ESTETIKA
DALAM KARYA AGUNG
Secara umum, karya
seni merupakan hasil daripada proses imaginasi dan kreatif manusia dalam
menggarap keindahan bagi mengerjakan sesuatu. Ianya tidak terhad kepada hasil
penulisan sahaja malah meliputi seni bina, lukisan, muzik, bahasa dan
sebagainya. Hal ini sangat bertepatan dengan pendapat yang dikemukakan oleh Nor
Azman Ab. Aziz (2013:1) yang menyatakan bahawa estetika adalah cabang falsafah
yang mengandungi pertalian dengan sifat keindahan, seni, rasa, penciptaan dan
tanggapan terhadap keindahan.
Berbalik kepada makna
estetik, perkataan estetik sebenarnya berasal dari bahasa Yunani kuno
iaitu aesthesis yang bererti tanggapan. Jim Supangkat dan
Rizki A Zaelani (2006:6). Istilah estetik telah diberikan makna baru pada tahun
1735 oleh Alexander Baumgarten yang membawa maksud estetika penghakiman yakni
menilai dan merasa serta menghayati sesuatu dengan mendalam. Nor Azman Ab. Aziz
(2013:2). Dengan kata lain, estetika sebenarnya merupakan bidang ilmu ilmu yang
membahaskan keindahan, bagaimana sesuatu seni itu terhasil dan bagaimana
seseorang dapat merasainya atau menghayatinya.
Menurut Rahman Shaari
(2001:28) estetika bermaksud nilai keindahan dalam sesebuah karya sastera.
Nilai yang dimaksudkan berkaitan dengan perasaan manusia dan subjektif
sifatnya. Contohnya, mungkin pembaca pertama menganggap karya itu bernilai
estetika, namun pembaca kedua pula tidak menganggapnya sedemikian. Jadi,
menurut Rahman Shaari (2001) bagi sesebuah karya, aspek teknik dan gaya itulah
yang menjadi penentu hadirnya nilai estetika. Bahkan kehadiran isi yang bagus
tidak menjamin tingginya nilai estetika melainkan keseimbangan kesemuanya dalam
karya tersebut sangat dituntut.
Konsep estetik ialah
yang menilai teks sastera dengan merujuk kepada aspek keindahan dan
kekuatannya. Estetik ialah rasa keindahan, keseronokan , kegembiraan yang
merujuk kepada yang bernilai dan bermanfaat serta penikmatan yang mempesonakan
atau penglihatan yang memukau, yang cepat menawan perasaan dan terpahat dalam
pemikiran. Sebenarnya terdapat banyak lagi pendapat yang membahaskan
makna estetika diantaranya ialah estetika adalah segala sesuatu dan kajian
terhadap hal-hal yang berkaitan dengan kegiatan seni (Kattsoff, Element
of Philosophy, 1953), estetika merupakan suatu telaah yang berkaitan dengan
penciptaan, apreasiasi, dan kritikan terhadap karya seni dalam konteks
keterkaitan seni dengan kegiatan manusia dan peranan seni dalam perubahan dunia
(Van Mater Ames, Colliers Encyclopedia, Vol. 1), ketiga, estetika
adalah suatu ilmu yang mempelajari segala sesuatu yang berkaitan dengan
keindahan, mempelajari semua aspek yang disebut keindahan (A. Djelantik, Estetika
Suatu Pengantar, 1999). Dan yang terakhir estetika dikatakan mempersoalkan
hakikat keindahan alam dan karya seni, sedangkan falsafah seni mempersoalkan
hanya karya seni atau benda seni atau artifak yang disebut seni (Jakob Sumarjo,Filsafat
Seni, 2000).
Konsep keindahan
Melayu Klasik
Karya sastera memang
mempunyai nilai estetik, sama ada tahap tinggi atau bertaraf rendah. Nilai
estetik ini seharusnya dapat menikmati sebagai nikmat ketika membaca,
menghayati dan memahami setiap hasil karya. Begitulah, bagi karya novel,
cerpen, puisi (pantun, syair, gurindam, seloka dan sajak) drama dan sebagainya
ada terselit nilai-nilai estetika dan keindahan.
Secara umumnya perkataan estetika dalam bahasa Yunani ialah aesthesis yang
membawa maksud hal-hal yang dapat diserapkan oleh pancaindera atau lebih khusus
lagi membawa maksud ‘kepekaan’ manusia terhadap sesuatu gaya penulisan. Estetik
juga boleh diertikan sebagai persepsi pancaindera (sense of perception), iaitu
merupakan istilah estetika yang digunakan untuk kajian falsafah.
Selain itu, estetika juga membawa banyak pengertian daripada ramai tokoh
falsafah. Ahli falsafah Jerman bernama Alexander Baumgarten (1714-1716) adalah
orang pertama yang memperkenalkan perkataan aisthetika.
Estetik adalah rasa indah pada umumnya dan tentang kesenian pada khususnya.
Pandangan mengenai falsafah dan estetika sangat berhubung rapat dengan
kesenian. Apabila disentuh tentang keindahan, maka secara langsung akan
diperkatakan perkara berkaitan seni dan kesenian Estetika secara umumnya
bermaksud keindahan. Oleh sebab itu, estetika merupakan satu cabang yang sangat
dekat dengan falsafah seni. Nilai estetika itu sendiri melibatkan seni
dan keindahan. Apabila dilihat dari konsep yang berkaitan dengan karya,
kita dapat mengaitkan unsure ini dengan karya yang dihasilkan iaitu penghasilan
bahasa yang estetik iaitu indah dan berseni. Secara umumnya, estetika dikaitkan
dengan karya seni manusia atau mengenai alam semesta.
William Haverson mengatakan estetika adalah segala hal yang
berhubungan dengan sifat dasar nilai-nilai non-moral suatu karya seni. Estetika
sering diungkapkan sebagai persamaan makna seni, tetapi ia berbeza dengan
‘falsafah keindahan’, kerana estetika tidak semata-mata menjadi permasalahan
falsafah. Di dalamnya menyangkut perbahasan ilmiah berkaitan dengan karya seni,
yang merangkumi bidang ilmiah, antaranya meliputi perbincangan tentang
keindahan dalam seni atau pengalaman estetik, gaya atau aliran seni,
perkembangan seni dan sebagainya. Secara langsung pengkajian falsafah estetika
bersangkutan dalam bidang-bidang seperti psikologi, sosiologi, antropologi dan
lain-lain yang bersangkutan.
Selain itu, estetika juga dapat dikaitkan sebagai keindahan yang
berdasarkan penglihatan iaitu seni rupa dan keindahan yang boleh didapati
melalui pendengaran contohnya, muzik. Oleh sebab itu, keindahan dapat diertikan
sebagai keindahan yang meliputi aspek keindahan seni, keindahan alam, keindahan
moral, dan keindahan intelektual. Estetika sebagai keindahan dan keagungan.
Estetika juga merupakan sebahagian penciptaan simbol- simbol yang wujud dari
perasaan manusia sebagai hasil kesenian dan juga sesuatu yang mewakili perasaan
amnesia. Maksudnya, estetika bersifat simbolisme iaitu simbol-simbol yang
dimaksudkan bukan sahaja hasil karya seni lukis tetapi hasil binaan yang
mempunyai simbolik tersendiri hasil ciptaan manusia. Sebagai contoh, seni
binaan bangunan yang kaya dengan simbol dan keindahan tersendiri seperti rekaan
bangunan Menara Petronas, Kuala Lumpur.
Perkataan keindahan atau kata dasarnya indah merupakan salah satu istilah
pokok dalam sistem estetika kesusasteraan Melayu. Konsep keindahan dalam
tradisi dan budaya Melayu menurut V.I. Braginsky dalam Aminudin Mansor ialah
terdapat tiga aspek yang jelas dinyatakan dalam karya sastera menerusi
penggantian perkataan indah dengan kata yang sama maksud. Menurutnya lagi,
keindahan sesuatu karya sastera dipercayai mampu mempengaruhi jiwa seseorang,
mempunyai kuasa penyembuh tetapi akibat daripada keindahan itu lebih penting
iaitu manfaat yang terselindung di sebaliknya. Misalnya, pembaca akan berasa
tenang atau sebaliknya bergantung kepada keadaan jiwa seseorang itu ketika
menghayatinya.
Aspek pertama yang akan dibincangkan ialah berhubung dengan asal usul
keindahan. Pengertian indah dipadankan dengan cara tertentu melalui kuasa Tuhan
atau kekayaan Allah. Ianya meliputi kekuasaan Allah mencipta sesuatu yang tidak
terbatas. Contohnya kehadiran pelbagai kehidupan di muka bumi, sistem
cakerawala, keindahan alam semula jadi dan sebagainya sehinggakan yang tidak
mampu ditanggapi oleh akal manusia biasa.
Kedua, estetika Islam juga membezakan keindahan mutlak daripada keindahan
fenomena dengan menggunakan perkataan elok dan indah dalam karya sastera dan
karangan tasawuf Melayu. Manakala, aspek keindahan ketiga ialah estetik atau
keindahan tersembunyi, tetapi bentuk iaitu susunan kata yang baik, makna yang
berlapis-lapis mampu menyerlahkan keindahan sehingga dapat dihayati. Tanpa
bentuk yang baik pasti isi kandungan dalam sesebuah karya tidak mempunyai daya
tarikan. (Aminudin Mansor, 2012).
Estetik dalam Sulalatus Salatin
Unsur estetik merupakan satu unsur keindahan dalam berbahasa iaitu dengan
memberikan sifat manusia kepada benda lain. Unsur personafikasi yang dapat
dilihat dalam karya Sulalatus Salatin ialah:
“rupa tunggul panji-panji seperti awan berarak; rupa payung segala
raja-raja”
(Muhammad
Haji Salleh, 1997: 26)
Dalam ayat di atas, pengarang telah menggunakan kata kerja berarak yang
dilambangkan sebagai unsur personafikasi kepada awan. Awan merupakan kata nama
yang tidak bernyawa, tetapi diberi sifat manusia kepadanya. Unsur ini digunakan
untuk menunjukkan keindahan bahasa.
Penggunaan Bahasa Istana
Tidak dinafikan penggunaan bahasa istana di dalam karya bahasa Melayu
Klasik kerap berlaku berbanding dalam karya Melayu Moden. Watak utama di dalam
karya bahasa Melayu klasik adalah terdiri daripada watak istana yang melibatkan
sultan, permaisuri, anakanda, dayang, pembesar, dan sebagainya. Oleh hal yang
demikian, penggunaan bahasa istana amat diperlukan untuk mewarnai karya sastera
tersebut agar lebih menarik dengan keindahan bahasa istana yang sangat lembut
dan berlapik. Penggunaan bahasa istana juga diperlukan dalam karya bahasa
Melayu klasik bagi mengisahkan cerita-cerita yang membabitkan keluarga diraja.
Perkara ini dapat dijelaskan lagi menerusi contoh ayat yang dipetik daripada
Hikayat hang Tuah yang dikemukakan oleh Kassim Ahmad yang berbunyi:
Maka pada ketika itu juga baginda pun melengkapi anakanda baginda itu
dengan inang pengasuh dan dayang-dayang sepertinya. Maka tuan putera Kemala
ratna Pelingan dipeluk cium dan ditangisinya oleh ayahanda baginda. (Kassim Ahmad, 1997 :5)
Namun begitu, penggunaan bahasa istana ini kurang digunakan di dalam bahasa
Melayu Moden. Hal ini telah dibuktikan apabila karya yang ditulis menggunakan
bahasa Melayu Moden kurang menggunakan tema keluarga diraja. Kebanyakan penulis
akan menggunakan tema berkaitan dengan masyarakat moden yang tidak akan
dikaitkan dengan keluarga diraja seterusnya penggunaan bahasa yang indah
seperti bahasa istana tidak dapat dikekalkan dan semakin ditinggalkan oleh
masyarakat Melayu Moden.
Penggunaan ayat yang panjang juga merupakan salah satu unsur estetik
dalam karya agung iaitu salah satu aspek yang dapat membezakan bahasa Melayu
Klasik dengan bahasa Melayu Moden. Ciri ini boleh dilihat melalui beberapa ayat
yang terkandung di dalam Hikayat Hang Tuah iaitu:
Apabila tuan puteri dan segala isi istana itu mendengar bunyi-bunyian dan
melihat segala perintah dewa-dewa turun terlalu banyak datang dengan pakainnya
terlalu indah-indah- rata terang itu pun dengan perhiasannya keemasan-datang
mendapatkan Sang Perta Dewa itu bertatahkan ratna munu manikam, maka Tuan
Puteri Pelinggam pun tahulah akan Sang Perta Dewa itu anaknya besar turun dari
keinderaan.
(Kassim Ahmad, 1997: 6)
Contoh ayat di atas jelas menunjukkan penggunaan bahasa yang meleret-leret
dalam Hikayat Hang Tuah. Ayat yang panjang merupakan satu unsur seni bahasa
yang mampu menjadikan sesebuah karya menjadi menarik. Ianya juga dipercayai
berpunca daripada gaya bahasa hiperbola yang biasa terdapat di dalam hasil
sastera klasik. Gaya bahasa hiperbola bermaksud sesuatu perkara itu diceritakan
secara berlebih-lebihan. Tujuan utama penggunaan gaya bahasa ini adalah untuk
menekankan keistimewaan sesuatu benda atau perkara. Selain itu, penggunaannya
juga dapat meninggalkan kesan yang mendalam kepada pembaca kerana melalui
penggunaan hiperbola, pembaca akan dibawa bersama untuk menghayati sesuatu
cerita kerana penggunaan gaya bahasa hiperbola dapat membantu pembaca
menghayati sesuatu peristiwa dengan lebih mendalam. Melalui contoh yang diberi
di bawah, jelas kelihatan daripada keindahan bahasa atau unsur estetik yang
digarap oleh pengarang bagi mewarnai hikayat Hang Tuah menggunakan unsur
hiperbola.
“Segala perintah dewa-dewa turun terlalu banyak datang dengan pakaian
terlalu indah-indah-rata terbang itu pun dengan perhiasannya keemasan”.
(Kassim Ahmad, 1997: 6)
Selain itu, dalam karya klasik atau karya agung juga turut menggunakan
penggunaan imbuhan ‘nya’ untuk mengekalkan unsur estetik dalam karya.
Penggunaan imbuhan ‘nya’ boleh digunakan bagi menggantikan ganti nama yang
diulang beberapa kali. Ganti nama tunjuk atau perkataan-perkataan yang tidak
diperlukan boleh diabaikan bagi tujuan meringkaskan sesebuah ayat.
Penggunaan imbuhan ‘nya’ ini bertujuan mengelakkan daripada kekerapan
menggunakan ayat yang panjang seterusnya menjadikan karya tersebut suatu karya
yang tidak menarik, menyebabkan pembaca menjadi bosan untuk meminati sesebuah
karya. Sebagai contoh ayat yang menggunakan imbuhan ‘nya’ dalam hikayat Hang
Tuah ialah:
Maka Sang Sapurba terlalu sukacita melihat isterinya hamil itu. Setelah
genaplah bulannya, maka tuan puteri pun berputeralah seorang lelaki, terlalu
elok rupanya sikapnya. (Kassim Ahmad, 1997: 11)
Berdasarkan contoh ayat di atas, menunjukkan penulis telah mengulang
sebanyak empat kali imbuhan ‘nya’ dalam satu ayat. Ayat tersebut ditulis
sebegitu bagi menjelaskan kepada pembaca bahawa Sang Sapurba mempunyai anak
seramai empat orang. Penggunaan ayat yang panjang dan berulang-ulang ini akan
menjadikan sesebuah ayat itu berbelit-belit dan sukar difahami. Keadaan ini
menunjukkan bahawa penulis sangat bijak menggunakan bahasa dan memperlihatkan
unsur estetik dalam karya tersebut. Keindahan karya juga terletak kepada
kebijaksanaan penulis untuk menterjemahkan jalan cerita menggunakan seni bahasa
yang dapat menarik minat pembaca.
Makna luaran dan makna dalaman
Mengikut Webster, estetik ialah pembelajaran tentang falsafah kecantikan
dan ia juga merupakan pandangan luar sesuatu hasil seni (Weitz).
Perkataan ini berasal daripada perkataan ‘aisthetikos’ yang bermaksud sensitif.
Perkataan ini berkembang daripada perkataan ‘aisthannesthai’ yang bermaksud ‘to
perceive’ (tanggapan). Estetika merupakan satu cabang falsafah keindahan, dari
sinilah kriteria andaian rupa luar sesuatu seni dinilai (Beardley, 1966). Kamus
Dewan (1979) turut memberi pengertian estetik sebagai kecantikan, keelokan atau
perihal yang menerangkan sesuatu yang indah.
Sidi Gazalba (1977) dan Bearsley (1966) turut mengemukakan teori
keindahan yang dikemukakan oleh ahli falsafah metafizikal dan psikologikal oleh
Plato, Plotinus dan Hagel. Mengikut mereka, teori keindahan yang dikemukakan
oleh ahli falsafah tentang keindahan mempunyai persamaan dan kebenaran ,
kebaikan dan mutlak (‘Beauty=truth= the good=the absolute’). Perkara ini
telah disokong oleh Othman Mohd. Yatim (1989), yang turut menyatakan keindahan
selalunya dikaitkan dengan rasa yang menggembirakan, menyenangkan, memuaskan
yang baik dan dihargai. Beliau menambah lagi, sesuatu yang menggembirakan dan
menyenangkan biasanya rasa yang lahir daripada khalayak terhadap objek yang
indah, yang dikatakan mempunyai seni dalam konteks kebudayaan dan kesenian yang
berfungsi memenuhi nilai estetik.
Menurut
Ku Zam Zam (1984), dalam menghayati estetika atau keindahan, khalayak
seni akan tertarik kepada sesuatu objek yang indah boleh menyebabkan timbulnya
rasa persatuan yang sejati dengan objek itu sehinggakan melahirkan kebebasan
dan kesempurnaan pada jiwa. Rasa yang menggembirakan atau menyenangkan itu akan
wujud apabila individu itu ditemukan dengan objek-objek yang indah yang
selalunya dikatakan mempunyai seni (Ku Zam Zam). Dalam konteks kebudayaan
, bidang yang berfungsi memenuhi nilai estetik manusia iaitu bidang kesenian.
Ku Zam Zam (1984) turut menjelaskan bahawa kesenian berkait rapat dengan budaya
kerana ia merupakan sebahagian daripada budaya. Antara unsur budaya yang
melahirkan kesenian ialah agama dan kepercayaan, adat istiadat dan juga bahasa.
Mengikut beliau, biasanya masyarakat membentuk keseniannya yang tersendiri
berdasarkan pengalaman dan kehidupan yang dilalui. Kesenian merupakan pendorong
kepada seseorang untuk bertindak dan mengakibatkan berkembangnya ruang lingkup
perasaan seseorang. Dalam menghayati seni, penghasilan seni yang dapat memberi
kepuasan pada deria penglihatan terbahagi kepada dua, iaitu seni rupa dua
dimensi yang terdapat pada seni tekstil, dan seni rupa tiga dimensi yang
dikenali sebagai seni tampak yang terdapat pada seni ukir.
Dari
segi psikologi, keindahan merupakan sesuatu yang dapat dinilai oleh pancaindera
atau deria rasa. Dalam perkara ini, akal memiliki deria rasa fikiran atau
kemahuan (nafsu) dan juga deria rasa. Deria rasa pula mempunyai kepentingan
yang berbeza dengan indera rasa yang lain seperti makanan dan juga
undang-undang moral yang mempunyai kepentingan yang berbeza. Dari segi
penilaian pula, keindahan adalah lebih bersifat ideal yang bukan berkaitan
dengan fakta sahaja. Dalam konteks ini, sesuatu karya atau seni yang indah
bukanlah hanya semata-mata terletak pada karya atau seni itu tetapi ia adalah
satu perasaan yang dihayati oleh khalayak ketika meneliti. Hasilnya, sifat
keindahan yang lahir daripada khalayak akan mewujudkan satu kepuasan dan
kesenangan yang dapat disebut sebagai estetika (Ku Zam Zam, 1984 dan Othman
Mohd Yatim, 1989).
Moore
(1942), menyarankan bahawa nilai keindahan sesuatu bentuk itu dapat diukur
melalui dua sudut, iaitu sudut objektif dan subjektif. Dari sudut objektif,
ciri-ciri yang dinilai adalah seperti bentuk objek atau karya itu. Bentuk karya
yang menumpukan kepada aspek-aspek yang nyata adalah berasaskan elemen reka
bentuk seperti warna, bentuk luar (shape), garis, tekstur, nada dan sebagainya.
Selain bentuk penilaian, keindahan secara objektif juga mengambil kira idea
atau isi sesuatu karya itu. Idea yang dimaksudkannya di sini merupakan gabungan
kebijaksanaan daya pemikiran, imaginasi dan emosi seseorang seniman dalam
melahirkan karyanya. Untuk melahirkan sesuatu karya yang harmoni, pencipta
haruslah dapat menyatukan elemen reka bentuk yang merangkumi warna, bentuk dan
tekstur dalam bentuk kesatuan dan dalam masa yang sama boleh memberi rangsangan
kepada emosi, idea dan imaginasi. Hal ini menggambarkan bahawa bentuk karya
yang dilihat secara objektif merupakan struktur luaran yang berasaskan reka
bentuk. Oleh itu, masyarakat dapat menilai nilai estetika menerusi pancaindera
berdasarkan pandangan masing-masing.
Keindahan secara subjektif atau
berdasarkan struktur dalaman pula diukur dari sudut kegembiraan yang dirasai
hasil daripada khalayak dan penilaian sesuatu karya itu. Untuk menilai
keindahan secara keseluruhan, seseorang perlu melihat secara objektif karya itu
dan juga merasakan keindahan itu secara subjektif. Penilaian secara subjektif
merupakan penilaian yang lebih bergantung kepada objek seni dan penilaian itu
sendiri. Dalam perkara ini, penilaian objek seni adalah berbeza antara individu
dengan individu yang lain.
Sebagai contoh:
“ … Maka dilihatnya seekor pelanduk putih, seperti kambing besarnya,
berhadapan dengan anjingnya. Maka oleh pelanduk itu digigitnya akan anjing
kedua itu. Maka anjing itu pun berteriak keduanya lalu terjun ke dalam sungai
itu. Maka pelanduk itu pun mengusir anjing keduanya. … “ Ya Tuanku Syah Alam,
ada patik dengar kata orang tua-tua patik, jika ada pelanduk putih pada hutan
atau barang tempat sekalipun, baiklah tempat, patut diperbuat negeri; berdaulat
negeri, tuanku.”
(Hikayat Hang Tuah : 64)
Petikan tersebut memberi tafsiran secara tersurat (luaran) dan juga
tafsiran secara tersirat (dalaman). Dari segi luaran, teks Hikayat Hang Tuah
tersebut memberi makna bahawa Tuanku terlihat ada dua ekor pelanduk di dalam
hutan tempat baginda berehat menggigit anjing baginda. Selepas digigit, anjing
tersebut telah berteriak dan terjun ke dalam sungai. Kemudian, seorang pembesar
tuanku telah menyatakan bahawa, kata orang tua-tua sekiranya ada pelanduk putih
dalam hutan tersebut, itu merupakan petanda bahawa tempat itu sesuai untuk
dijadikan negeri.
Makna dalamannya pula ialah pada ketika Tuanku Syah Alam sedang berehat di
bawah sepohon pokok, Hang Tuah telah mengkhabarkan kepada Tuanku tentang Anjing
pemburuannya yang telah dikalahkan oleh seekor pelanduk putih. Tuanku Syah Alam
tertarik dengan cerita yang disampaikan dan bertanya kepada salah seorang
pembesar tentang peristiwa tersebut. Pada pandangan pembesar, menurut cerita
yang di sampaikan oleh orang tua-tua, jika terdapat seekor pelanduk putih, maka
tempat itu amat sesuai untuk dibuka sebuah negeri. Berdasarkan kepada peristiwa
dan pendapat yang diberikan oleh pembesar, Tuanku Syah Alam berpendapat, jika
dibuka sebuah negeri, negeri tersebut akan maju dan kuat.
Rujukan
No comments:
Post a Comment