Definisi Etimologi Melayu
Etimologi merupakan kajian asal usul dan sejarah sesuatu perkataan.
Terdapat beberapa kajian dijalankan untuk mengetahui etimologi perkataan
‘Melayu’. Selain itu, terdapat beberapa bahan bukti yang ditemui bagi
menentukan etimologi Melayu. Antaranya ialah penemuan batu bersurat, patung,
catatan, nama tempat atau kawasan dan sebagainya. Hasil kajian yang diperolehi saling mempunyai perkaitan antara satu sama
lain. Antara pendapat mengenai etimologi Melayu adalah menurut Noriah Mohammed (1999), istilah
Melayu merujuk kepada kerajaan Melayu. Penggunaan istilah ‘Melayu’ pada
peringkat awal sekitar tahun 100 hingga 150 Masihi apabila M. Ptolemy telah
menggunakan istilah maleu-kolon dalam bukunya yang bertajuk Geographike Sintaxis.
Menurut Gerini, istilah tersebut berasal daripada perkataan Sanskrit iaitu
malaikurram atau malayakolam yang merujuk kepada sebuah tempat yang terletak di
utara semenanjung Malaysia iaitu Tanjung Kuantan.
Selain itu, terdapat istilah Malaya dvipa dalam sebuah kitab Hindu
purba yang ditulis pada zaman Gautama. Istilah Malaya dvipabermaksud tanah yang
dikelilingi air. Para pengkaji beranggapan istilah tersebut merujuk kepada
Pulau Sumatera. Selain itu, menurut catatan seorang rahib Budddha yang bernama I-Shing,
terdapat sebuah kerajaan yang dikenali sebagai Mo-Lo-Yu. Beliau telah menemui
kerajaan tersebut semasa dalam perjalanan dari Canton ke India kira-kira pada
tahun 675 Masihi. Kerajaan tersebut merupakan salah satu daripada jajahan
takluk kerajaan Sriwijaya yang berpusat di Palembang. Catatan I-Shing
menyatakan terdapat utusan Mo-lo-yu yang dihantar ke negara China untuk
mempersembahkan hasil bumi mereka kepada raja China. Bahasa Melayu telah
digunakan sebagai bahasa pengantar dan bahasa rasmi kerajaan Sriwijaya. Dalam
kerajaan Sriwajaya, bahasa Melayu yang dituturkan ketika itu ialah bahasa
Kun-Lun, iaitu bentuk bahasa Melayu terawal yang dikenali sebagai bahasa Melayu
kuno.
Di samping itu, terdapat sebuah penemuan perkataan ‘Melayu’ di
belakang sebuah patung yang dijumpai di Padang Rocore yang terletak di Sungai
Batanghari, Sumatera Selatan. Penemuan berkenaan bertarikh 1286 Masihi. Selain
itu, dalam buku Sejarah Melayu, terdapat bukti yang menunjukkan perkataan
Melayu dikaitkan dengan sebatang sungai iaitu Sungai Melayu yang terletak di
Palembang. Terdapat juga pengkaji yang berpendapat bahawa perkataan ‘melayu’
dipinjam daripada perkataan Jawa kuno, mlayu. Perkataan mlayu bermaksud
‘mengembara’ dan sesuai dikaitkan dengan orang Melayu yang hidup berpindah-randah
dari Yunan ke kawasan selatan. Terdapat juga penemuan perkataan Melayu pada
batu bersurat. Terdapat penemuan perkataan Malayapura yang bermaksud kota
Melayu atau kerajaan Melayu pada Batu Bersurat Bukit Gombak Satu di Sumatera
barat. Seterusnya, Abdullah Jumain telah membuat satu kesimpulan mengenai
perkataan Melayu. Beliau berpendapat bahawa istilah Melayu bermula dengan nama
sebuah daerah di Jambi dan berkembang pada zaman Sriwijaya.
Seterusnya, menurut Zuber Osman, perkataan Melayu berasal daripada
perkataan ‘Himalaya’ yang telah disingkatkan kepada ‘Malaya’ dan kemudian
menjadi Melayu. Seterusnya, terdapat juga pengkaji bahasa yang berpendapat
perkataan ‘Melayu’ berasal daripada perkataan ‘Malaiyurpura’. Penggunaan
perkataan ini terdapat pada prasasti
Bukit Gombak yang dijumpai di Sumatera Barat. Perkataan Malaiyurpura bermaksud
kota malaiyur atau kota gunung. Perkataan Melayu bermula daripada perkataan
malaiyur, seterusnya berubah kepada perkataan malaiyu, perkataan malaiyu pula
berubah kepada perkataan malayu dan akhir sekali perkataan malayu berubah
kepada perkataan melayu.
Seterusnya, terdapat
pendapat yang mengatakan perkataan ‘Melayu’ berasal daripada perkataan
‘pamalayu’. Perkataan ‘pamalayu’ merujuk kepada sebuah peristiwa iaitu
peristiwa serangan ke atas sebuah wilayah yang terletak di Sumatera Barat oleh
Raja Kertanegara. Raja Kertanegara merupakan raja yang berasal dari Singhasari
Jawa Timur. Perkataan Pamalayu bermaksud Ekspedisi Malayu, iaitu penyerangan
dan seterusnya penguasaan terhadap negeri Malayu. Seterusnya, terdapat juga
pendapat yang mengatakan bahawa perkataan Melayu berasal daripada Malayu.
Malayu merupakan sebuah kerajaan yang berpusat di Muara Jambi. Kerajaan ini
wujud pada abad ke-7, kira-kira pada tahun 644 Masihi. Kerajaan ini pernah
dilawati oleh I Tsing pada tahun 671 Masihi. Nama bagi kerajaan ini berasal
daripada nama sebuah sungai yang terletak di situ, iaitu Sungai Malayu.
Bahasa Melayu juga telah mengalami tahap perkembangan dan etimologi
yang dapat dibuktikan dengan penemuan beberapa bahan bukti. Antara bahan bukti
kewujudan bahasa Melayu adalah melalui penemuan batu bersurat. Menurut Amat
Juhari Moain, bahasa Melayu berkembang melalui beberapa zaman. Perkembangan
bahasa Melayu terbahagi kepada lima zaman iaitu zaman bahasa Melayu Purba,
zaman bahasa Melayu kuno, zaman bahasa Melayu klasik, zaman bahasa Melayu
Pramoden dan zaman bahasa Melayu moden.
Seterusnya, bahasa Melayu purba telah wujud pada zaman prasejarah.
Akan tetapi, tidak ada bahan bukti sejarah yang bertulis pada masa itu.
Seterusnya, bahasa Melayu kuno bermula pada abad ke -4 Masihi. Terdapat
penemuan sebuah prasasti berbahasa Melayu di Dong Yen Chau, di teluk Tourane,
Vietnam bertarikh kira-kira pada abad ke-4 Masihi. Selain itu, terdapat juga
beberapa prasasti berbahasa Melayu yang lain yang telah ditemui. Antaranya ialah prasasti yang
dijumpai di Kedukan Bukit, Talang Tuwo, Telaga Batu, Kota Kapur, Karang Berahi
dan sebagainya. Seterusnya, bahasa Melayu klasik pula bermula dari awal ke-14
Masihi sehingga ke akhir abad ke-18 Masihi. Zaman permulaannya ditandai dengan
prasasti Terengganu yang bertarikh pada 702 Hijrah bersamaan dengan 1303
Masihi. Antara perbezaan bahasa Melayu klasik dan bahasa Melayu kuno adalah
terdapat penggunaan tulisan jawi, iaitu tulisan Arab berbahasa Melayu dalam
bahasa Melayu klasik.
Selain itu, pada zaman bahasa Melayu klasik, bahasa Melayu banyak
dipelajari oleh orang bukan Melayu seperti orang Cina, India, Arab, Farsi,
Portugis, Belanda, Itali dan sebagainya. Penguasaan bahasa Melayu oleh orang
asing ini adalah bertujuan untuk perniagaan, perhubungan antara negara dan
raja, dan pengembangan ajaran agama terutama agama Islam dan Kristian. Zaman
bahasa Melayu klasik merupakan zaman yang lebih maju dan membangun berbanding
zaman bahasa Melayu kuno. Pada zaman tersebut, perkembangan ilmu pengetahuan
dan kegiatan intelektual bahasa Melayu telah mencapai tahap yang tinggi. Selain
itu, bahasa Melayu juga telah menjadi bahasa utama di Asia Tenggara.
Seterusnya, pada zaman bahasa Melayu pramoden, perkembangan bahasa
Melayu semakin pesat. Hal ini demikian kerana penjajah barat memperkenalkan
beberapa alat teknologi moden. Kegiatan menulis dalam bahasa Melayu telah sudah
mula memasyarakat dan merakyat. Seterusnya, pada zaman bahada Melayu moden,
negeri-negeri dan kesultanan Melayu telah menggunakan bahasa Melayu yang
sepenuhnya dalam urusan pemerintahan. Selain itu, sekolah-sekolah Melayu juga
dibuka dengan lebih banyak lagi berbanding dengan zaman-zaman sebelumnya.
Perubahan-perubahan yang berlaku dalam kelima-lima zaman dapat
membuktikan bahawa bahasa Melayu merupakan sebuah bahasa yang unggul dan hebat.
Hal ini demikian kerana bahasa Melayu sentiasa mengalami perubahan yang positif
seiring dengan peredaran zaman. Selain itu, bahasa Melayu juga merupakan sebuah
bahasa yang mudah difahami dan dikuasai oleh pelbagai bangsa.
Asal Usul Melayu
Asal usul bermaksud “salasilah” atau “keturunan” atau “susur
galur”. Asal usul Melayu merujuk kepada kajian tentang salasilah atau keturunan
bangsa Melayu. Walaupun sudah ada beberapa kajian dilakukan terhadap asal usul
bangsa Melayu, namun kata sepakat para pengkaji belum tercapai. Setakat ini ada
dua pandangan yang dikemukakan. Pandangan yang pertama menyatakan bahawa bangsa
Melayu berasal daripada utara (Asia Tengah) manakala pandangan yang kedua pula
menyatakan bahawa bangsa Melayu memang sudah sedia ada di Kepulauan Melayu atau
Nusantara ini.
Terdapat dua hipotesis yang diutarakan oleh ahli arkeologi dan ahli
linguistik untuk mendapatkan kepastian tentang tempat asal penutur bahasa
Melayu. Hipotesis yang diutarakan oleh pengkaji-pengkaji tersebut iaitu kawasan
Asia Tengah dan kawasan Nusantara. Menurut teori kawasan Asia Tengah menyatakan
bahawa orang Melayu berasal dari Selatan China. Ada juga yang berpendapat
bahawa mereka datang dari Indo-China atau Yunan atau Burma. Perpindahan
kelompok dari utara ke selatan ini berlaku dalam dua kumpulan iaitu kumpulan
Melayu Proto dan kumpulan Melayu Deutro.
Selain itu, ada juga kajian mengenai asal usul bahasa Melayu
menyatakan bahawa terdapat dua kelompok nenek moyang orang Melayu. Kelompok
pertama nenek moyang orang Melayu dikatakan datang dari Yunan, China. Mereka
mengembara ke Nusantara sejak SM 2,500 dan menjadi penduduk asal Nusantara.
Orang yang datang dari Yunan ini dipanggil Melayu Proto atau Melayu Kuno.
Kemudian, kira-kira tahun SM 1500, kelompok kedua pula datang ke Nusantara dari
Asia Tengah. Mereka dipanggil orang Melayu Deutro atau Melayu Moden. Mereka
menduduki daerah-daerah yang subur di pinggir-pinggir pantai Nusantara. Ini
menyebabkan orang-orang Melayu Proto tadi terdesak berpindah ke gunung-gunung
dan hutan-hutan rimba di pedalaman. Orang-orang Melayu Proto ini berpecah-pecah
menjadi beberapa kelompok, iaitu orang-orang Jakun, Orang Laut, Orang Kanak,
Temuan, Biduanda dan beberapa kelompok lain.
Hipotesis penghijrahan
kelompok Melayu Proto dikemukakan oleh P. Sarasin dan F. Sarasin pada tahun
1892. Teori tersebut diperkukuhkan lagi dengan kajian yang dilakukan oleh Von
Heine Geldern pada tahun 1932. Beliau telah membuat kajian tentang
beliung-beliung batu bersegi panjang yang ditemui di sungai Hwang Ho, Sungai
Yangtze, Sungai Salween, Sungai Irrawady dan Sungai Brahmaputra. Bentuk dan
jenis-jenis beliung batu tersebut didapati mempunyai persamaan dengan
beliung-beliung yang dijumpai di Nusantara. Beliau percaya beliung-beliung
tersebut telah dibawa oleh orang Asia Tengah ke Kepulauan Melayu.
Selain itu, persamaan
dari segi alat perkakas dan peralatan yang lain seperti kapak batu, kapak
persegi bujur, tulang mawas, hasil kerja tangan seperti tembikar, pasu,
tempayan, tikar dan lain-lain. Manakala persamaan dari segi kebudayaan Hoa-binh
dan Dogson yang ditemukan di daerah Vietnam dan juga di daerah-daerah lain di Asia
Tenggara seperti yang telah diteliti dan dikaji oleh Robert Von Heine Geldern.
Walau bagaimanapun,
hipotesis ini menimbulkan beberapa keraguan iaitu pengkaji bahasa yang menolak
hipotesis ini mengatakan bahawa teori beliung Von Heine Geldern tidak boleh
diterima. Artifak yang ditemui bukan sahaja terdapat di Asia Tengah tetapi juga
terdapat di Eropah dan Amerika.
J. H. C. Kern pula
ialah seorang ahli filologi Belanda yang pakar dalam bahasa Sanskrit dan
pelbagai bahasa Austronesia yang lain telah membuat kajian berdasarkan beberapa
perkataan yang digunakan sehari-hari. Perkataan yang dikaji antaranya ialah
nama tumbuh-tumbuhan, haiwan dan nama perahu. Beliau mendapati bahawa perkataan
yang terdapat di Kepulauan Nusantara ini juga terdapat di Madagaskar, Filipina,
Taiwan dan beberapa buah pulau di Lautan Pasifik. Antara perkataan tersebut
ialah padi, buluh, rotan, pisang dan ubi. Berdasarkan senarai perkataan yang
dikaji itu, Kern berkesimpulan bahawa bahasa Melayu berasal daripada satu induk
yang ada di Asia.
Di samping itu,
pengkaji budaya dan adat resam J. R. Logan berpendapat terdapat persamaan
antara adat resam orang Melayu dengan adat resam masyarakat kaum Naga di Assam,
Burma iaitu di daerah Burma dan Tibet. Beliau membuat kesimpulan Asia Tengah
merupakan tempat nenek moyang bangsa Melayu. Persamaan adat resam ini berkait
rapat dengan bahasa yang digunakan mereka. Beliau mengambil kesimpulan bahawa
bahasa Melayu tentulah berasal dari Asia. G. K. Nieman dan R. M. Clark yang
membuat kajian berdasarkan adat resam juga bersependapat dengan J. R. Logan.
Dua orang sarjana Melayu, iaitu Slametmuljana dan Asmah Haji Omar
juga menyokong pendapat tersebut. Slametmuljana yang membuat penyelidikannya
berdasarkan perbandingan bahasa, sampai pada suatu kesimpulan bahawa bahasa
Austronesia yang dalamnya termasuk bahasa Melayu, berasal dari Asia. Asmah Haji
Omar membuat huraian yang lebih terperinci lagi. Beliau berpendapat bahawa
perpindahan orang Melayu dari daratan Asia ke Nusantara ini tidaklah sekaligus
dan juga tidak melalui satu laluan. Ada yang melalui daratan, iaitu Tanah
Semenanjung, melalui Lautan Hindi dan ada pula yang melalui Lautan China.
Namun, beliau menolak pendapat yang mengatakan bahawa pada mulanya asal bahasa
mereka satu dan perbezaan yang berlaku kemudian adalah kerana faktor geografi
dan komunikasi. Dengan demikian, anggapan bahawa bahasa Melayu Moden merupakan
perkembangan daripada bahasa Melayu Klasik, bahasa Melayu Klasik berasal
daripada bahasa Melayu Kuno dan bahasa Melayu Kuno itu asalnya daripada bahasa
Melayu Purba merupakan anggapan yang keliru.
Para pengkaji yang
tidak bersetuju dengan hipotesis yang menyatakan kelompok Melayu berasal dari
Asia Tengah telah mengemukakan satu lagi hipotesis. Mereka berpendapat orang Melayu
tidak datang dari luar tetapi memang telah wujud di Nusantara. Bukti yang
pertama berdasarkan kajian bahasa yang merujuk kepada keakrabatan antara bahasa
Austronesia. Menurut William Marsden, bahasa Melayu mempunyai keakrabatan
dengan bahasa Polinesia, Melanesia dan Mikronesia. Persamaan dapat dilihat dari
segi bentuk kata dan struktur bahasa.
Bukti yang kedua ialah
berdasarkan kajian kebudayaan. Seorang sarjana Inggeris, John Crawfurd
mendapati tanah asal orang Melayu ialah Sumatera dan Jawa kerana kedua-dua
kawasan menunjukkan perkembangan kebudayaan yang sangat menonjol berbanding
dengan kawasan-kawasan lain di Nusantara. Bukti yang ketiga ditinjau dari sudut
geografi. Dari Zaman Pilosen hingga Zaman Pleistosen, Nusantara merupakan
sebuah daratan yang luas yang dikenali sebagai Pentas Sunda manakala Pentas
Sahul ialah Australia dan New Guinea. Pencairan glasier telah menyebabkan
beberapa wilayah terpisah dan berlaku juga perpindahan kelompok masyarakat dari
satu daratan ke satu daratan. Hal ini membuktikan perpindahan manusia bukan
dari Asia Tengah tetapi penduduk asal Nusantara.
John Crawfurd membuat
kajian perbandingan bahasa yang ada di Sumatera, Jawa, Kalimantan dan kawasan
Polinesia. Beliau berpendapat bahawa asal bahasa yang tersebar di Nusantara ini
berasal daripada bahasa di Pulau Jawa dan bahasa yang berasal dari Pulau
Sumatera. Beliau juga menambah hujahnya dengan bukti bahawa bangsa Melayu dan
bangsa Jawa telah memiliki taraf kebudayaan yang tinggi dalam abad kesembilan
belas. Taraf ini hanya dapat dicapai setelah mengalami perkembangan budaya
beberapa abad lamanya. Beliau membuat kesimpulan bahawa orang melayu itu tidak
berasal dari mana-mana tetapi merupakan induk yang menyebar ke tempat lain.
Sumber:
Hassan
Ahmad. (ketua Ed.), (2005). Pengenalan Konsep dan Gagasan Karya Agung
Yayasan karyawan. Kuala Lumpur:
Yayasan karyawan.
Kassim Ahmad (1995). Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Kassim
Ahmad (Ed.) (1997). Hikayat Hang Tuah: Satu Pengenalan Tambahan. Kuala
Lumpur: Yayasan Karyawan dan Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Muhammad
Haji Salleh (Ed.) (1997). Sulalat al- Salatin (Edisi Karya Agung). Kuala
Lumpur: Yayasan Karyawan- Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Seri
Lanang Jaya Rohani, Mana Sikana, Mohd Rashid Md Idris & Naffi Mat. (2013). Penghayatan Karya Agung Melayu.
Universiti Pendidikan Sultan Idris: Tanjong Malim, Perak.
No comments:
Post a Comment