Idealisme dan Falsafah Melayu
Idealisme Bersumberkan Alam.
Idealisme menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 558-559) ialah
sifat iaitu sikap atau perbuatan melihat atau mencita-citakan sesuatu dalam
bentuk yang ideal. Menurut W.F Hocking pula ialah realiti yang terdiri daripada
idea-idea, fikiran-fikiran, akal atau jiwa dan bukanlah kekuatan atau
kebendaan. Idealisme bersumberkan alam merupakan sesebuah karya yang seharusnya
memiliki falsafah, pemikiran dan persoalan yang agung dan penting. Hal inilah
yang disebutkan oleh tokoh pengkritik karya sastera, Greek Dionysus Cassius
Longinus. Hal ini membuktikan bahawa sesebuah karya sastera, terutamanya karya
agung pasti memiliki ciri pemikiran tertentu yang juga disebut sebagai
idealisme. Selain itu juga, idealisme ialah tentang pemikiran seseorang tokoh
dalam melahirkan karyanya.
Idealisme
juga adalah sifat (sikap atau perbuatan) melihat atau mencita-citakan sesuatu
dalam bentuk yang ideal, sifat (sikap, cita-cita dan sebagainya) menghasratkan
yang unggul (yang sempurna) (Kamus Dewan edisi keempat, 2010: 558). Idealisme
adalah aliran yang menilai tinggi angan-angan (idea) dan cita-cita (ideal)
sebagai hasil perasaan daripada dunia nyata. Aliran ini pada awalnya
dikemukakan oleh Socrates (469-399 SM) yang dilanjutkan oleh muridnya yang
bernama Plato (427-347 SM.). Idealisme terbahagi kepada beberapa aliran iaitu
romantisme, simbolisme, ekspresionisme, mistisme, dan surealisme. Namun, yang
menyentuh mengenai sumber alam hanyalah aliran idealisme bagi simbolisme iaitu
aliran kesusasteraan yang menyajikan tokoh-tokoh bukan manusia tetapi binatang
dan tumbuh-tumbuhan yang disimbolkan sebagai perilaku manusia (Mohd Rashid Md Idris, 2014: 230). Binatang-binatang atau tumbuh-tumbuhan diperlakukan
sebagai manusia yang dapat bertindak, berbicara, berkomunikasi, berfikir,
berpendapat sebagaimana halnya manusia.
Kehadiran
karya sastera yang beraliran simbolisme ini biasanya ditentukan oleh situasi
yang tidak mendukung pencerita atau pengarang yang berbicara. Pada masyarakat
lama, misalnya di mana kebebasan berbicara dibatasi oleh aturan etika moral
yang mengikat kebersamaan dalam kelompok masyarakat, pandangan dan pendapat
mereka disalurkan melalui bentuk-bentuk peribahasa atau sindiran. Idealisme
mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Antara kelebihan idealisme ialah
idealisme berteraskan kesedaran intelek dan sistem berfikir secara rasional dan
logik untuk mengenal pasti sesuatu kebenaran. Logik adalah alat untuk
menentukan tentang apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan pada
satu-satu situasi. Falsafah ini lebih bersifat statik, stabil, dan sukar berubah.
Walaupun begitu, idealisme tetap mempunyai kelemahan. Keadaan ini disebabkan
oleh, anggapan terhadap sesuatu nilai atau kebenaran yang kekal sepanjang masa
masih tidak mendapat persetujuan serentak daripada manusia tentang beberapa
perkara. Logik adalah kunci asas idealisme tetapi tidak semuanya boleh
digunakan kerana terdapat perubahan dari semasa ke semasa.
Seterusnya,
idealisme yang akan dibincangkan dalam keempat- empat karya agung Melayu iaitu
Hikayat Hang Tuah, Hikayat Sulalatus Salatin dan Hikayat Abdullah dan Hikayat
Bustan al- Katibin adalah idealisme karya yang bersumberkan alam. Perbincangan
berdasarkan idealisme yang bersumberkan alam ini dapat dikategorikan kepada
beberapa pecahan, misalnya berkaitan tumbuh-tumbuhan, haiwan, angkasa, sosialisasi
dan sebagainya. Kehidupan manusia tidak lari daripada alam, malah banyak
perkara yang berlaku dalam kehidupan sebagai seorang manusia sering dikaitkan
dan diumpamakan dengan alam ciptaan Tuhan, tidak kira dari segi tumbuhan,
haiwan, angkasa, lautan mahupun hubungan antara masyarakat, iaitu sosialisasi.
Hal ini banyak diungkapkan dalam karya-karya agung Melayu klasik. Mortimer
Jerome Adler menyatakan, berdasarkan isu utama berkenaan tumbuh-tumbuhan,
haiwan dan manusia sebagai bentuk hidupan yang berkesinambungan atau jelas
berbeza, jadi kajian organisma haiwan (anatomi) dan fisiologinya memperoleh banyak kepentingannya (2007:
12). Bukan sahaja pada satu bahagian,
malah pada ketika menulis manusia juga tidak dapat lari dari dikaitkan dengan
alam. idealisme dapat menghasilkan sesuatu bentu karya dan memerlukan daya
imaginasi yang tinggi dan kreatif. Antara idealisme berunsurkan alam yang
terdapat dalam ketiga- tiga hikayat tersebut ialah:
1. Penerokaan pembukaan sesebuah negeri atau
kawasan
Idealisme bersumberkan alam dapat dikaitkan
dengan pembukaan kota Melaka yang terdaapat dalam karya Sulalatus Salatin karya
Tun seri Lanang. Hal ini dapat dijelaskan berikutan cerita yang terdapat dalam
karya agung ini yang mengatakan Parameswara bersama-sama pengikutnya sedang
berteduh dan menyandar pada sepohon pokok kayu yang tidak diketahui namanya.
Parameswara kemudiannya bertanya kepada pengikutnya dan pengikutnya memaklumkan
bahawa pokok kayu tersebut adalah pokok Melaka.
Parameswara
juga tertarik untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai tempat untuk di
bangunkan kota, negeri dan kerajaan kerana beliau ada menyaksikan satu kejadian
yang menakjubkan. Peristiwa tersebut ialah peristiwa pelanduk putih yang
menendang anjing pemburuan baginda. Kejadian tersebut menyaksikan peristiwa di
mana anjing pemburuan Parameswara telah di tendang jatuh ke sungai oleh seekor
pelanduk putih. Antara petikan cerita yang mengisahkan tentang peristiwa
pembukaan kota Melaka ialah:
“...titah baginda “Baik tempat ini diperbuat
negeri, anjing alah pada pelanduk; jikalau orangnya betapa lagi?” maka sembah
segala Orang Besar-Besar, “benarlah seperti titah Duli Tuanku itu.” Maka
disuruh baginda tebas, diperbuat negeri. Maka titah Baginda “apa nama kayu
itu?” Maka sembah orang, “kayu Melaka namanya, Tuanku,” Maka titah Raja
Iskandar Syah,, jika demikian,“Melakalah nama negeri ini.”
(Sulalatus Salatin, halaman 71)
2. Peminangan seorang puteri
Peristiwa peminangan puteri gunung ledang
bermula apabila Sultan Melaka kehilangan permaisuri yang sudah mangkat.
Kesedihan baginda telah menarik perhatian pembesar yang menanyakan baginda jika
ingin berkahwin dengan puteri lain dan Puteri Gunung Ledang adalah pilihan
baginda. Idea pengarang menetapkan syarat-syarat peminangan seperti tujuh
dulang hati nyamuk, tujuh dulang hati kuman dan sebagainya adalah tidak logik.
Contoh petikan:
“jikalau raja Melaka hendakkan aku,
perbuatkanlah aku jambatan emas satu dan jambatan perak satu, dari Melaka
datang ke Gunung Ledang itu. Akan peminangnya hati nyamuktujuh dulang; hati
kuman tujuh dulang; air mata setempayan; air pinang muda setempayan; darah anak
raja yang bernama Raja Ahmad itu semangkuk. Jikalau ada demikian kabullah tuan
puteri akan kehendak raja Melaka itu.”
(Hikayat Sulalatus Salatin, halaman 215)
Jadi, jelaslah dilihat melalui syarat-syarat
peminangan yang diberikan banyak diselitkan dengan unsur alam seperti nyamuk,
kuman, emas, perak dan pinang muda. Hal ini demikian kerana pada masa dahulu
unsur-unsur alam ini dikatakan sudah sebati dengan masyarakat masa itu. Selain
menjadi sumber utama, ia juga menggambarkan Melaka pada masa itu sebagai sebuah
kerajaan yang amat kuat dan kaya kerana mampu membina sebuah jambatan emas dan
perak yang menghubungkan Melaka hingga ke Gunung Ledang.
3. Sumber Lautan
“Maka Raja Suran fikir dalam hatinya, ‘Bahawa
isi darat telah aku ketahuilah, dan segala isi laut bagaimana gerangan rupanya?
Jika demikian, baik aku masuk ke dalam laut, supaya aku ketahui betapa
halnya.’”
(Sulalat al-Salatin, 2003:
14)
“Bermula air didih pun bagai pun lautan dan
kepala kerbau lembu upama pulau”.
(Sulalatus
Salatin, 1997: 25)
“Aku cedok sedikit daripada air laut. Bermula
“setengah” disini bukannya setengah bahagi dua betul, seperti air laut diambil
secawan...”
(Bustan al- Katibin, 2005:
32)
Petikan ini menunjukkan bahawa penulis berasa
perlu untuk memasukkan unsur alam dalam pengkaryaannya meskipun kadangkala
dilihat hal itu tidaklah begitu penting. Hal ini membuktikan bahawa kaitan
antara manusia dan alam seperti lautan juga adalah sesuatu yang dianggap
sebagai keperluan.
4. Api dan air
“Bahawa demikianlah susahnya aku ini
dipeliharakan oleh ibu bapaku: seperti meniup api dalam air, adanya.”
(Hikayat
Abdullah, 2004: 15)
Petikan ini pula menunjukkan terdapat penggunaan
perumpamaan yang dikaitkan dengan kehidupan manusia melalui kepengarangan kisah
hidup Abdullah yang ditulis oleh beliau sendiri.
5. Kaitan antara manusia
“Maka sebab itulah kata arif: Apabila engkau
dapat wang, belikan emas; maka jualkan pula emas itu, belikan pula intan; maka
jualkan pula intan itu, belikan manikam; jualkan pula manikam itu, belikan
ilmu. Maka demikianlah besar kemuliaannya itu serta dengan teguh setianya
kepada orang yang mendapat dia itu.”
(Hikayat
Abdullah, 2004: 20)
Dalam penulisan karyanya, Abdullah Munshi
turut memasukkan kata-kata dari bijak pandai yang menunjukkan bahawa beliau
mengambil tahu hal ini daripada orang yang lebih arif. Kebiasaannya juga, hal
ini dikatakan oleh orang berilmu dan orang tua-tua kepada orang muda. Hal ini
menunjukkan idealisme bersumberkan alam berkaitan hubungan sesama manusia dalam
hidup bersosial.
“Syahadan ketahui olehmu hai sekalian orang
yang menuntut ilmu, adalah kaya dan miskin itu sekali- kali bukan pada pihak
itu diperbuat tanda orang yang mulia dan orang yang berbahagia kerana miskin
dan kaya itu datang ia daripada orang yang mulia, dan datang ia kepada orang
yang hina, dan datang ia kepada orang yang cerdik, dan datang ia kepada orang
yang bodoh, dan datang ia kepada orang yang baik- baik... Akan tetapi, ilmu dan
akal itu tiada ia datang kepada orang sekalian...”
(Bustan al- Katibin, 2005: 11)
6. Sumber haiwan
“Maka sembah mangkabumi, “Baiklah, tuanku.”
Maka mangkabumi pun bermohonlah keluar akan berlengkap gajah kuda dan rakyat
sekalian.”
(Hikayat Hang Tuah, 1995: 3)
“ Pada bicara patik, patut juga Duli Yang
Dipertuan sambut dengan gajah supaya suka hatinya, kerana orang besar...”
(Hikayat Hang Tuah, 1995: 91)
“Makan aku akan ikan hingga kepalanya kumakan juga”
(Bustan al- Katibin, 2005: 33)
“Maka Raja Kida Hindi pun dianugerahi persalin, seratus buah cembul
emas berisi permata dan ratna mutu manikam yang mulia- mulia dan dianugerahi seratus
ekor kuda..”
(Sulalatus Salatin, 1997:7)
Petikan ini menunjukkan pengarang menggunakan unsur haiwan dalam
kepengarangan untuk mengambarkan kepentingan haiwan dalam kehidupan manusia.
7. Sumber tumbuhan
“ Maka dilihat oleh baginda ada sebuah
kolam terlalu indah perbuatan, diikat dengan permata pancawarna, berkeliling
kolam itu pelbagai bunga yang indah-indah dengan jambangannya.”
(Hikayat
Hang Tuah,1995: 8)
“… pelbagai bunga- bunganya seorang
sekendong dan mengambil buah- buahan dibawanya naik ke atas…”
(Hikayat Hang Tuah, 1995: 195)
“Maka di atas pulau itu ditanaminya
pelbagai kayu- kayuan dan segala bunga- bungaan dan segala buah- buahan…”
(Sulalatus Salatin, 1997, 14)
Unsur tumbuhan, iaitu bunga digunakan dalam
kepengarangan bagi melambangkan unsur alam yang berada di sekeliling manusia.
“Maka adalah ia itu diumpamakan seperti suatu
tiang batu adanya. Maka barang betapa berat ia ditanggungkan di atasnya, ditahannya
juga. Maka jikalau sekiranya terlampau daripada adat beratnya itu, remuklah ia,
patah sekali, tetapi tiada ia tahu melentur atau bongkok, seperti tiang kayu
dan sebagainya.”
(Hikayat
Abdullah, 2004: 20)
Petikan ini juga menunjukkan pemikiran atau
idealisme penulis karya agung dalam mengaitkan penulisannya dengan sumber alam
di sekelilingnya.
8. Pentadbiran negara
Peristiwa yang berlaku di Singapura ini yang
turut diceritakan dalam karya agung Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu yang
telah di tulis oleh Tun Seri Lanang dalam bab 4 pada halaman 67 dalam buku
tersebut. Peristiwa ini berlaku semasa Tuan Jana Khatib yang juga merupakan
seorang yang mahir dalam ilmu agama telah datang ke Singapura. Di Singapura,
Tuan Jana Khatib berjalan di pekan Singapura sehinggalah ke pintu peranginan
raja. Di situ, Tuan Jana Khatib telah menilik pohon pinang sehingga pohon itu
telah terbelah dua dan kejadian itu berlaku di hadapan permaisuri raja. Raja
telah menitahkan hukuman bunuh ke atas Tuan Jana Khatib kerana beliau di anggap
sengaja ingin menunjuk-nunjuk kebolehannya di hadapan permaisuri.
Beberapa
lama kemudian selepas peristiwa tersebut, Singapura telah menerima bencana
besar iaitu bencana serangan todak. Ramai rakyat jelata telah terkorban. Nyawa
rakyat terus melayang apabila Paduka Seri Maharaja telah memerintahkan
rakyatnya berkotakan betis. Kemudian datang seorang budak yang pintar
mencadangkan agar mereka berkotakan batang pisang. Akhirnya berkat cadangan
bernas budak pintar tersebut, serangan todak telah berakhir. Tetapi, budak
tersebut telah dijatuhi hukuman bunuh akibat hasutan para pembesar terhadap
raja yang tidak berfikir panjang tentang kebijaksanaan budak tersebut yang di
khuatiri akan menggugat raja apabila dia besar kelak. Antara petikan cerita
yang mengisahkan serangan todak ialah:
“Syahadan pada antara itu, datanglah seorang
budak berkata, “apa kerja kita berkotakan betis ini? Mendayakan diri kita. Jika
berkotakan batang pisang alangkah baiknya?” setelah didengar Paduka Seri
Maharaja kata budak itu, maka titah baginda, “Benar seperti kata budak itu,”
maka dikerahkan baginda rakyat mengambil batang pisang diperbuat kota. Maka
dikerjakan oranglah berkotakan batang pisang. Maka segala todak yang melompat
itu lekatlah jongornya, tercacak kepada batang pisang itu; dibunuh oranglah
bertimbun-timbun di pantai itu, hingga tiadalah termakan lagi oleh segala
rakyat. Maka todak itu pun tiadalah melompat lagi”.
(Sulalatus
Salatin, 67)
Dalam
peristiwa Singapura di langgar todak, ada di selitkan tentang penggunaan batang
pisang untuk mempertahankan Singapura. Kepintaran budak tersebut untuk
mempertahankan Singapura daripada di langgar todak amat bijak sekali kerana
batang pisang yang lembut akan memudahkan muncung todak terlekat di batang
tersebut. Malahan, idea tersebut muncul daripada budak tersebut mungkin di
sebabkan oleh keadaan sekelilingnya yang amat banyak dengan pokok pisang atau
tumbuhan yang lain. Hal ini demikian kerana, keadaan persekitarannya pada masa
dahulu amat banyak dipenuhi dengan pokok-pokok atau unsur alam yang lagi yang
masih terjaga. Sumber alam tersebut juga merupakan punca utama untuk penduduk
mendapatkan sumber makanan. Malahan, sungai dan laut amat penting kepada mereka
untuk mencari rezeki menyara kehidupan mereka sekeluarga di samping sebagai
bahan dagangan.
Falsafah Melayu
Menurut Kamus Dewan edisi keempat, falsafah bermaksud
pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang
menjadi dasar ilmu-ilmu yang lain. Perkataan falsafah
berasal daripada bahasa Yunanai philosophia iaitu philo ertinya cinta manakala sophia
ertinya hikmat. Menurut tokoh islam: Al- Farabi dalam buku Dr Haji Mohd
Rashid (2014), beliau mendefinisikan falsafah sebagai satu ilmu yang menyelidiki
hakikat sebenar dari segala yang ada ini. Pendapatnya ini sebagaimana pendapat
Plato yang menegaskan “Falsafah meneliti hakikat yang mendasari sesuatu benda
atau perkara disebalik sifat luarannya, iaitu apa sebenarnya yang menjadi asas
dan initi pati pembentukan sesuatu benda atau perkara itu.” Menurut Hashim Hj.
Musa (2006) dalam buku yang sama, falsafah disifatkan sebagai kajian secara
renungan dan spekulatif terhadap punca, keadaan dan sifat seluruh pengetahuan
manusia yang menjadi sari pati bagi seluruh bidang pengetahuan manusia. Dalam
karya agung Melayu, pengarang menerapkan elemen falsafah dari dua sumber.
Sumber yang pertama, pengarang menggunakan falsafah yang bersumberkan Melayu.
Manakala sumber yang kedua dilihat daripada falsafah yang bersumberkan Islam.
1.
Falsafah Melayu Berkonsepkan Budi
Menurut
Mohd Rashid et al (2014), kehidupan masyarakat Melayu tidak boleh terlepas
daripada peraturan dan disiplin. Kehidupan seharian mereka penuh dengan adab
dan kesopanan. Selai itu, mereka juga mempunyai pantang larang yangbtersendiri
yang perlu mereka patuhi. Oleh itu, mereka menerapkan unsur tersebut dalam
karya mereka. Sebagai contoh, mereka menekankan konsep berbudi dalam kehidupan
mereka. Konsep budi terbahagi pula kepada lima, iaitu budi bahasa, budi
pekerti, budi bicara, hati budi dan akal budi.
a.
Budi bahasa
Menurut
Mohd Rashid et al (2014), budi bahasa dan budi bicara yang mulia merujuk kepada
pertuturan yang manis, sopan, positif, bernas dan penuh pengajaran serta
memberikan sumbangan kepada khalayak dan pendengar (Mohd Rashid Md Idris,
2011:64). Pendek kata, budi bahasa ialah pertuturan yang apabila didengar oleh
pendengan, mereka akan berasa selesa dan perkara yang diperkatakan itu dapat
diterima dengan baik. Penutur yang berbudi bahasa lazimnya bertutur dengan
menggunakan ayat yang manis, sopan dan penuh pengajaran. Dengan itu, pendengar
tidak akan tersentuh dan terasa hati dengan ungkapan penutur yang penuh budi
bahasa ini.
Penerapan konsep budi bahasa dan
budi bicara ini bukan sahaja terserpa dalam kehidupan seharian masyarakat
Melayu sahaja, melah konsep kelembutan berbicara ini juga terserap dalam
karya-karya mereka. Hal ini dapat dilihat dalam contoh dibawah;
… “ Daulat Tuanku Syah Alam, patik
ini hamba yang hina memohon ampun dan kurnia dibawah Duli Yang Dipertuan akan
patik ini, kerana Hamba Syah Alam tiada berdosa dibawah cerpu Duli Syah Alam.
Maka hamba Syah Alam pun harap akan ampun
Syah Alam kerana Si Tuah tiada mahu bertuan lain daripada anak cucu Duli
Syah Alam.”
(Hikayat
Hang Tuah, 1997:231-232)
Petikan
diatas merupakan perbualan antara Hang Tuah dengan rajanya. Tutur bicara Hang
Tuah sangat lembut dan penuh berbudi tatkala menolak arahan rajanya supaya
menjadi hamba kepada raja yang lain. Hang Tuah pada awalnya memohon ampun
kebawah duli rajanya dan dengan merendah diri Hang Tuah menghina dirinya.
Kemudian barulah beliau menyatakan penolakan arahan rajanya itu.
b.
Budi pekerti
Menurut
Mohd Rashid et al (2014), budi pekerti pula lebih terarah kepada akhlak
seseorang. Namun demikian, unsur kesantunan masih lagi menjadi tunjang kepada
setiap perlakuan yang dihasilkan oleh sesorang individu. Pendek kata, budi
pekerti adalah satu aspek atau tingkah laku seseorang yang dinilai oleh
masyarakat dari sudut baik dan buruk, atau halus dan kasar. Kelakuan tersebut
merangkumi kelakuan yang bersopan santun, tertib dan sebagainya. Nilai ini
dapat dilihat dalam Hikayat Hang Tuah.
“Maka Tun Teja pun menunjukkan
tangannya kepada Tun Tuah; Tun Tuah pun segera mengeluarkan tangan bajunya lalu
disambutnya tangan Tun Teja itu lalu dibawanya ke dalam tirai kelambu tujuh
lapis itu. Maka Tun Tuah pun duduk menghadap dibawah peterana itu; bebrapa kali
Tun Teja mengajak… tiada juga Tuah mau. Maka dalam hati Tun Tuah: Ya rabbi, ya
saiyidi, ya maulaya, ya Tuhanku, Engkau juga yang terlebih tahu dan amat kuasa
dan Engkau juga yang mengetahui dalam hati hambamu bahawa perempuan ini ibuku.
Kepadaku jauhkan apa kiranya daripada citaku kepada perempuan ini.’…
(Hikayat Hang Tuah, 1997:221)
Peristiwa
diatas berlaku tatkala Hang Tuah cuba mendapatkan Tun Teja kepada rajanya.
Semasa berjumpa dengan Tun Teja, Hang Tuah digoda oleh Tun Teja. Namun, Hang
Tuah sedikitpun tidak tergoda dengan Tun Teja. Malah, sifat sopan santun yang
ditunjukkan oleh Hang Tuah terhadap Tun Teja begitu tinggi dengan tidak
mengambil kesempatann terhadap Tun Teja walaupun mereka sedang berdua-duaan.
Kelakuan Hang Tuah ini sudah cukup untuk menggambarkan ketinggian budi pekerti
masyarakat Melayu dahulu dalam karya-karya mereka.
c.
Budi bicara
Menurut
Mohd Rashid et al (2014), budi bicara merujuk kepada toleransi dan tolak ansur
dalam setiap perbuatan. Hal ini demikian kerana, kehidupan masyarakat yang
mementingkan nilai kerjasama bagi mewujudkan suasana yang harmoni dan aman.
Masyarakat Melayu sangat mementingkan toleransi dan tolak ansur dalam pergaulan
dan tindakan mereka. Dengan adanya sikap bertolak ansur dan toleransi inilah
yang dapat menjamin kesejahteraan dan keharmonian masyarakat Melayu. Mereka
sedaya upaya mencapai kata sepakat tentang sesuatu sehingga tiada siapa yang
akan berkecil hati. Sikap mementingkan diri sendiri sangat jarang ditemui dalam
masyarakat terdahulu. Itulah sikap orang Melayu yang masih kekal hingga hari
ini biarpun sikap ini sedikit terhakis mengikut peredaran zaman. Dalam karya
seni, konsep budi bicara ini dapat dilihat dalam hikayat Hang Tuah.
… “Perahu musuhlah lakunya.
Apa bicara kita kalian?” Maka sahut Hang
Kasturi, “ Apatah yang kita endahkan? Yang kita hendak pun bertemu dengan
perahu musuh.” Maka sahut Hang Lekir dan Hang Lekiu, “ Mengapa pula begitu?
Masa beta tumangkan; sehingga mati sudahlah.” Maka kata Hang Tuah seraya
tersenyum, “ Hai saudaraku, pada bicara hamba, baik juga perang diatas pulau
kerana perahu kita kecil; tewas juga kita kera ia tiga buah dengan besarnya dan
senjatapun banyak dan orangpun banyak; sukar melawani dia.” Maka kata Hang
Kasturi, “ Yang mana benar segeralah kita kerjakan, kerana makin hampir.” Oleh
Hang Tuah membelokkan perahunya itu menuju pulau itu.”
(Hikayat Hang Tuah, 2008:25)
Petikan
diatas menceritakan keadaan mereka berlima ketika didatangi musuh. Mereka
sedikit pun tidak gentar hendak melawan musuh yang sebegitu ramai dan lengkap
dengan senjata. Malah, mereka sempat berfikir kaedah yang berkesan untuk
mengalahkan musuh mereka. Masing-masing menunjukkan toleransi tatkala membuat
sesuatu keputusan pada saat yang genting seperti itu. Akhirnya, daripada
persepakatan tersebut, mereka berlima dapat menewaskan musuh mereka itu.
Keadaan ini jelas menunjukkan sikap tolak ansur dan budi bicara mereka dalam
persahabatan.
d.
Hati budi
Menurut
Mohd Rashid et al (2014), hati budi boleh dikaitkan dengan istilah hati yang
baik atau baik hati. Untuk melahirkan hati yang baik, seseorang itu perlu
diasuh sejak kecil kerana kerana kesucian akan menentukan perlakuan yang baik,
tingkah laku yang bersopan santun dan akn terhindar daripada segala sifat-sifat
yang negatif dan buruk. Aspek ini jyga tidak lupa diterapkan dalam karya klasik
Melayu. Sebagai contoh dapat dilihat dalam petikan Hikayat Hang Tuah.
“Setelah sudah baginda merajakan
anakanda baginda beberapa bulan lamanya, maka dilihat akan ankanda baginda
kerajaan terlalu baik budi afalnya, baginda lalu kembali keinderaan laki
isteri.”
(Hikayat
Hang Tuah 1995:7)
Petikan
tersebut menunjukkan seorang raja yang memputerakan anakandanya. Raja tersebut
sangat mementingkan hati budi. Buktinya, setelah baginda berpuas hati terhadap
budi baik anakandanya, baharulah baginda kembali ke istana bersama isterinya.
Hal ini kerana, baginda tidak mahu anakandanya menjadi seorang raja yang tidak
mempunyai hati budi yang baik dan elok.
e.
Akal budi
Menurut
Mohd Rashid et al (2014), pertimbangan akal sangat diperlukan dalam kehidupan
seharian. Oleh itu, melalui pertimbangan akal budi yang mementingkan kewarasan
akal fikiran ini akan menentukan sikap seseorang itu sama ada mampu untuk
bertanggungjawab dengan setiap perkara yang dilakukan ataupun tidak.
Kebiasaannya, dalam masyarakat Melayu dahulu, nilai ini sangat dipentingkan
supaya seseorang individu itu mampu untuk mengurus diri, keluarga dan juga
masyarakat.
2.
Falsafah Melayu Berdasarkan Konsep Adat
Kehidupan
masyarakat Melayu tidak lengkap sekiranya tidak disertakan dengan konsep adat.
Adat merupakan falsafah pegangan hidup masyarakat Melayu sejak dahulu hingga
kini. Konsep budi dan adat perlu berjalan seiring bagi mengindahkan cara hidup
Melayu yang penuh adab. Adab, adat dan budi yang tersendiri.
Dalam masyarakat Melayu itu sendiri,
terdapat pelbagai adat yang diamalkan. Antaranya ialah adat menghadap raja dan
adat penganugerahan gelaran. Oleh kerana masyarakat dahulu menganggap raja
mempunyai kedudukan tertinggi, maka mereka mengatur adat yang sesuai untuk
menghadap raja yang disanjung tinggi itu. Bukan tu sahaja, bagi menghormati
keluarga diraja, mereka juga mengatur adat yang sesuai bagi istiadat
penganugerahan gelaran.
a.
Adat menghadap raja
Semasa mengadap
raja terdapat adat istiadat mengadap raja di balairung. Pembesar-pembesar akan
di susun mengikut pangkat kebesaran tersendiri seperti bendahara, penghulu
bendahari, dan temenggung akan duduk di seri balai. Anak- anak raja akan duduk
di bahagian serambi balai sebelah kiri dan kanan. Sida- sida yang muda akan
duduk berselang-seli dengan bentara dan hulubalang yang berdiri di ketapakan
balai memikul pedang. Petikan di bawah menggambarkan aturan mengadap raja di
balairung. Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah.
“Kemudian daripada itu maka Raja Iskandar pun keluarlah ke
penghadapan, dihadap oleh segala raja-raja dan ulama dan pendita dan segala
Orang Besar-besar, dan segala pahlawan yang gagah-gagah mengelilingi takhta kerajaan
baginda, dan dan belakang baginda segala Hamba yang khas dan segala yang
kepercayaannya.”
(Hikayat Sulalatus Salatin, 2010)
b. Adat penganugerahan gelaran
Selain
adat menghadap raja, masyarakat Melayu juga mempunyai adat yang dipanggil adat
penganugerahan gelaran. Adat ini dimulakan dengan menjemput orang yang bakal
menerima gelaran ke istana. Jemputan pula penganugerahan adalah mengikut
pangkat dan gelaran yang bakal diterima. Orang besar-besar akan menjemputnya
jika mendapat penganugerahan ‘Perserian’. Bagi anugerah ‘Persangan’ hanya orang
kecil-kecil sahaja yang akan menjemput orang yang bakal menerima anugerah.
Orang yang akan menerima anugerah akan dijemput dengan menggunakan gajah atau
kuda. Mereka akan diiringi dengan payung dan gendang serunai
ke istana. Ketika tiba di istana, riwayat mereka akan dibaca dan diberi
persalinan mengikut gelaran yang diberikaan oleh raja. Sebagai contoh, anugerah
Bendahara akan diberi lima ceper persalinan.
“Jika baginda menggelar orang, maka raja dihadap orang di
balairung, orang beradat. Maka dijemput orang itu: jika "Perserian ",
Orang Besar-besar menjemput dia; jika "Persangan", orang kecil
menjemput dia; jika "Pertuanan" orang sedang menjemput dia; dan jika
orang bergelar itu patut bergajah, dibawakan gajah; yang patut berkuda,
dibawakan kuda; dan jikalau tiada patut bergajah dan berkuda, dibawa berjalan
dengan bingkisan, dengan payung dan gendang serunai, tetapi payung itu, ada
hijau, ada yang biru, ada yang merah, dan sebesar-besamya payung kuning; dan
payung putih dengan nagara itu mahal adanya, sebaik-baiknya nafiri. Dan payung
kuning itu payung anak raja-raja dan orang besar-besar; dan payung ungu dan
merah dan hijau itu payung sida-sida dan bentara hulubalang sekalian. Adapun
payung biru dan hitam itu akan payung barang orang bergelar juga.”
(Hikayat Sulalatus Salatin, 2010)
c. Falsafah waad
Selain berpegang kepada falsafah budi dan adat, masyarakat Melayu juga
berpegang kepada falsafah waad. Falsafah
ini merupakan satu falsafah yang berkaitan dengan perjanjian yang dikenali
dengan Waad. Waad merupakan kontrak sosial yang dilakukan antara seseorang
individu dengan individu lain tentang sesuatu perkara. Masyarakat dahulu
percaya, jika waad dilanggar, maka pelbagai bencana akan menimpa seperti
menghidapi penyakit kedal iaitu sejenis penyakit kulit. Falsafah waad ini tidak
lupa diterapkan dalam karya kelasik. Contohnya, terdapat penerapan falsafah
waad dalam karya Sejarah Melayu;
… “Maka sembah Demang Lebar Daun, “Tuanku, segala anak cucu
patik sedia akan jadi hambalah ke bawah Duli Yang Dipertuan Hendaklah ia
diperbaiki oleh anak cucu tuan hamba. Syahadan jikalau ia berdosa besar-besar
sekalipun jangan ia difadhihatkan dan dinista dengan kata yang jahat-jahat.
Jikalau besar dosanya dibunuh, itu pun jikalau patut pada hukum syar’i.
Maka titah baginda, “Kabullah hamba akan janji bapa hamba
Demang Lebar Daun ( tetapi hamba hendak minta satu janji pada bapa hamba.)”
Maka Sembah Demang Lebar Daun, “Janji yang mana itu, tuanku?”
Maka titah Seri Teri Buana, “Hendaklah pada akhir zaman kelak
anak cucu bapa jangan durhaka, dan anak cucu hamba, jikalau ia zalim dan jahat,
pekertinya sekalipun.
Maka titah Seri Buana, “Baiklah, kabullah hamba akan wa’ad
itu.”
(Hikayat Sulalatus Salatin, 2010:25)
Jika dilihat dengan teliti,
sebenarnya banyak falsafah Melayu yang diterapkan dalam karya-karya klasik.
Falsafah ini telah menjadi sebati dan pegangan hidup dalam masyarakat Melayu
dahulu hinggalah kini.
No comments:
Post a Comment