. Hamba hulur merupakan mereka yang melakukan kesalahan jenayah dan mereka yang menyerah diri kepada pemerintah kerana tidak mampu untuk membayar semula hutang darah atau denda. Manakala, hamba serah pula mereka yang menghadapi kesukaran hidup dan menjadi hamba dengan menyerah diri kepada mereka yang sanggup memberikan makanan atau nafkah hidup. Akhir sekali ialah hamba keluarga atau anak hamba yang merupakan anak dan isteri kepada hamba abdi.

Hamba Berhutang

Hamba yang kedua iaitu hamba berhutang merupakan golongan yang tidak dapat membayar hutang kepada si pemiutang. Golongan hamba berhutang ini pada asalnya merupakan golongan orang yang merdeka. Oleh kerana tidak mampu membayar hutang, maka mereka terpaksa menjadi hamba berhutang untuk melunaskan hutan-hutang mereka. Lebih memeritkan lagi apabila bukan sahaja mereka yang menjadi hamba, tetapi turut dialami oleh anak-anak dan isteri sebagai hamba tebusan. Tempoh perkhidmatan hamba berhutang adalah sehingga hutang tersebut telah selesai dibayar seperti yang telah dijanjikan. Hamba berhutang melakukan pelbagai jenis kerja termasuklah bercucuk tanam, melombong, kerja-kerja domestik dan lain-lain.

Hamba berhutang sebenarnya terbahagi kepada empat bahagian yang kecil. Pertama ialah orang berhutang. Orang berhutang merupakan orang yang terikat dengan hutang dan akan dibebaskan selepas menjelaskan hutang tersebut. Kedua ialah anak emas yang merupakan orang yang menjadi hamba melalui perkahwinan iaitu hamba lelaki yang berkahwin dengan hamba wanita dan terikat kepada tuannya. Seterusnya merupakan hamba waris yang merupakan isteri dan anak-anak hamkba orang berhutang. Akhir sekali ialah hamba bayar yang merupakan abdi yang diserahkan oleh tuannya kepada orang lain untuk tujuan membayar hutang tuannya kepada pemiutang.

Sesuatu yang menarik dalam golongan hamba ialah mereka dilindungi oleh Hukum Kanun Melaka yang menyebut bahawa hamba terlindung daripada kezaliman. Hamba bebas untuk bergerak seperti mengambil upah daripada orang lain. Hasil pendapatan boleh disimpan sendiri atau diberikan kepada tuan mereka. Kedudukan sosial hamba ini dibicarakan secara panjang lebar dalam Hukum Kanun Melaka.

5. Adat Istiadat Melayu
Adat istiadat Melayu banyak memperlihatkan campuran unsur lokal dan unsur luar seiring dengan kedatangan pengaruh Hindu, Islam, dan Barat ke Alam Melayu. Dalam pemerintahan Malaysia, unsur-unsur adat yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam dibenarkan. Melalui principle of co-existence ini orang Melayu dapat menyesuaikan adat dan agama secara harmonis, walaupun ada aspek-aspek tertentu yang bertentangan tapi terus diamalkan.

Aspek Adat Dalam Masyarakat Malaysia dan Kepentingannya

Adat secara umumnya didefinisikan sebagai suatu aturan dan cara hidup. Ianya mencerminkan segala perbuatan yang adakalanya dilakukan setiap hari ataupun musim sama ada berpandukan bulan atau tahun. Itu ialah perkara yang selalu difahami khalayak berkenaan dengan adat. Suatu perkataan yang sinonim dengan adat ialah budaya. Walaupun dari aspek bunyinya ia berbeza, tetapi dari segi pengertiannya, ia adalah konsep yang saling bergantung dan sama.

Adat seperti yang didefinisikan tadi ialah cara hidup iaitu tingkah laku, kepercayaan dan sebagainya. Adat bersifat maya iaitu tidak dapat dilihat. Ia timbul daripada suatu pemikiran berkenaan cara hidup dan tidak dizahirkan. Apabila ianya dizahirkan dan dapat dilihat perlaksanaanya, misalnya kita melihat adat bercukur, adat bersanding dan sebagainya, itu sudah menjadi suatu budaya. Maknanya, budaya ialah suatu bentuk perlakuan yang mencerminkan adat sesuatu masyarakat itu.

Kerana dua entiti ini terlalu berkait sifatnya, kita pada hari ini selesa menjadikan adat dan budaya itu sebagai satu benda yang sama. Yang berbeza cuma cara sebutannya. Budaya yang difahami dan dilihat, hakikatnya ialah adat. Budaya bersifat tidak tetap iaitu boleh berubah, Justeru wujud pengkelasan budaya tradisional dan budaya moden, ini menunjukkan budaya lama dan budaya hari ini tidak sama, maka ia jelaslah boleh berubah. Adat pula ialah suatu ketetapan yang tidak boleh berubah, oleh itu bolehlah kita katakan adat sebagai budaya yang asal.

Justeru dalam membicarakan kepentingan adat dalam membentuk budaya Malaysia pada hari ini, kita akan membicarakan tentang kepentingan budaya asal yang diubah untuk dijadikan budaya bersama rakyat Malaysia bagi mewujudkan identiti dan peribadi rakyat majmuk yang bersifat seragam.
Masyarakat Malaysia ialah suatu masyarakat yang bersifat majmuk dan pelbagai. Ia juga disebut sebagai masyarakat Jawi iaitu masyarakat yang bercampur dari pelbagai latar belakang. Kerana masyarakat Malaysia itu masyarakat Jawi, iaitu yang pelbagai latar belakangnya, maka setiap bangsa atau ras didalam sistem sosial Malaysia pastinya berbeza satu sama lain dari segi latar belakangnya. Tidak terkecuali berbeza dari segi adat dan budaya.

Adat bagi setiap kaum di Malaysia pastinya dilihat dari sistem nilai yang berbeza. Martabat adat itu sendiri berbeza kedudukanya bagi masyarakat Malaysia pada hari ini. Bagi masyarakat Minangkabau sebagai contoh, adat dianggap sebagai sebuah tradisi lisan yang tinggi sekali martabatnya dalam kehidupan mereka. Adat dalam konteks Minangkabau bukan sekadar cara bersanding, cara menyantap hidangan makanan, cara pertabalan Luak dan sebagainya, tetapi adat ialah suatu peraturan hidup yang perlu dipegang kuat oleh generasi mereka sehingga ke hari ini. Justeru tidak hairanlah jika didalam masyarakat mereka wujud istilah-istilah seperti “undang-undang adat”, “mahkamah adat”, “ketua adat” dan sebagainya. Begitu juga dengan lain-lain kaum di Malaysia, aspek adat masih lagi dianggap sebagai suatu pengungkap identiti bangsa dan terus dipertahankan walaupun ia sudah banyak berubah jika dibandingkan dengan perlaksanaanya suatu ketika dahulu.

Dalam membicarakan fokus esei ini iaitu kepentingan aspek adat yang menjadi penyatu bagi mewujudkan peribadi dan identiti kebangsaan, kita seharusnya mengetahui dahulu berkenaan aspek adat yang menjadi identiti masyarakat yang pelbagai di Malaysia. Bagi maksud itu, didalam bahagian ini kita akan melihat aspek adat yang mencerminkan identiti tiga kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India.
Masyarakat Melayu ialah masyarakat asal di Tanah Melayu. Walaupun ada sesetengah sejarawan khususnya sejarawan Barat era kolonial mendakwa masyarakat Melayu juga masyarakat pendatang, namun ianya dapat dinafikan dengan mengetengahkan konsep merantau yang menjadi amalan masyarakat Melayu di Nusantara ketika itu.

Bercakap berkenaan adat didalam masyarakat Melayu, ramai sarjana mengatakan bahawa adat Melayu merupakan adat jawi iaitu adat yang bercampur. Ini sesuai dengan pemahaman kita berkenaan proses pembentukan Melayu itu sendiri yang merupakan cantuman ras-ras kecil yang beragama Islam, maka wujudlah apa yang dipanggil Melayu itu. Ini menunjukkan pelbagai percampuran dalam pembinaan adat Melayu. Dalam soal pembinaan adat Melayu, kita dapat melihat tiga bentuk pengaruh yang besar dalam proses pembinaan adat Melayu. Pertamanya ialah adat yang dipengaruhi adat Hindu dan Buddha, yang kedua ialah adat yang dipengaruhi zaman Hindu/Buddha dan Islam, yang ketiga ialah adat yang berteraskan Islam.

Adat Melayu yang awal dipengaruhi oleh unsur-unsur Hindu dan Buddha yang diperolehi melalui kitab-kitab lama seperti Rayamana dan Mahabrata. Ketika adat ini diamalkan, Islam masih belum sampai ke Nusantara. Ada diantara adat-adat dalam period Hindu dan Buddha ini masih diamalkan sehingga ke hari ini. Pastinya kita pernah melihat upacara persandingan didalam majlis-majlis perkahwinan masyarakat Melayu. Ini merupakan salah satu contoh adat-adat Hindu yang ditiru oleh masyarakat Melayu dahulu.

Pemujaan Raja secara melebih-lebih dalam masyarakat Melayu suatu ketika dahulu juga merupakan cerminan kepada pengaruh Hindu Dan Buddha dalam masyarakat Melayu bahkan perkataan “Raja” itu sendiri pun sudah memperlihatkan pengaruh Hindu yang tebal. Begitu juga dari aspek pertabalan dan adat istiadat Istana Melayu, terlihat lagi kekuatan unsur Hindu dan Buddha dalam mencorakkan adat Melayu itu.
Period atau peringkat yang kedua ialah pengaruh unsur campuran Hindu/Buddha dan Islam. Pada zaman ini Islam sudah datang ke Nusantara dan majoriti orang Melayu pun sudah beragama Islam. Namun pengaruh adat lama yang berteraskan Hindu dan Buddha masih diamalkan. Justeru zaman ini digelar zaman campuran adat Hindu/Buddha dan Islam dalam masyarakat Melayu. Pada zaman ini, walaupun masyarakat Melayu sudah Islam, namun mereka mengamalkan adat-adat yang dianggap menyimpang dari ajaran Islam. Sebagai contoh masyarakat Melayu mengamalkan adat mandi Safar yang dianggap sebagai suatu usaha untuk membuang sial bulan Safar dalam kehidupan mereka. Ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang menganggap perbuatan itu sebagai khurafat. Begitu juga adat puja kampung, puja pantai dan sebagainya. Ia jelas bertentangan dengan Islam, tetapi tetap diamalkan dengan meluas didalam masyarakat Melayu yang masih tebal dengan pengaruh Hindu dan Buddha ketika itu.

Pengaruh unsur luar yang ketiga didalam masyarakat Melayu ialah pengaruh Islam iaitu pengaruh yang paling kuat sekali dalam kebudayaan dan adat Melayu. Bagi masyarakat Melayu, adat ialah kepatuhan yang kedua selepas agama mereka iaitu Islam. Kepatuhan kuat orang Melayu kepada agama Islam diakui oleh Prof. Syed Naquib Al-Attas yang mengatakan Islam telah mentamadunkan masyarakat Melayu. Perlembagaan Malaysia sendiri telah mendefinisikan Melayu sebagai mereka yang beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan budaya Melayu. Ini menunjukkan betapa kuatnya Islam didalam hidup orang Melayu.

Apa yang ingin dijelaskan disini ialah betapa pentingnya agama Islam kepada orang Melayu. Kerana kepentingan itu, pada zaman pengaruh Islam yang kuat ini, masyarakat Melayu menjadikan Islam sebagai teras kepada pembentukan adatnya. Adat-adat yang bertentangan dengan ajaran Islam semakin tidak popular dalam kalangan masyarakat Melayu dan semakin dikurangkan penggunaanya. Namun pada zaman Islam ini, adat-adat lampau yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam tetap diteruskan pengamalanya.
Adat-adat Melayu yang bercirikan Islam merangkumi adat ketika seseorang dilahirkan, seseorang meningkat remaja, dewasa, adat dalam kehidupan sehari-hari dan adat ketika seseorang itu meninggal dunia. Adat-adat yang diamalkan ini sebenarnya merupakan apa yang disebut sebagai perkara sunat didalam ajaran Islam.
Sebagai petunjuk kepada pengaruh Islam didalam adat Melayu ialah adat ketika seseorang itu baru dilahirkan. Antaranya ialah adat bercukur, melaungkan azan dan iqamat ke telinga bayi dan adat membelah mulut. Bercukur ialah perbuatan mencukur rambut asal bayi sehingga botak, ianya biasa diadakan pada hari-hari ganjil seperti hari ketiga, ketujuh, kesembilan dan seterusnya. Bercukur bertujuan membuang rambut asal bayi yang dianggap kotor dan tidak akan tumbuh dengan baik. Ia sesuai dengan ajaran Islam yang mementingkan aspek kebersihan dan kesihatan.

Azan dan Iqamat pula merupakan tuntutan Islam untuk memulakan pendengaran seseorang yang baru dilahirkan itu dengan kalimat-kalimat yang mulia. Ada juga golongan tua Melayu mengatakan ianya merupakan simbolik kepada singkatnya hidup didunia ini iaitu sesingkat masa yang diambil antara iqamat dan solat yang akan didirikan. Ketika dilahirkan kita diazan dan diiqamatkan, dan apabila kita meninggal dunia, kita disolatkan dengan solat jenazah.

Adat membelah mulut pula menjadi tradisi masyarakat Melayu dengan melalukan manisan ke bibir bayi yang baru dilahirkan. Adakalanya juga digunakan emas bagi maksud itu. Adat membelah mulut ini biasanya dilaksanakan oleh orang-orang yang dianggap alim oleh masyarakat. Ada masa-masanya, ia juga dilakukan oleh bidan yang menyambut kelahiran bayi itu. Ia bertujuan supaya bayi yang dibelah mulutnya akan mengikut perangai orang yang membelah mulutnya apabila sudah dewasa nanti.

6. Adat Temenggung
Adat Temenggung merupakan undang-undang adat Minangkabau yang diamalkan di Negeri-Negeri Melayu (pada asalnya bermula daripada Kesultanan Melayu Melaka sebelum diwarisi turun temurun oleh negeri-negeri Melayu yang lain) kecuali Negeri Sembilan yang mengamalkan adat perpatih. Adat ini diasaskan oleh Datuk Ketemenggungan (abang tiri kepada Datuk Perpatih Nan Sebatang yang mengasaskan Adat Perpatih) yang berasal dari Sumatera
 Wujudnya istilah "Adat Temenggung" adalah berkait dengan munculnya istilah "Adat Perpatih" kerana istilah ini tidak ada dalam budaya Melayu yang awal. Disebabkan oleh Adat Temenggong diamalkan di hampir semua negeri-negeri Melayu, maka Adat Temenggong telah bercampur dengan undang-undang adat Melayu sedia ada yang mempunyai nama yang berbeza mengikut negeri. Antaranya ialah Undang-Undang Melaka, Undang-Undang Johor dan Undang-Undang Kedah.

Adat Temenggung, sistem sosiobudaya peribumi tentang pemilikan, pewarisan, dan kepimpinan yang terdapat dalam masyarakat Melayu yang mengamalkan sistem dwisisi. Istilah lain yang membawa pengertian yang sama ialah adat kampung, adat Melayu, adat mukim, dan adat ketua. Datuk Temenggung atau Datuk Ketumanggungan yang telah berselisih faham dengan abangnya Datuk Perpatih Nan Sebatang, lalu membawa diri dari kampung asalnya yang terletak di kawasan pedalaman ke kawasan pesisir. Di situ, Datuk Temenggung telah menubuhkan sebuah petempatan sendiri dan memperkenalkan sistem undang-undang baharu yang kemudiannya dikenali sebagai adat temenggung. Penemuan sejarah dan data empirikal menunjukkan bahawa adat perpatih dan adat temenggung sebenarnya ialah dua sistem undang-undang yang berlainan tetapi mempunyai asal-usul yang sama. Asal-usul kedua-duanya di Tanah Minangkabau di Sumatera mengatakan bahawa kedua-duanya berasaskan sistem kekerabatan nasab ibu, tetapi sistem Datuk Perpatih menekankan prinsip kesamarataan kedudukan antara pemimpin masyarakat sebaliknya peraturan Datuk Temenggung mementingkan kedudukan tinggi rendah (hierarki) dalam masyarakat.

Adat Temenggung diamalkan di semua negeri-negeri Melayu kecuali Negeri Sembilan. Adat Temenggung disusun oleh Datuk Ketemenggungan, iaitu abang tiri Datuk Perpatih Nan Sebatang di Palembang. Adat ini dibawa masuk ke Melaka pada awal abad ke-15. Dari Melaka, Adat Temenggung disebar ke negeri-negeri Melayu yang lain dengan perkembangan Empayar Melaka.
Ciri-ciri:

a. Lebih mementingkan lelaki
Adat Temenggung mengiktirafkan lelaki menjadi ketua keluarga. Maka, adat ini dikatakan lebih mementingkan pihak lelaki. Dalam hal perwarisan harta, lelaki yang mewarisi harta iaitu dari ayah kepada anak lelaki. Adat Temenggung juga mengkehendaki seseorang isteri tinggal bersama dengan keluarga suaminya. Selain itu, Adat Temenggung menganggap kedua-dua pihak keluarga sama penting. Perkahwinan di antara dua orang sepupu dibenarkan asalkan kedua-dua orang tua tidak mempunyai pertalian darah.

b. Undang-undang bersifat kekerasan
Sama seperti Adat Perpatih, undang-undang Adat Temenggung berbentuk peribahasa, bidalan dan sebagainya. Tetapi undang-undangnya bersifat kekerasan. Setiap orang yang melakukan kesalahan, dia akan di hokum dengan hukuman berat. Sebagai contoh, seseorang yang membunuh akan dijatuhkan hukuman mati. Mereka percaya bahawa hanya menggunakan kekerasan sahaja dapat mengurangkan niat seseorang untuk melakukan kesalahan.

c. Mempunyai unsur autokratik
Adat Temenggung mengutamakan kedudukan istimewa dan kebesaran pemerintah. Ia bukan sahaja memberi kuasa kepada pemerintah tetapi juga kepada para pembesar. Oleh itu, golongan pemerintah mempunyai kuasa berlebihan. Dengan itu, adat ini dikatakan bersifat autokrasi dimana semua kuasa adalah terletak dalam tangan pemerintah dan pembesar.

7. Adat Perpatih

Adat Perpatih merupakan adat yang berasaskan kepada sistem kekeluargaan yang dibentuk melalui unit-unit perut dan suku. Setiap anggota keluarga masyarakat  adat perpatih mempunyai ikatan perhubungan erat antara satu sama selain mementingkatan kehidupan yang bermuafakat. . (http://malaycivilization.ukm.my/idc/groups/portal_aperpatih/documents/ukmpd/adat_05007.pdf) . Hal ini demikian kerana adat perpatih merupakan segala peraturan hidup yang berlandaskan kepentingan hidup bersama, bergotong-royong dan berdemokrasi, merangkumi pelbagai aspek kehidupan masyarakat termasuklah undang-undang pentadbiran dan pembahagian kuasa politik, pembahagian harta pusaka, penyusunan prinsip-prinsip nikah kahwin dan sebagainya.

Kumpulan undang-undang adat perpatih dapat dibahagikan kepada dua seperti berikut:

i.         Undang-undang atau peraturan yang digunakan di negeri Sembilan, Melaka dan                             perak
ii.        Undang-undang yang terdapat di sumatera khususnya dari tanah minangkabau.

Adat perpatih dikatakan berasal dari minangkabau, sebuah negeri yang letaknya bersebelahan barat pulau sumatera, Indonesia. Hal ini dapat dibuktikan melalui pantun di bawah:

Aku hilir ke inderagiri,
Semalam di padang panjang,
Di mana ada mula berdiri,
Di periangan, padang panjang.






No comments:

Post a Comment